Sunday, September 16, 2012

16 September 1963 - 16 September 2012

Posted by ai at 4:04 PM 0 comments
Happy Malaysia Day to all Malaysians!

Bintang Pagi - [1]

Posted by ai at 3:58 PM 0 comments
EMIR MENGEMAS BEG-BEG baju untuk dibawa pulang ke kampung. Sesekali tergeleng-geleng kepalanya bila melihatkan jumlah beg yang telah elok terletak dalam bonet keretanya. Padahal beg baju untuk dua orang sahaja, tapi banyaknya macam beg untuk lima orang. Itupun nasib baik beg baju ibu dan ayah dah selamat masuk dalam kereta ayah.

“Adik, ni nak balik beraya kampung ke nak pindah sana terus?” Tanya Emir bila Eryna menghulurkan dua lagi beg kepadanya untuk dimasukkan ke dalam bonet.

“Ala, bukan Along pun yang kena pikul beg tu.” Senang Eryna menjawab tanpa mempedulikan renungan tajam Emir. “Kejap ek, jangan tutup lagi bonet ni. Tadi ibu kata dia nak tumpang periuk belanga.” Eryna terus berlari masuk ke dalam. Boleh agak yang Emir akan menyambung omelannya.

Nak ikutkan, bukan beg Eryna pun yang buat penuh kereta. Begnya cuma satu yang besar dan satu yang kecil yang dia isi dengan telekung dan kamera polaroidnya. Selebihnya adalah beg-beg dua orang sepupunya yang awal-awal dah tumpang beg-beg mereka untuk dibawa-balikkan. Maklumlah, masing-masing malas nak mengangkut beg gedabak naik bas.

Emir yang tak tahu cerita, terus laju tembak yang semua beg-beg itu adalah milik adiknya. Eryna memang punya reputasi tak reti nak mengagak jumlah baju yang perlu dia bawa. Selalunya memang hampir satu almari baju tu dia angkut bawa balik. Kata Eryna, senang. Tak payah susah-susah nak fikir apa yang perlu, apa yang tidak. Lagipun naik kereta, bukan perlu diheret beg tu.

“Along, tolong tolak pintu. Adik tak nampak jalan dah ni.” Jerit Eryna dari dalam rumah dengan tangan duk mengusung periuk belanga yang boleh muat masuk badan dia pun.

Emir berjalan laju menuju ke arah Eryna bila mendengar suara jerit adiknya tadi. Bila tiba, bukan pintu yang ditolak sebagaimana yang disuruh, tapi tangan lebih laju mengambil alih periuk belanga daripada tangan si adik. “Kenapa tak suruh Along aje yang angkat tadi.”

Periuk belanga bertukar tangan, dan Eryna laju menolong menolak pintu bagi besar bukaannya. “Tadi adik dah bagitau kan ibu nak tumpang periuk.” Siap cebik-cebik lagi mulut.

“Tapi adik tak kata pun nak letak sekarang.” Emir masih tak jemu menjawab.

“Apa jugak lah budak berdua ni. Masing-masing dah besar panjang pun tak jemu lagi bertekak berdua.” Ibu yang sejak tadi memerhati akhirnya menyampuk.

Tak kiralah tengah puasa ke tak, aktiviti ‘bertekak’ dua beradik ni tak pernah ada tanda-tanda nak surut. Masing-masing cukup suka menjawab, tak mahu mengalah. Dan selagi ibu mereka tak mencelah, jangan harap masing-masing nak berhenti. Tapi percayalah, senyapnya tu sekejap aje. Lima, sepuluh minit nanti pasti bersambung semula. Bila ada bertekak, tapi tak berjumpa masing-masing sibuk mencari.

“Adik naik kereta dengan ayah lah. Biar ibu naik dengan Along.” Sambung ibu lagi.

“Tak nak!” Serentak Emir dan Eryna menolak.

“Along nak sakat siapa kalau adik tak ada sekali dengan Along.” Bantah Emir.

“Takkan adik nak tikam ayah kalau adik bosan dalam perjalanan.” Eryna pula menambah.

Ibu menggeleng. Bila masuk bab menjawab, dua-dua memang tak pernah kalah. “Ikut suka hati kamu lah.” Ibu mengalah dan terus masuk semula ke dalam rumah untuk menyambung sedikit lagi kerja yang belum selesai.

Emir dan Eryna sama-sama mengekek melihatkan reaksi ibu mereka yang memang telah mereka duga.

- - -

EMIR BERHENTI SEBENTAR di R&R Jejantas Ayer Keroh untuk ke bilik air. Melihatkan Eryna yang masih nyenyak tidur di sebelah, Emir terpaksa mematikan enjin kereta untuk menarik keluar kunci dan mengunci keretanya dari luar. Eryna kalau sudah nyenyak begitu bukan dia sedar pun kalau dibawa lari sekalipun.

Sekembalinya Emir ke kereta, dilihat Eryna sudah bersila dengan mata yang hanya separuh dia buka. Panas agaknya sampai terjaga.

“Along, kita dah sampai ke?” Dalam pada mamai Eryna menyoal. Suara pun masih serak-serak bunyinya.

Emir buat muka. Konon bila dia angkut Eryna sekali dengannya, bolehlah dibuat jadi teman sepanjang perjalanan. Sudahnya dia hanya ditemani suara juruhebah di radio saja. Bertuah punya adik. “Dah siap patah balik pun, adik oi.”

Eryna buat tak dengar. Tahu yang Emir tengah bersarkastik dengannya. Dia baru hendak melentokkan semula kepalanya bila Emir menarik dulu bantal letak kepala berbentuk ‘u’ dia. Eryna angkat kening. “Apa?”

“Tukar turn.”

Eryna buat muka kelam. Tak faham.

“Adik drive, Along rehat. Square.”

Eryna tarik muka. “Along ni.. dengan adik sendiri pun nak berkira. Petak lah, segitiga lah, pentagon lah. Adik seminggu ni mana cukup tidur. Ni nak raya lagilah confirm tidur tu takkan terganti. Hari-hari kena tolong dekat dapur. Along sedap-sedap aje nanti layan tetamu pakai mulut aje. Adik yang duk kat dapur. Kalau nak kira square bagai tu, Along la..”

Emir dah mula hidupkan enjin kereta dan terus masukkan gear. “Along bercakap dua ayat, adik balas berayat-ayat. Tu belum suruh buat kerja berat lagi tu. Berleter kalah ibu.” Emir potong dulu sebelum Eryna menyambung lebih panjang.

Eryna terus tayang sengih bila kereta mereka sudah mula bergerak. “Memang adik sayang Along lebih lah macam ni.”

Emir buat muka. Bertuah punya adik. “Patut tadi Along setuju aje ibu naik dengan Along. Kurang-kurang ibu mesti tak tidur dalam perjalanan. Ada kawan nak berbual.”

“Alala. Kesian Along adik ni. Ye, cik abang sayang. Isu apakah yang harus kita perdebatkan kala ini? Harga barang kawalan yang mungkin tak lagi jadi kawalan? Atau mungkin isu makcik dan pakcik kita yang berbelas di kampung nanti bakal bertanya bilakah Along kesayangan adik ni bakal menamatkan zaman bujangnya?” Hilang terus rasa mengantuk Eryna yang masih berbaki tadi.

“Apa kata kita berbicara tentang encik arkitek awak tu, Cik Eryna.” Emir membalas sama nada seperti Eryna dan sengih jahat. Heh. Ingat dia sorang aje yang ada idea nak menyakat.

Encik arkitek Eryna. Siapa orangnya pun, Emir sendiri kurang pasti. Tapi menurut cerita-cerita ibu yang dia dengar, hampir setiap hari bagai nak terbalik rumah dikerjakan Eryna dek kerana geramkan gerangan encik arkitek yang masih tak diketahui identitinya oleh ibu.

Menurut ibu, selepas Eryna ditugaskan untuk menguruskan satu projek servis apartment di Johor, setiap hari ada saja benda yang dia radangkan setiap kali balik dari pejabat. Dan nama yang seringkali muncul dalam ketidakpuasan hatinya mesti encik arkitek tu.

Encik arkitek awak. Automatik Eryna menarik muncung. Sungguh dalam beberapa orang arkitek yang dia pernah bekerjasama dengan, cuma yang seorang ni yang dia betul-betul tak boleh nak masuk. Langsung-langsung.

“Cerita panjang jadi pendek, dia tu macam minyak. Atau mungkin lagi teruk daripada minyak tu sendiri. Dia ni simbah dekat sesiapa pun, tak ada api pun boleh buat orang terbakar. Kalau Along tak nak kereta Along ni rentung, lebih baik kita tutup aje cerita pasal dia.” Kiri, kanan dah mengepal penumbuk. Geramnya sentiasa ada setiap kali nama yang satu tu disebut.

Emir ketawa. Hebat. Adiknya yang seorang ni kalau nak diikutkan, bukan jenis yang cepat atau senang nak marah dengan sesiapa. Tapi kalau dah sampai masa bercerita pun boleh sampai merah muka menahan marah, sungguh kali ni nampaknya buku memang dah jumpa ruas.

“Dia buat apa yang sampai adik berasap sungguh ni?” Emir masih mahu tahu.

“Tak payah cakaplah, Along. Benci. Buat rugi adik aje bagi pahala percuma dekat dia kalau adik dah mula bercerita. Dah lah sebelum-sebelum ni pun entah dah berapa banyak pahala percuma adik bagi dia. Rugi. Rugi.” Eryna buat muka.

Senyum Emir melihat telatah Eryna. “Jangan benci orang sangat, adik. Nanti sangkut jadi suami baru tau.” Emir mengusik lagi.

“Adik dah a.. Along ni.. cuba jangan sebut yang tidak-tidak.”

“Adik dah a.. apa?” Emir lebih cepat menangkap. Sebelum Eryna mengubah ayatnya tadi, Emir sempat mendengar sebaris ayat adiknya yang hampir terlepas keluar tapi berjaya ditahan dengan menukar topik lain. Dan rasanya dia boleh meneka apa yang cuba Eryna tahan daripada terkeluar tadi.

“Tak ada apa. Along salah dengar ni.” Eryna tayang muka selamba. Dalam hati bising memarahi lidah sendiri kerana hampir meng-kantoi-kan diri sendiri.

“Tadi masa adik tengah sedap lena, tiga kali Ayed telefon. Along ingat ada hal penting sebab telefon sampai tiga kali. Jadinya kali keempat tu Along angkatkan. Tu bakal adik ipar Along, ek?” Emir dah gelak-gelak. Sesekali dia menoleh ke arah adiknya untuk melihat reaksi adiknya itu.

Riak muka Eryna langsung berubah. Termelopong dia sekejap. Kemudian baru Eryna teringat yang telefon dia memang tak disimpan dalam beg sebab tengah charge. Memang baik punya pecah tembelang.

“Along ni..” Eryna tarik muka. Tapak tangan dah dibawa ke kiri dan kanan pipinya. Hampir pasti yang pipinya pasti merah masa ni. “Tak kacak langsung hijack telefon adik sendiri.”

“Along dah kata dulu, kan. Adik memang tak boleh nak sorok apa-apa pun dengan Along. Konon nak berahsia dengan Along. Sekali dah terbocor sendiri. Orang mana Ayed ni? Umur dia berapa? Kerja apa? Dekat mana? Jumpa mana? Dah lama kenal?” Bertalu-talu soalan Emir macam mercun das.

Eryna sengih. “You sound so like makcik-makcik, Along. Soalan dah lah berjela.”

“Eleh. Malu-malu lah konon tu nak jawab soalan, Along.”

“Janji dulu jangan bagitau sesiapa. Ni rahsia tau. Tak ada siapa pun boleh tau lagi.” Eryna bagi ‘warning’ dulu siap-siap. Bimbang riuh sekampung nanti kalau dia tak ikat perjanjian awal dengan Emir.

“Saya, Muhammad Emir Muhammad Rafiqi akan cuba sedaya upaya untuk tidak membocorkan rahsia yang cuba disimpan adik saya, Eryna Muhammad Rafiqi. Sekiranya saya terbocorkan rahsianya, maka saya akan didenda belanja makan besar dua kali di tempat yang dipilih oleh adik saya.” Emir ‘angkat janji’ dengan gaya pengakap. “Tapi kalau ibu yang tanya, Along terpaksa jawab. Along tak nak jadi anak derhaka.” Emir menambah.

“Cehhh. Masa ni lah nak pakai hujah konon tak nak jadi anak derhaka tu.” Eryna mencebik. Jawabnya memang tak lama rahsia jadi bukan rahsia.

“Dah. Dah. Cepat bocorkan rahsia yang dah tak jadi rahsia ni dekat, Along.” Emir menggesa. Kalau bertangguh lagi, dia yakin Eryna boleh muncul dengan seribu satu alasan untuk terus ‘sorok’ Ayed dia ni.

“Nama dia Muhammad Farid Idlan. Asal Johor Bahru. Umur 27. Kerja bawak kapal terbang. Tempat kerja, Lapangan Terbang Antarabangsa Senai. Atas sebab-sebab keselamatan, adik tak boleh nak disclose dia kerja dekat syarikat penerbangan mana.” Eryna ketawa bila Emir buat muka. “Jumpa dia setahun lepas masa troli adik terbabas depan troli dia. Sumpah malu tak ingat masa tu.”

Troli terbabas? Heh. Memang sangat Eryna. Cuai tak bertempat. Tapi itu tak cukup penting. Ada benda lagi penting yang dia perlu tahu. “Siapa lagi kacak? Along ke Ayed ni?”

Eryna dah mengekek-ngekek ketawa. Dia sebenarnya memang tunggu aje soalan wajib yang satu ni. “Sebab adik ni adik mithali, mesti lah adik jawab yang kacak tu.. A.. Aa.. Aaa.. yed.”

“Memang adik bertuah.” Emir tarik muka dan Eryna terus ketawa panjang.
 

Penakut. Copyright © 2012 Design by Antonia Sundrani Vinte e poucos