Monday, August 26, 2013

Bab 20: Aku, Dia dan Sampai Tua

Posted by ai at 11:25 PM

ASYRAF BARU BERDIRI DI MUKA PINTU bila deria baunya cekap menangkap bau tumisan. Spontan pangkal bibir menarik senyum. Dulu masa budak lagi, dia selalu tertanya-tanya dalam hati, kenapa ayah selalu senyum saja tiap kali sampai rumah waktu petang. Dan setiap kali ayah tiba, emak mesti paling kurang pun akan sambut ayah dengan segelas air. Dan sekarang, tak perlu tanya pun dia dah ada jawapan untuk persoalan zaman kanak-kanaknya.

Langkah dibawa ke kamar tidur di tingkat atas. Mahu menukar baju dengan kain pelekat. Beg yang saban hari digalas merata diletakkan elok di tepi pintu.

Dulu sebelum kahwin, selalu merata beg bajunya dicampak. Selepas kahwin, ada lah sesekali. Ada sekali beg dia terdampar betul depan pintu bilik tidur. Kes kecemasan mahu ke bilik air. Elok dia keluar bilik air, satu rumah blackout. Bila dijengah ke luar tingkap dari bilik, satu lorong taman perumahannya gelap gelita. Apa lagi kalau bukan bekalan elektrik terputus.

Kemudian dia teringatkan Lily yang tadi masih di bawah. Tengah melipat kain masa dia sampai rumah. Dengan bantuan sedikit cahaya daripada langit yang sedikit cerah di luar, lampu suluh yang memang selalu dia letak dalam laci tepi katil dicapai.

Belum sempat dia mahu keluar untuk mencari si isteri, telinga dah lebih laju menangkap suara mengaduh. Toleh-toleh, Lily dah tersadung pada beg yang tadinya belum sempat nak dialihkan dulu. Blackberry putih kesayangan isteri pun sama nasib dengan tuannya. Sama-sama tercampak. Itu yang membuatkan dia sedikit sedar diri untuk tidak lagi mencampakkan beg merata.

Siap menukar pakaian, Asyraf kembali ke bawah. Senyap-senyap dia bersandar di tepi rangka pintu. Dia paling suka berdiri dari sudut belakang dan melihat belakang Lily yang sibuk dengan dapur. Sesekali Lily akan menolak rambut depan yang jatuh menutup mata dengan belakang tangan. Ke kiri dan ke kanan dapur. Berebut antara mahu mengacau masakan di atas dapur dan mahu menbancuh air. Dan selalunya Lily memang tak akan sedar pun aktiviti dia yang satu ni.

Seminit memerhati, datang idea nakalnya untuk mengusik. Asyraf berdehem. Buat-buat seperti mahu melegakan tekak. Padahal niatnya mahu Lily sedar yang dia dah ada di belakang.

“Saya tak pandai masak. Tak pandai kemas rumah. Kerja saya kadang tak tentu masa. Saya kuat merajuk dan setakat ni cuma ada dua orang aje yang pandai pujuk saya.” Asyraf mengulang ayat keramat Lily sebelum menerima lamaran dia dulu.

Lily yang baru sudah menutup api atas dapur langsung berpusing. Separuh terkejut sebab langsung tak perasan yang Asyraf dah balik dan separuh berbahang dek malu bila ayatnya diulang suara. Lily buat muka. “Keji.” Muka masih merah.

Asyraf ketawa suka hati. Seronok benar gayanya bila dapat mengusik Lily. Mana taknya dia gembira mengusik. Usik-mengusik itu satu daripada caranya menunjuk sayang. Sekarang ni, makan dan pakai dia semua dijaga Lily. Kadang-kala kerja Lily memang menuntut perhatian yang lebih, tapi bukan selalu sangat pun balik lewat. Ternyata memang Lily sekadar mahu menguji jika dia memang benar ingin memperisterikan si gadis.

“Saya keji dengan isteri saya seorang aje.” Ujar Asyraf bila dia berdiri betul di sebelah Lily. Mahu menolong menyenduk makanan ke dalam mangkuk.

“Suka sangatlah tu.” Lily malas mahu memanjang cerita. Asyraf kalau dah mula menyakat, selalunya takkan habis dengan sekali cubaan. Bila dia terpandangkan tangan Asyraf yang mahu mencapai senduk, dia lagi laju menahan tangan Asyraf. “Awak duduklah dekat depan. Hari ni saya buat spaghetti aje. Tak banyak pun nak ditolong.”

Asyraf pandang tangan Lily yang memegang tangannya. Tanda-tanda Lily dah mula selesa dengannya. Seminggu dua ini, pantang dia berdiri dekat, Lily sentiasa ada cara nak pusing. Dan setiap kali alasannya, segan belum habis. Asyraf menyimpul senyum. “Batal air sembahyang saya.”

Lily angkat kening. “Awak dah Maghrib kan sebelum balik?”

“Saya nak jemaah Isyak dengan awak.”

“Dah kalau macam tu yang awak duduk menempel sebelah saya kenapa. Ceh. Pergi duduk depan sana ajelah tunggu. Kalau nak tolong sangat, tolong bawa gelas dengan jug air tu ke depan.” Muncung-muncung mulut Lily merungut.

Asyraf ketawa. “Sayang saya ni mulut terbentuk-bentuk macam muncung itik tu pun masih cantik.” Jug air dan gelas dicapai dan terus dia berlalu ke depan. Kacau lebih-lebih karang mahu kena simbah dengan kuah spaghetti tu.

Selesai membaca doa makan, laju Asyraf menyudu beberapa suap masuk ke mulut. Makan lagak orang yang dah tiga hari tak jumpa makanan. Bila dia terperasankan pandangan Lily yang seakan-akan bertanya apa yang dia kejarkan, barulah dia meletak sudu.

“Saya dah book tiket untuk dua orang malam ni.” Lebih pada ayat penyata dan bukan ayat tanya, bukan juga ayat untuk mengajak.

Terkedip-kedip mata Lily bila dia cuba mencerna ayat sebaris itu. “Nak keluar dengan Akid?”

“Keluar dengan Akid nak buat apa. Saya nak dating dengan awak.” Asyraf ukir senyum paling manis. Senyuman yang menampakkan lesung pipit sebelahnya. Lesung pipit yang paling Lily suka, dengan harapan isterinya terus bersetuju.

“Awak ingatkan esok baru hari Rabu, bukan Sabtu?”

“Peraturan nombor satu dalam bercinta – dating tak kira hari dan masa. Janji masa dating dengan Dia kita tak langgar.”

“Pandainya dia..” Lily buat muka. “Saya pergi dengan dua syarat.”

“Lima puluh syarat pun saya boleh setuju.” Sayang punya pasal. Lagipun apa sangatlah pun syarat yang Lily bakal letak pun. Kalau bukan tolong pergikan ke pasar, diminta tolong mengemas rumah. Benda yang diminta pun benda yang memang selalu dibuat tanpa perlu disuruh.

“Okey.”

“Sebab tu saya selalu sayang awak lebih.” Asyraf mengenyit mata. Makanan depan mata kembali dia hadap. Menikmati dengan nikmatnya air tangan isteri walaupun makanan yang disediakan serba ringkas.

Sudah makan, mencicit Asyraf bangun sama. Mangkuk di tangan Lily segera dicapai dan tanpa sempat Lily menegah dia dah berlalu dulu ke sinki. Baginya kerja rumah biarlah dikongsi bersama. Lily pun tentu belum habis lagi penat balik daripada kerja tadi.

“Wayangnya pukul berapa, awak?” Tanya Lily yang bersandar di tepi kabinet. Mahu merangka masa. Meja makan dah siap kemas. Jadinya kerja rumahnya untuk hari ini boleh dikatakan dah selesai.

“Sebelas.” Jawab Asyraf sepatah.

Melopong sekejap Lily. Elok bibirnya membentuk huruf ‘O’. Asyraf ketawa.

Sudah mencuci, Asyraf mengelap tangan di tuala yang memang tersidai dekat dengan sinki. Kemudian dia berdiri rapat di depan Lily, membuatkan Lily langsung terperangkap di antara kabinet dan dia. “Cuba jangan buat muka comel macam tu. Geram saya tengok tau.” Pangkal hidung Lily dicuit.

Lily cepat-cepat menutup mulutnya rapat. “Mulalah tu.”

“Apanya, sayang?” Separuh berbisik suara Asyraf. Kening sebelah diangkat. Pura-pura tak faham. Dia mahu mengusik lagi bila tiba-tiba dia teringatkan soalan yang dah beberapa kali dia mahu tanya, tapi selalu terlupa bila berdepan dengan Lily. “Siapa cuma dua orang yang pandai pujuk rajuk awak?”

“Eh?”



MATI KUTU.

Jika dia disuruh untuk menggambarkan apa yang dirasa dengan hanya dua perkataan pada waktu ini, memang itulah layaknya rasa yang dipilih. Sungguh dia tak boleh nak tebak sebab-musabab yang membuatkan Asyraf tiba-tiba berubah mendung. Padahal sebelumnya elok sahaja ketawa dan menyakat.

Sepanjang perjalanan Asyraf cuma diam. Mujur juga radio kereta terpasang. Kurang sedikitlah sunyinya keadaan mereka berdua. Sesekali Lily menjeling ke sisi kanannya. Kosong. Hanya itu riak yang terpamer pada air muka Asyraf. Tadi aku ada tersalah cakap ke? Lily berkira-kira dalam hati. Nak ditanya, takut tercuit tang lain pula. Payah.

Bila dalam kepala terlalu sibuk memikirkan keadaan mereka, kereta yang dah mula memasuki perkarangan One Utama pun langsung Lily tak sedar. Alih-alih enjin kereta dah dimatikan. Barulah Lily perasan yang Asyraf dah memakirkan kereta selang beberapa kotak sahaja dari pintu yang paling hampir untuk ke GSC.

Lily memusingkan badan menghadap tempat duduk pemandu. Dan Asyraf masih sama seperti ketika mereka keluar rumah tadi. ‘Tak boleh jadi ni.’ Bisik hati kecil Lily.

Bila Asyraf dah mula menolak pintu dari dalam, Lily lebih laju keluar dari kereta dan berjalan ke sebelah pintu Asyraf. Elok sahaja Asyraf menekat punat mengunci keretanya, Lily terus kait tangan kirinya dengan tangan kanan Asyraf. Terpinga-pinga sekejap Asyraf jadinya.

Bila Asyraf masih beku, hairan dengan reaksi Lily, makin erat Lily memaut. “Kata nak dating. Kalau awak nak jalan menonong seorang, jangankan saya, Akid pun belum tentu nak ikut.” Tanpa nada Lily menutur. Siap petik nama teman belangkas Asyraf lagi.

Dan usahanya boleh dikatakan agak menjadi bila Asyraf kembali mengukir senyum. Kemudian pautan tangan Lily dilepaskan.

Giliran Lily pula untuk terkebil-kebil. Ni dah kenapa pula. Selalunya dia yang sibuk yang berkepit. Bila orang dah dekat, pandai pula nak jual mahal.

“Saya lagi suka macam ni.” Asyraf menyulam jemari kanannya dengan jemari kiri Lily. Erat. “Awak tahu kenapa?”

Perlahan Lily menggeleng.

“Sebab bila saya berpimpin tangan macam ni dengan awak, saya boleh rasa getar awak. Sesekali tangan awak akan bergerak-gerak, sesekali terasa sejuk. Saya suka.”

“Oh, iye? Saya pulak asalkan yang pegang tangan saya tu tangan awak, saya suka aje.” Selamba Lily menutur. Sekaligus mengundang tawa Asyraf.

Lily turut sama menarik senyum. Lega sedikit hati bila encik suami dah mula ceria kembali. Jujurnya, Asyraf itu bagi Lily seperti matahari. Sifatnya menyinari. Dan Asyraf paling bersinar bila dia tersenyum.

Lily dan Asyraf berganding masuk ke kawasan legar tempat membeli tiket. Panggung mereka masih belum dinyalakan nombor, tanda belum boleh untuk mereka masuk.

Tengah beratur untuk membeli bertih jagung dan minuman, baru Lily teringat untuk bertanya cerita apa yang Asyraf beli untuk mereka tonton tengah malam ni.

“The Conjuring.”

Buat kali kedua malam itu, Lily melopong lagi. Seakan tidak percaya dengan apa yang didengarinya. Biar betul Asyraf mahu layan cerita horror tengah malam macam ni. Sudahlah dia paling tak suka menonton cerita dengan genre begitu. Sedangkan disuruh tengok dalam terang pun belum tentu dia mahu. Inikan pula dalam gelap. Tengah malam.

Asyraf merapatkan diri di sebelah Lily. Perlahan suaranya berbisik. Biar cuma Lily yang mendengar. “Kan saya dah pesan jangan buat muka comel macam tu. Saya..”

Lily cepat-cepat cubit tapak tangan Asyraf yang masih dalam pegangannya. Tak mahu Asyraf menghabiskan ayatnya. Bimbang ada yang terdengar walaupun suara Asyraf cukup perlahan untuk orang keliling dengar.

Pecah ketawa Asyraf sementara Lily di sebelah hanya boleh mencebik geram. Sukalah tu.

0 comments:

Post a Comment

 

Penakut. Copyright © 2012 Design by Antonia Sundrani Vinte e poucos