Monday, June 24, 2013

Bab 17 : Aku, Dia dan Sampai Tua

Posted by ai at 9:08 PM

LILY DAH BERCEKAK PINGGANG di sisi katil. Kepala dah tergeleng-geleng tak tahu nak buat apa lagi. Payah sungguhlah nak mengejut orang yang pertama kali jadi roommate dah rasmi dia. Malam tadi entah pukul berapa Asyraf jejak ke bilik pun dia tak sedar. Yang pasti, Asyraf dengan abang-abangnya termasuk Akid dan ayah sekali memang berjaga sampai ke pagi menghadap bola. United bertemu City dengar ceritanya.

Dan dia yang dah memang dah terlalu penat, tak sedar apa bila dah terlelap. Alih-alih bangun pagi, sedar-sedar dia dah macam teddy bear untuk Asyraf. Tersipu seketika dia di situ.

“Awak, bangunlah. Kata nak Subuh sekali pagi ni.” Kejut cuma pakai mulut. Sempat Lily mengerling pada jam di atas meja soleknya. Lagi lima minit dah nak masuk pukul 6. “Awak..” Berlagu-lagu Lily mengejut.

Sedikit-sedikit Asyraf membuka mata. Menahan silau dari terus menerjah mata agaknya. Dan bila matanya singgah terus ke wajah Lily, bibir dah langsung menarik senyum. “Assalammualaikum, gadisku.”

Tidak dapat tidak, Lily tersenyum sekali. Dalam berapa tak sedar lagi tu pun sempat nak act comel. Perlahan Lily menjawab salam. “Saya kira awak dah bangun ni ya.” Lily baru nak berpusing, mahu membentang sejadah, bilamana tangan Asyraf lebih laju menarik tangannya. Menahan dia daripada terus bergerak.

“Tangan tuuu, laju sungguh. Batal air sembahyang saya.”

Asyraf bangun dan menarik sila. “Saya tak sedar lagi ni.” Alasan. Padahal dah dekat sepuluh minit dia dah terjaga nak diikutkan. Cuma dia tak rajin untuk bangun saja. Dan sengaja mahu lihat sampai tahap mana Lily rajin nak mengejutkan dia. Tangan Lily di tangannya masih belum mahu dilepas.

Lily gelak. “Mengada. Macam dia sorang aje anak bongsu dalam rumah.”

Asyraf buat tak dengar. Manja dengan isteri sendiri, siapa tak mahu. Bibir mengukir senyum. Kepala didongak mahu menatap wajah isteri. “Kita mula dari sini, okey?”

Lily buat muka kelam. Dahi dah berlapis tiga. Mula apanya? Kening dah diangkat, tanda menyoal tanpa suara.

“Berkenalan, bercinta, bina keluarga kita sendiri. Sebab awak dah sah untuk saya dan saya dah sah untuk awak. Saya mungkin manja, tapi saya manja dengan yang berhak. Saya mungkin mengada, tapi saya nak mengada dengan awak aje. Mungkin semua ni terlalu laju untuk awak, tapi saya cuma lajukan sampai sini aje. Sebab saya tak mahu awak terlepas daripada saya. Lepas ni kalau awak nak pelan-pelan berkayuh pun saya akan selalu ada untuk itu. Itu janji saya pada awak. Dan sekarang..”

“Sekarang?” Bibir dah terukir senyum manis. Dulu lagi dia dah tahu Asyraf ni pandai tabur gula orangnya. Cuma yang dia tak tahu, Asyraf yang depan mata sekarang ni dah sedar dari tidur atau masih mamai tak berapa nak sedar.

“Sesi perkenalan muka pertama lepas akad.” Asyraf dah berdiri berdepan dengan Lily.

Lily mendongak. Kenapalah tinggi benar Asyraf ni. Beza tinggi mereka dah sama panjang dengan pembaris 30cm tu. “Uh-huh?”

“Selamat pagi, gadisku.” Asyraf kucup lembut pipi kanan dan kiri Lily. “Saya siap sekejap lepas tu kita Subuh berjemaah, ek.” Dan Asyraf pun berlalu masuk ke bilik air. Berlalu meninggalkan Lily yang muka dah terasa berbahang kalah oven baru lepas siap bakar kuih raya.





“IBU, PAGI NI KITA SARAPAN APA?”

Tangannya yang baru mahu mencapai karipap dari dalam bekas tapis pantas diketuk perlahan dek Puan Laila. Lily tayang sengih. Ibu memang pantang kalau anak daranya buat perangai tak berapa nak senonoh. Gelojoh lagilah memang minta nak kena piat.

Akif yang memang sejak tadi duk bertenggek di kaunter dapur ketawa. Sebabnya dia baru kena benda yang sama Lily kena. “Patut adik yang buat sarapan, ni dia pula tanya ibu pagi ni makan apa.”

“Sukalah. Bila lagi adik nak manja dengan ibu. Selalunya adik aje yang kena buli, ibu. Hari-hari nak kena jaga makan pakai Along dengan Angah.” Lily dah mula tunjuk lagak anak bongsu dia. Masa ni lah nak mengada, nak mengadu kut ya pun. Selalunya payah benar dia nak dapat luangkan masa dengan ibu dan ayah.

“Aloloh. Manjanya dia. Dah sign kontrak kena jaga makan pakai seumur hidup si Asyraf tu pun masih nak bermanja dengan ibu lagi, adik?” Giliran Afiq yang muncul entah dari mana pula untuk menyakat.

“Itu praktis namanya, cik adik. Lepas ni kan dah senang nak jaga cik abang awak tu.” Akif membela diri. Tak pasal dikatanya membuli adik.

Lily menjeling tajam pada abangnya yang berdua. Dengki dan sungguh sangat pandai mengundang kemarahan di pagi hari. “Ibu..” Lily dah mula merengek gaya budak lima tahun.

Puan Laila yang sejak tadi sibuk menyusun cawan dan piring hanya menggeleng dengan kerenah anak-anak yang nama aje dah besar panjang, tapi lagak macam budak tak pernah membesar. “Along, Angah, yang suka sangat mengusik adik tu kenapa?”

Lily terus senyum menang. Mata dah hantar isyarat tengok-ibu-bela-siapa pada abang-abang.

“Menempel aje dengan ibu, laki kesayangan adik tak jealous ke?” Kepantangan si abang yang satu – bila si adik baru nak merayakan mata kemenangan, cari jalan lain untuk membiarkan mata kemenangan itu ditarik balik.

“Entah adik ni. Daripada tadi ibu tak nampak pun Asyraf. Bila dah nampak makanan depan mata, semua orang pun dia boleh lupa.” Puan Laila dah ke depan, dengan tangan mengangkat dulang penuh dengan piring dan cawan. Meja makan dah penuh dengan segala jenis makanan kegemaran anak-anak. Segalanya disiapkan sendiri. Tak mahu ada anak-anak yang kempunan bila dah balik ke rumah sendiri nanti.

Lily buat tak dengar. Ikutkan hati, mahu ada yang kena siram dengan air panas. Teko yang berisi milo panas diangkat ke depan. Masih mengekor rapat Puan Laila tanpa dia pedulikan kata-kata Afiq sebentar tadi. Tapi dalam pada diamnya tak menjawab, sempat lagi dia hadiahkan jelingan pada Angahnya. Terus mengekek ketawa abangnya yang berdua.

Di meja makan, Asyraf dah siap duduk sekali dengan ayah dan Akid. Ya, Akid si pengapit merangkap sahabat paling rapat suami yang dinikahinya semalam dah macam anak angkat Puan Laila sejak hari semalam. Pagi ni pun, duduk mesti nak sebelah dengan ibunya. Mengapakah lelaki-lelaki dalam rumah ni semuanya dengkikan dia yang masih mahu bermanja dengan ibu?

Akif yang perasan pada hala tuju mata Lily terus menolak Lily untuk duduk bersebelahan dengan Asyraf. Dan kerusi di sebelah Lily ditarik untuk dirinya sendiri. Dalam hati dah tersenyum sendiri. Adik ni lah, sejak kecil sampai sekarang, suka meleset dengan ibu. Dasar anak bongsu yang manja.

“Apa yang riuh sangat dekat dapur tadi tu?” Ayah bertanya sambil melipar surat khabar di tangan. Cermin mata dilurut jatuh. Terus disangkut pada leher baju.

“Macam biasalah, abang oi. Bujang berdua ni kalau tak diusik adik yang seorang ni, mana nak tenteram hati. Adiknya pula, kalau tak meleset dengan emaknya, bukan Lily Nadya lah namanya.” Ibu dah mula membuat ulasan gaya pengulas sukan mengulas perlawanan bola. Satu nafas aje review dia.

“Oh, itu yang tajam dijelingnya Akid ya?” Asyraf yang sejak tadi tak melepas pandang si isteri membuat kesimpulan sendiri.

Akid yang tengah mengunyah nasi gorengnya nyaris terdedak mendengar ayat lurus Asyraf. “Ampun, Lily. Tak berniat.”

Pecah ketawa seisi meja. Tangan Lily pula spontan laju mengetip lengan Asyraf. Perangai tak ubah macam Akif dan Afiq. Cis.

“Adik.” Ibu dan Akif sama-sama menegur. Afiq ketawa. Ayah cuma senyum sambil menggeleng. Dah terlebih arif dengan tangan terlebih laju satu-satu puteri yang dia ada. Mana datangnya perangai ibu ketam tu kalau bukan daripada isterinya sendiri. Macam emak, macam anak.

“Hari ni ada rancangan nak ke mana-mana? Kalau tak ada boleh ikut kitorang ke kebun. Buah-buahan tengah lebat dengarnya.” Afiq ajak-ajak ayam. Dalam hati dah boleh teka Asyraf mesti dah ada rancangan berkajang dalam kepala.

“Durian?” Lily dah buat muka. Alergi dia dengan buah yang satu tu tak pernah surut sejak kecil.

Akif sengih. “Rambutan, pulasan, manggis, semua ada dik.”

“Lumayan! Tapi tak apalah, Along, Angah. Ingat hari ni nak minta Lily bawa berjalan rumah saudara-mara yang dekat-dekat sini. Semalam Asyraf sempat jumpa sekejap-sekejap aje semua.”

Ibu dan ayah sama-sama mengulum senyum. Yakin yang mereka tak salah memilih menantu. Sejak mula jumpa sehingga hari ini, Asyraf memang pandai mengambil hati dan menjaga tutur kata.

Lily yang disebelah pula dah angkat-angkat kening. “Sejak bila dah pandai ber-Angah ni?” Rasanya semalam dia masih lagi dengar aku, engkau antara Asyraf dengan Afiq. Along tu lain cerita. Sejak mula jumpa memang Asyraf dah panggil Along. Along kan matang terlebih nak dibandingkan dengan Angah walaupun jarak umur mereka berdua cuma setahun.

“Sejak United kalah 2-1 dengan City malam tadi.” Afiq dah ketawa suka hati. Afiq memang selalu nak dengki dengan United. Dia akan sokong siapa sahaja selain United.

Lily dah gelak-gelak. “Dua kali kalah lah maknanya.”

“Lepas sarapan kita siap ye, Puan Lily Nadya.” Laju Asyraf menukar topik. Sebelum Akid dan Along mula tambah apa-apa lagi, lebih baik lari jauh-jauh dulu daripada topik yang satu tu.

“Malam ni kita semua makan percuma.” Ayah menambah sakat.

“Tak menjadi, bro. Cuba lagi.” Akid pula menabur garam

“Lain kali kalah lah lagi.” Afiq masih belum puas mengusik.

“Along pun dah lama tak tengok ada orang monyok dalam rumah sebab team dia kalah game.” Akif pun tak mahu tertinggal.

“Heh. Ada lori ada bas lah!” Hanya itu yang Asyraf boleh balas. Untuk waktu itu.

Bila semua lelaki dalam rumah dah mula berkomplot mengena yang satu, ibu dan Lily cuma boleh tolong ketawa dan lepas tu pura-pura tak tahu cerita, tak mahu belahkan sesiapa.


0 comments:

Post a Comment

 

Penakut. Copyright © 2012 Design by Antonia Sundrani Vinte e poucos