Monday, December 31, 2012

Bab 5 : Aku, Dia dan Sampai Tua

Posted by ai at 6:36 PM

“NAK DUDUK MANA?” Suara Akif tinggi seoktaf, mahu melawan bunyi bising keliling mereka.

Gendang dah mula bergema serata stadium. Maklumlah, masa mereka sampai ke stadium tadi, pemain kedua-dua kumpulan sudah ada atas padang memanaskan badan. Dia dan Akif sampai pun betul-betul dalam setengah jam lagi sebelum perlawanan bermula.

Kebiasaannya stadium akan lebih penuh di hari perlawanan yang dijadualkan pada hari Sabtu. Berbanding dengan perlawanan hari Selasa atau Jumaat, biasanya boleh dikira berapa kerat aje yang datang. Melainkan perlawanan pada hari bekerja tu merupakan perlawanan yang dijangka sengit, barulah ramai juga yang datang menonton di stadium.

“Tempat biasalah, Along. Gate 10. Mana layan duduk dekat grandstand.” Lily laju menonong ke port tempat dia selalu lepak.

Akif senyum sambil menggeleng kecil melihat telatah Lily. Sejak dari rumah lagi dah bersemangat nak tengok perlawanan malam ni. Mentang-mentang perlawanan malam ni perlawanan kelab kesayangannya menentang musuh tradisi.

Baru mereka berdua nak duduk, terdengar suara-suara menjerit memanggil nama Lily.

“Apai!” Lily melambai. “Along, duduk situlah dengan budak-budak tu.”

Akif angguk. Dia hanya mengikut. “Kawan? Ke buah hati?”

“Ni namanya sekutu dalam stadium, Along.” Lily gelak.

“Yo, Nad. Lama tak nampak. Hari ni datang dengan balak ek.” Apai menyapa sambil menyakat.

Dalam pada menyakat sempat lagi Apai dengan kawan-kawan duk hulur tangan masing-masing, mahu bersalam dengan Akif. Akif ambil tempat betul sebelah Apai. Lily pula terus duduk di sebelah Akif.

“Sibuk sikit sekarang ni. Nak bernafas pun tak sempat, mana nak layan bolanya. Takat tengok depan TV sempatlah. Ni abang aku, Akif, bukan balak ke kayu ke kayan.”

“Yol tak ikut hari ni?” Tanya Iman pula.

“Kau Iman, asal nampak muka aku mesti kau tanya pasal Yol. Bukan nak tanya aku sihat ke apa. Aku ada rupa macam PA Yol ke?” Lily buat muka.

Iman dan yang lain dah gelak-gelak. Tapi memang betul pun benda yang Lily cakap. Soalan pertama Iman setiap kali jumpa mesti pasal Amirul. Ada pernah sekali, Lily pernah hampir nak kena ketuk kepalanya dengan Iman sebab buat spekulasi konon Iman ada hati dengan Amirul. Padahal semua orang tau Iman tu straight. Kawan perempuan merata.

“Kau kan sepupu favorite merangkap kembar tak seibu tak sebapa Yol. Berpatutanlah kiranya soalan aku tadi tu.”

“Nad. No. Kejap. Kejap. Nad. Kejap. Nad. No. No. Nad. No. Nad. Kejap.”

Semua pandang Emir yang muka macam baru nampak ET muncul depan mata. Masing-masing angkat kening, angkat bahu. Emir memang suka buat gempak tak tentu hala.

Ilham yang duduk sebelah kiri Emir menyiku perlahan temannya itu. “Yang kau kenapa, Em? Duk seru-seru nama Nad yang memang dah ada depan mata.”

“Nad. Aku sorang aje yang nampak atau abang kau ni muka memang sebijik seketul sama dengan Afiq?” Tanya Emir dengan mata masih melekat pada Akif.

“Afiq player?” Tanya Padi pula yang sejak tadi bisu tak keluar suara.

Masing-masing mata dah tertacap ke muka Akif sampai Akif jadi tak senang duduk. Topi di kepala ditarik makin ke bawah. Akif menoleh, memandang Lily.

“Diorang tak tahu ke Angah dengan Lily adik-beradik?” Bisik Akif perlahan macam ada rahsia besar antara mereka.

Lily sengih. “Tak pernah tanya, adik tak cakaplah. Takkan tiba-tiba adik nak cakap adik ni adik Angah.”

Semua sekali, Apai, Iman, Ilham, Emir dengan Padi sejak tadi tak lepas pandang ke arah mereka berdua. Masing-masing tengah sibuk menganalisis muka Akif dan reaksi Lily gamaknya.

“Angah?” Soal Ilham dengan Iman serentak. Dua-dua sejak tadi sibuk memasang telinga mendengar perbualan dua beradik itu.

Lily ke depankan sedikit badannya. Nak bagi nampak sampai Padi yang duduk hujung. “Nama penuh Afiq apa?” Soal Lily balik tanpa menjawab soalan mereka.

“Muhammad Afiq Muhammad Farid.” Jawab Apai yang memang hafal nama semua pemain macam hafal buku sifir darjah tiga, laju.

“Nama penuh aku?” Tanya Lily lagi.

Akif buat muka pelik. Adik ni biar betul. Takkan nak buat kuiz trivia kut sementara isi masa sebelum sepak mula. Jawab aje terus soalan budak-budak ni kan lagi senang.

Apai, Iman, Ilham, Emir dengan Padi berpandangan sesama sendiri. Masing-masing angkat bahu, tak tahu. Walaupun kenal dah nak dekat dua tahun, tapi semua tak pernah terfikir nak tanya nama penuh ke apa. Jumpa pun setakat masa ada perlawanan. Itu pun kalau terjumpa.

“Mana pernah tau, duh. Dah kata pun kenal ekspres. Siapa nak bagitau nama penuh dekat stadium. Dulu tanya pun kau jawab Nad aje. Nadia ke Nadira ke Nadu, Nadi ke Nad-apa-apa pun kitorang tak pernah tahu.” Padi mengaku kalah dulu.

Empat kepala yang lain pun sama mengangguk. Setuju dengan Padi.

“Tapi rasanya dalam nama kau mesti ada Lily. Sebab selalu dengar Yol duk sebut Lily, Lily.” Tambah Apai.

Antara mereka berlima, Apai memang lebih banyak perhati dan ambil tahu dengan hal keliling. Sebab tu apa-apa benda yang jadi dengan kelab favorite mereka ni, semua dia tahu dulu.

Lily senyum nipis. “Lily Nadya Muhammad Farid.”

Muka masing-masing masih kelam gaya tak jumpa apa kaitan soalan pertama dan kedua Lily. Tambah dengan suasana keliling yang hiruk-pikuk. Memang lagi berzamanlah kepala masing-masing nak proses maklumat.

“Abang aku ni nama dia Muhammad Akif Muhammad Farid.” Sambung Lily lagi seolah memberi mereka klu.

Emir yang mula-mula jumpa jawapan. “Kau adik Afiq pemain nombor 11 tu?”

Lily sengih dan dua jari dinaikkan buat gaya ‘peace’.

Dan semua pun tercengang macam baru lepas dengar berita pengumuman esok mereka akan ke bulan. Akif yang mulanya kelam tak faham apa-apa pun boleh ketawa. Fahamlah dia sekarang kenapa Emir duk telek muka dia tadi macam nak telan. Budak-budak ni semua memang sungguh tak pernah tahu rupanya.

“Hampeh. Patut selama ni aku tak pernah menang bila masuk bab Afiq tu. Semua info kau tau dulu. Berita terus dari ladang rupanya.” Apai dah geleng-geleng kepala.

“Kau tak tipu, kan?” Ilham masih antara nak percaya dan tak.

Lily dah gelak-gelak. “Aku siap bawak bukti depan mata, kau boleh tak percaya lagi ke? Akif ni Along aku. Afiq tu Angah aku. Diorang berdua ni umur beza setahun aje. Tapi magiknya rupa diorang macam yang Em cakap tadi, muka sebijik seketul sama. Ramai yang selalu ingat diorang dua ni kembar.” Terang Lily dengan muka yang cuba diseriuskan. Tapi akhirnya pecah balik ketawa dia melihatkan reaksi masing-masing yang masih terkejut.

“Kira pemain yang lain-lain pun semua kau kenallah ni?” Apai masih belum puas bertanya.

Lily geleng. “Tak. Korang lagi kenal dengan diorang semua kut.” Jawab Lily senang.

Ramai yang selalu beranggapan yang kalau dia ada kaitan dengan mana-mana pemain bola sepak, mesti dia kenal juga dengan pemain-pemain yang lain. Tapi Lily tidak. Dia tak pernah ambil tahu lebih daripada apa yang peminat bola sepak patut tahu. Dia cuma berminat dengan benda atas padang aje. Luar padang, dia tak pernah ambil pusing. Bukan dia ada pasang cita-cita nak kahwin dengan mana-mana pemain bola pun.

“Tak guna punya Yol. Skandal gila-gila dengan aku, tapi benda macam ni tak pernah nak bagitahu aku.” Rungut Iman yang masih jelas tak berpuas hati.

Pecah lagi ketawa mereka semua dengan kata-kata Iman. Iman memang kepala tak berapa nak betul sangat. Tapi kalau nak diikutkan, mereka semua lebih kurang sama aje kepalanya dengan Iman. Sebab tu Lily senang berkawan dengan mereka semua. Tak banyak kerenah.

Bila semua berkumpul, masing-masing tak pernah kering gusi. Tapi sebaik sahaja mula perlawanan, semua mata terpaku menghadap padang. Walau mata terpaku sekalipun, mulut tetap riuh bersorak. Bising bagai nak rak bila bola tak masuk dan menjerit suka bagai tak ingat dunia bila gol. Seronok. Rasa yang tak sama dengan bila menonton depan TV.

“Macam tu, lepas ni kalau kitorang nak bergambar dengan Afiq tu bolehlah kan?” Ilham bertanya lurus. Ilham ni merupakan tukang tangkap gambar dalam kumpulan kecil mereka. Setiap kali perlawanan, tak pernah tak bawa DSLR dia tu. Wajib ada.

Lily mengukir senyum. “Boleh. Bukan takat bergambar, nak minta tandatangan sekali pun boleh. Dekat rumah tu, aku siap ada satu jersi yang penuh dengan autograph semua pemain termasuk dengan coach sekali. Tapi kalau korang nak, kena buat baik dengan aku.” Sengaja Lily buat muka berlagak. Sengaja dia nak tengok reaksi mereka berlima.

Dan tepat seperti yang Lily jangkakan, masing-masing sibuk menawar nak buat itu dan ini untuk Lily. Lily dan Akif sama-sama ketawa melihat tingkah mereka berlima. Riuh macam apa aje.

0 comments:

Post a Comment

 

Penakut. Copyright © 2012 Design by Antonia Sundrani Vinte e poucos