Monday, June 24, 2013

Bab 17 : Aku, Dia dan Sampai Tua

Posted by ai at 9:08 PM 0 comments

LILY DAH BERCEKAK PINGGANG di sisi katil. Kepala dah tergeleng-geleng tak tahu nak buat apa lagi. Payah sungguhlah nak mengejut orang yang pertama kali jadi roommate dah rasmi dia. Malam tadi entah pukul berapa Asyraf jejak ke bilik pun dia tak sedar. Yang pasti, Asyraf dengan abang-abangnya termasuk Akid dan ayah sekali memang berjaga sampai ke pagi menghadap bola. United bertemu City dengar ceritanya.

Dan dia yang dah memang dah terlalu penat, tak sedar apa bila dah terlelap. Alih-alih bangun pagi, sedar-sedar dia dah macam teddy bear untuk Asyraf. Tersipu seketika dia di situ.

“Awak, bangunlah. Kata nak Subuh sekali pagi ni.” Kejut cuma pakai mulut. Sempat Lily mengerling pada jam di atas meja soleknya. Lagi lima minit dah nak masuk pukul 6. “Awak..” Berlagu-lagu Lily mengejut.

Sedikit-sedikit Asyraf membuka mata. Menahan silau dari terus menerjah mata agaknya. Dan bila matanya singgah terus ke wajah Lily, bibir dah langsung menarik senyum. “Assalammualaikum, gadisku.”

Tidak dapat tidak, Lily tersenyum sekali. Dalam berapa tak sedar lagi tu pun sempat nak act comel. Perlahan Lily menjawab salam. “Saya kira awak dah bangun ni ya.” Lily baru nak berpusing, mahu membentang sejadah, bilamana tangan Asyraf lebih laju menarik tangannya. Menahan dia daripada terus bergerak.

“Tangan tuuu, laju sungguh. Batal air sembahyang saya.”

Asyraf bangun dan menarik sila. “Saya tak sedar lagi ni.” Alasan. Padahal dah dekat sepuluh minit dia dah terjaga nak diikutkan. Cuma dia tak rajin untuk bangun saja. Dan sengaja mahu lihat sampai tahap mana Lily rajin nak mengejutkan dia. Tangan Lily di tangannya masih belum mahu dilepas.

Lily gelak. “Mengada. Macam dia sorang aje anak bongsu dalam rumah.”

Asyraf buat tak dengar. Manja dengan isteri sendiri, siapa tak mahu. Bibir mengukir senyum. Kepala didongak mahu menatap wajah isteri. “Kita mula dari sini, okey?”

Lily buat muka kelam. Dahi dah berlapis tiga. Mula apanya? Kening dah diangkat, tanda menyoal tanpa suara.

“Berkenalan, bercinta, bina keluarga kita sendiri. Sebab awak dah sah untuk saya dan saya dah sah untuk awak. Saya mungkin manja, tapi saya manja dengan yang berhak. Saya mungkin mengada, tapi saya nak mengada dengan awak aje. Mungkin semua ni terlalu laju untuk awak, tapi saya cuma lajukan sampai sini aje. Sebab saya tak mahu awak terlepas daripada saya. Lepas ni kalau awak nak pelan-pelan berkayuh pun saya akan selalu ada untuk itu. Itu janji saya pada awak. Dan sekarang..”

“Sekarang?” Bibir dah terukir senyum manis. Dulu lagi dia dah tahu Asyraf ni pandai tabur gula orangnya. Cuma yang dia tak tahu, Asyraf yang depan mata sekarang ni dah sedar dari tidur atau masih mamai tak berapa nak sedar.

“Sesi perkenalan muka pertama lepas akad.” Asyraf dah berdiri berdepan dengan Lily.

Lily mendongak. Kenapalah tinggi benar Asyraf ni. Beza tinggi mereka dah sama panjang dengan pembaris 30cm tu. “Uh-huh?”

“Selamat pagi, gadisku.” Asyraf kucup lembut pipi kanan dan kiri Lily. “Saya siap sekejap lepas tu kita Subuh berjemaah, ek.” Dan Asyraf pun berlalu masuk ke bilik air. Berlalu meninggalkan Lily yang muka dah terasa berbahang kalah oven baru lepas siap bakar kuih raya.





“IBU, PAGI NI KITA SARAPAN APA?”

Tangannya yang baru mahu mencapai karipap dari dalam bekas tapis pantas diketuk perlahan dek Puan Laila. Lily tayang sengih. Ibu memang pantang kalau anak daranya buat perangai tak berapa nak senonoh. Gelojoh lagilah memang minta nak kena piat.

Akif yang memang sejak tadi duk bertenggek di kaunter dapur ketawa. Sebabnya dia baru kena benda yang sama Lily kena. “Patut adik yang buat sarapan, ni dia pula tanya ibu pagi ni makan apa.”

“Sukalah. Bila lagi adik nak manja dengan ibu. Selalunya adik aje yang kena buli, ibu. Hari-hari nak kena jaga makan pakai Along dengan Angah.” Lily dah mula tunjuk lagak anak bongsu dia. Masa ni lah nak mengada, nak mengadu kut ya pun. Selalunya payah benar dia nak dapat luangkan masa dengan ibu dan ayah.

“Aloloh. Manjanya dia. Dah sign kontrak kena jaga makan pakai seumur hidup si Asyraf tu pun masih nak bermanja dengan ibu lagi, adik?” Giliran Afiq yang muncul entah dari mana pula untuk menyakat.

“Itu praktis namanya, cik adik. Lepas ni kan dah senang nak jaga cik abang awak tu.” Akif membela diri. Tak pasal dikatanya membuli adik.

Lily menjeling tajam pada abangnya yang berdua. Dengki dan sungguh sangat pandai mengundang kemarahan di pagi hari. “Ibu..” Lily dah mula merengek gaya budak lima tahun.

Puan Laila yang sejak tadi sibuk menyusun cawan dan piring hanya menggeleng dengan kerenah anak-anak yang nama aje dah besar panjang, tapi lagak macam budak tak pernah membesar. “Along, Angah, yang suka sangat mengusik adik tu kenapa?”

Lily terus senyum menang. Mata dah hantar isyarat tengok-ibu-bela-siapa pada abang-abang.

“Menempel aje dengan ibu, laki kesayangan adik tak jealous ke?” Kepantangan si abang yang satu – bila si adik baru nak merayakan mata kemenangan, cari jalan lain untuk membiarkan mata kemenangan itu ditarik balik.

“Entah adik ni. Daripada tadi ibu tak nampak pun Asyraf. Bila dah nampak makanan depan mata, semua orang pun dia boleh lupa.” Puan Laila dah ke depan, dengan tangan mengangkat dulang penuh dengan piring dan cawan. Meja makan dah penuh dengan segala jenis makanan kegemaran anak-anak. Segalanya disiapkan sendiri. Tak mahu ada anak-anak yang kempunan bila dah balik ke rumah sendiri nanti.

Lily buat tak dengar. Ikutkan hati, mahu ada yang kena siram dengan air panas. Teko yang berisi milo panas diangkat ke depan. Masih mengekor rapat Puan Laila tanpa dia pedulikan kata-kata Afiq sebentar tadi. Tapi dalam pada diamnya tak menjawab, sempat lagi dia hadiahkan jelingan pada Angahnya. Terus mengekek ketawa abangnya yang berdua.

Di meja makan, Asyraf dah siap duduk sekali dengan ayah dan Akid. Ya, Akid si pengapit merangkap sahabat paling rapat suami yang dinikahinya semalam dah macam anak angkat Puan Laila sejak hari semalam. Pagi ni pun, duduk mesti nak sebelah dengan ibunya. Mengapakah lelaki-lelaki dalam rumah ni semuanya dengkikan dia yang masih mahu bermanja dengan ibu?

Akif yang perasan pada hala tuju mata Lily terus menolak Lily untuk duduk bersebelahan dengan Asyraf. Dan kerusi di sebelah Lily ditarik untuk dirinya sendiri. Dalam hati dah tersenyum sendiri. Adik ni lah, sejak kecil sampai sekarang, suka meleset dengan ibu. Dasar anak bongsu yang manja.

“Apa yang riuh sangat dekat dapur tadi tu?” Ayah bertanya sambil melipar surat khabar di tangan. Cermin mata dilurut jatuh. Terus disangkut pada leher baju.

“Macam biasalah, abang oi. Bujang berdua ni kalau tak diusik adik yang seorang ni, mana nak tenteram hati. Adiknya pula, kalau tak meleset dengan emaknya, bukan Lily Nadya lah namanya.” Ibu dah mula membuat ulasan gaya pengulas sukan mengulas perlawanan bola. Satu nafas aje review dia.

“Oh, itu yang tajam dijelingnya Akid ya?” Asyraf yang sejak tadi tak melepas pandang si isteri membuat kesimpulan sendiri.

Akid yang tengah mengunyah nasi gorengnya nyaris terdedak mendengar ayat lurus Asyraf. “Ampun, Lily. Tak berniat.”

Pecah ketawa seisi meja. Tangan Lily pula spontan laju mengetip lengan Asyraf. Perangai tak ubah macam Akif dan Afiq. Cis.

“Adik.” Ibu dan Akif sama-sama menegur. Afiq ketawa. Ayah cuma senyum sambil menggeleng. Dah terlebih arif dengan tangan terlebih laju satu-satu puteri yang dia ada. Mana datangnya perangai ibu ketam tu kalau bukan daripada isterinya sendiri. Macam emak, macam anak.

“Hari ni ada rancangan nak ke mana-mana? Kalau tak ada boleh ikut kitorang ke kebun. Buah-buahan tengah lebat dengarnya.” Afiq ajak-ajak ayam. Dalam hati dah boleh teka Asyraf mesti dah ada rancangan berkajang dalam kepala.

“Durian?” Lily dah buat muka. Alergi dia dengan buah yang satu tu tak pernah surut sejak kecil.

Akif sengih. “Rambutan, pulasan, manggis, semua ada dik.”

“Lumayan! Tapi tak apalah, Along, Angah. Ingat hari ni nak minta Lily bawa berjalan rumah saudara-mara yang dekat-dekat sini. Semalam Asyraf sempat jumpa sekejap-sekejap aje semua.”

Ibu dan ayah sama-sama mengulum senyum. Yakin yang mereka tak salah memilih menantu. Sejak mula jumpa sehingga hari ini, Asyraf memang pandai mengambil hati dan menjaga tutur kata.

Lily yang disebelah pula dah angkat-angkat kening. “Sejak bila dah pandai ber-Angah ni?” Rasanya semalam dia masih lagi dengar aku, engkau antara Asyraf dengan Afiq. Along tu lain cerita. Sejak mula jumpa memang Asyraf dah panggil Along. Along kan matang terlebih nak dibandingkan dengan Angah walaupun jarak umur mereka berdua cuma setahun.

“Sejak United kalah 2-1 dengan City malam tadi.” Afiq dah ketawa suka hati. Afiq memang selalu nak dengki dengan United. Dia akan sokong siapa sahaja selain United.

Lily dah gelak-gelak. “Dua kali kalah lah maknanya.”

“Lepas sarapan kita siap ye, Puan Lily Nadya.” Laju Asyraf menukar topik. Sebelum Akid dan Along mula tambah apa-apa lagi, lebih baik lari jauh-jauh dulu daripada topik yang satu tu.

“Malam ni kita semua makan percuma.” Ayah menambah sakat.

“Tak menjadi, bro. Cuba lagi.” Akid pula menabur garam

“Lain kali kalah lah lagi.” Afiq masih belum puas mengusik.

“Along pun dah lama tak tengok ada orang monyok dalam rumah sebab team dia kalah game.” Akif pun tak mahu tertinggal.

“Heh. Ada lori ada bas lah!” Hanya itu yang Asyraf boleh balas. Untuk waktu itu.

Bila semua lelaki dalam rumah dah mula berkomplot mengena yang satu, ibu dan Lily cuma boleh tolong ketawa dan lepas tu pura-pura tak tahu cerita, tak mahu belahkan sesiapa.


Sunday, June 23, 2013

Bab 16 : Aku, Dia dan Sampai Tua

Posted by ai at 11:47 PM 0 comments

“DIA KATA YA. Dia kata ya, Akid! Ya!”

Akid tepuk belakang Asyraf. Agak kuat. “Kau boleh tak berhenti ulang benda yang sama. Dan tolong perlahankan suara kau. Kau perasan tak sejak tadi orang keliling duk pandang kita dua macam kita ada tiga tangan? Malu duh.”

Asyraf menggeliat sedikit. Belakang badan digosok-gosok mana yang tercapai. “Dia kata ya.” Masih tak mahu berhenti ulang benda yang sama.

Akid betul-betul dalam dilema. Antara mahu ketawa, senyum dan marah sebab sejak daripada hari Lily kata ya, itulah ayat yang Asyraf duk ulang-ulang.

Padahal sekarang ni pun sebenarnya dia tengah temankan Asyraf mencari barang hantaran. Tak perlu ulang pun dia boleh dengar barang-barang hantaran dalam tangan dia tengah menjerit benda yang sama yang Asyraf ulang-ulangkan.

“Gembira?” Random. Sangat tiba-tiba. Tapi sungguh Akid memang tak dapat nak tahan diri daripada bertanya. Dia kenal Asyraf sejak daripada umur 13 tahun lagi. Walaupun dia cukup tahu yang Asyraf memang paling suka buat kerja spontan dan tak fikir panjang, tapi tak pernah sekali pun dia terfikir yang masuk bab kahwin pun, Asyraf akan buat benda yang sama.

“Kid, aku tak memain bila aku kata aku nak kahwin. Aku dah fikir panjang. Dah fikir masak-masak. Siang malam aku tak lupa panjangkan doa, buat istikharah, minta petunjuk. Aku yakin Lily tu jodoh aku."

"Kau kenal dia baru dua, tiga bulan, kan?" Akid tak puas lagi menduga. Nak diikutkan, jawapan Asyraf tadi pun dah lebih daripada cukup untuk meyakinkan Akid yang Asyraf memang serius dengan keputusan yang diambil. Tapi sengaja dia bertanya lagi. Bukan selalu sahabatnya yang seorang ni serius dengan soalan-soalan berkaitan hati. Selalunya mesti nak bagi jawapan selamat - siapalah aku orang nak suka. Pandai berdrama si Asyraf ni.

"Cukuplah, Kid. Aku ada seumur hidup untuk kenal dia. Seumur hidup untuk bangun tidur terus hadap muka gadisku." Asyraf senyum tersipu-sipu gaya anak dara sunti. Ayat pun dah mula menggeletis satu macam.

Akid pun apa lagi, tergelak besar dia mendengarkan kata-kata selamba Asyraf yang siap dengan gaya konon malu-malu. "Aku yang dah bertahun bercinta dengan Julia pun tak tergamak yang sebut benda yang kau baru sebut tu."

Asyraf sengih selamba. "Minta ampunlah, sahabat. Siapa suruh kau dengan Julia berkura-kura berdua. Aku terpaksa potong barisan."

"Hantu! Bukan aku dengan Julia yang kura-kura. Tapi kau tu yang macam tak cukup tanah berlari. Takut sangat lari gunung dikejar." Alih-alih aku juga yang disalahkan. Dah sendiri tak menyempat, pandai cover line guna pakai timeline kisah aku dengan Julia yang lebih sedekad tu. Keji.

Asyraf dah mengekeh ketawa. Tak nak kalah tu. "Sebab aku bukan kejar gununglah aku kena lari lagi laju daripada bullet train, Kid. Gadisku tu satu dalam dua juta. Dia boleh buat aku senyum sendiri depan tiang gol yang kaku."

Akid ketawa kuat. “Sudahlah. Lagi sekali kau ulang gadisku, gadisku tu sungguh aku campak semua barang dalam tangan aku ni dari tingkat 6.”





DENGAN SEKALI LAFAZ, Lily Nadya Muhammad Farid sudah sah menjadi tanggungjawabnya yang sah. Gembira, gementar, terharu. Bercampur-baur rasa di hati. Dia kini sudah sah bergelar suami. Sudah rasmi menjadi adik ipar kepada Afiq. Masin mulut-mulut rakan sepasukan yang sejak dulu sibuk mengusik.

Dari kejauhan Asyraf merenung lembut si isteri yang sedang duduk di satu sudut sambil berbual dengan beberapa tetamu yang hanya tinggal beberapa orang. Teman sekerja mungkin. Majlis mereka untuk belah perempuan nak diikutkan sudah sampai ke penghujung pun. Jam pun sudah mahu menginjak ke pukul 5.30.

Asyraf baru mahu hendak berdiri bila Afiq, si abang ipar yang masih belum jemu mengusik, mengusik lagi. “Jaga pandangan, bro. Naik segan aku tengok kau duk tenung adik aku tu.”

Asyraf tergelak. “Dengki. Yang aku tenung tu gadisku. Isteriku.” Asyraf dah mula berdrama sampai Akid yang sejak tadi setia menjadi pengapit terhormat pun dah tak lalu nak gelak. Hanya senyum nipis melihat gelagat Asyraf.

“Dengki itu perlu. Sekarang aku dah kena kongsi adik aku tu dengan kau. Bad news. Tapi berita gembiranya, mandat abang besar aku dah makin besar.” Afiq gelak jahat. Sengaja.

Senyum masih tak lekang dari bibir Asyraf. “Peduli apa aku. Janji gadisku ada dengan aku.” Sungguh, tak ada apa yang boleh buat dia berhenti tersenyum hari ini.

Sungguh Akid dah tak boleh nak tahan. Tangan dah langsung laju melibas belakang Asyraf. “Kau boleh berhenti tak dengan gadisku kau tu. Overdose sangat dah wei.”

Asyraf menyeringai sakit. Potong betullah Akid ni. “Kau tahu tak hari ni mandat aku besar?” Tangan dah tergapai-gapai di belakang badan. Sakitnya memang tak terkata. Tergamak sungguh Akid libas dia sungguh-sungguh.

Lily yang baru sudah melayan tetamunya yang terakhir datang berkunjung, datang menghampiri lelaki bertiga sejak tadi riuhnya macam berbelas orang. Boleh didengar sebutir-sebutir ayat masing-masing.

“Sibuk benar semua dengan mandat. Mandat abang besarlah. Mandat raja sehari. Mandat sahabat yang dipotong barisan. Satu taman dengar tau.” Lily dah senyum sambil menggeleng-gelengkan kepala. Umur masing-masing bukan muda mana pun. Semuanya lebih tua daripadanya.

“Adik, sekarang cuba bagitahu Angah, mandat siapa lagi besar? Angah ke Asyraf?” Afiq menoleh pada Akid yang di sebelah Asyraf. “Mandat kau laku dengan Asyraf aje. Jadi kalah tanpa bertanding.” Afiq dah buat muka keji.

Pecah ketawa masing-masing. Afiq memang suka bercakap pakai redah suka hati dia.

“Mestilah mandat Along yang paling besar.” Belum sempat Lily nak menjawab apa-apa, Akif yang entah dari mana pula menyampuk. Semua spontan menoleh.

Lily menyengih. “Sorry, boys. Along menang.” Akif dah buat muka bangga.

“Ibu panggil semua masuk dalam. Rehat dulu. Malam karang ibu ajak semua makan semeja. Akid, bilik tetamu tu kosong. Guna aje. Kain pelikat, t-shirt semua dah sedia.” Masing-masing dah mengangguk bila Bendahara DiRaja ibu menyampai titah.

Dan Lily yang tadi terperasan masa belakang Asyraf kena libas dek sahabat sendiri, luar sedar tangannya menggosok perlahan belakang Asyraf. Tengok dari jauh pun dah boleh tahu sakit. “Padan muka. Sibuk lagi dengan ‘gadisku’ awak tu.”

“Padan muka saya pun ada orang sayang nak tolong gosok tempat yang sakit.” Asyraf menarik senyum yang paling lebar. Cukup lebar sehingga menampakkan lesung pipit di pipi kanannya.

Akif, Afiq dan Akid dah sama-sama berdiri. Mahu terus menghilangkan diri. Tak boleh nak tahan tengok drama depan mata. Tergugat rasa hati masing-masing bila adik-adik yang melangkah dulu ke alam lain.

Lily dan Asyraf sama-sama ketawa bila mereka perasan riak muka mereka bertiga sebelum berlalu. Asyraf capai tangan Lily dan berdiri tegak di sebelah. Badan direndahkan sedikit, mahu menyaingi tinggi isteri. “Terima kasih, gadisku.”

Mushy.” Lily dah mengalih pandangan ke arah lain. Tapi cuma sekejap. Sedaya upaya ditahan riak muka agar kelihatan selamba habis. Kemudian wajah Asyraf dipandang. “Terima kasih juga, suami saya.”

Sunday, June 16, 2013

Bab 15 : Aku, Dia dan Sampai Tua

Posted by ai at 10:41 PM 0 comments

KATA ALONG, dia sengaja gantung Asyraf tak bertali sebab dia nak balas rasa tak puas hati Asyraf ambush dia dengan hantar rombongan meminang.

Sejak tu juga, Lily masih belum puas mencebik tiap kali matanya bertembung pandang dengan Akif. Tak puas hati dengan ayat penyata Akif yang pada Lily seperti sengaja nak bakar hati dia. Kalau Afiq yang kata macam tu, Lily masih boleh terima. Ini, Akif. Abang kesayangannya yang sejak kecil tak pernah sebelahkan orang lain melainkan dia.

Akif meletak duduk betul-betul di sebelah Lily. Dia tersenyum sendiri bila Lily menghadiahkannya jelingan tajam sebelum langsung-langsung mengalihkan pandangan ke arah lain. Dah sampai ada orang masuk meminang pun perangai kuat merajuk adiknya ni tak surut-surut juga.

“Merajuk lagi dengan, Along?” Bila Lily tetap buat tak dengar, sengaja dia menyiku-nyiku lengan Lily. Kalau betul caranya, tak susah sebenarnya nak pujuk adiknya yang seorang ni.

“Along ni..” Lily buat muka.

Akif ketawa. “Okey. Cuba cakap, apa yang adik marah sangat dengan Along kali ni?”

“Ibu pagi-pagi dah telefon adik. Ibu kata Along dengan Angah setuju aje kalau adik terima pinangan pak cik tu. Along sebenarnya sebelahkan siapa kali ni?” Tercebik-cebik bibir Lily meluah rasa. Selama ni Akif mana pernah sebelahkan orang lain selain dia.

“Sebab Along sayangkan adik lah, kali Along terpaksa sebelahkan Asyraf.” Akif senyum. Tahu sangat yang dia bakal kena jerit dengan Lily.

Lily tarik nafas dalam-dalam. Sabarlah wahai hati. Sabarlah. “Explain.”

Kening Akif terangkat sebelah. Tak kena jerit? Ada kemajuan. Ni mesti berkat sabar melayan kepala Asyraf yang pada pandangan dia sama spesis dengan Afiq. Spesis yang menuntut kesabaran tinggi sebab ada extra genetik loyar buruk. Akif berdehem sedikit. Konon nak melegakan tekak sebelum nak mulakan hujah panjang.

“Along puji guts dia untuk masuk meminang walaupun 90% daripada peluangnya, dia bakal kena tolak dengan adik. Adik tahu tak dulu Along pun nyaris buat benda yang sama yang Asyraf tengah buat sekarang ni?”

Bulat sekejap mata Lily. Along? Nak main redah macam yang Asyraf buat? Biar benar. Kenapa dia tak pernah tahu pun. “Apa yang buat Along tak jadi buat?”

“Cuma orang yang betul-betul yakin dia boleh pikul tanggungjawab untuk jaga dan sayang anak dara orang aje yang boleh buat benda yang bagi adik sekarang ni ‘main redah’, dik. Along tak ada guts yang cukup masa tu. Sebab tu Along puji budak Asyraf ni. Ingat kerja senang ke take over tanggungjawab yang selama ni ayah dengan Along pegang?” Penuh hati-hati Akif menyusun kata, mahu memujuk kembali hati Lily.

“Along dah tak larat nak jaga adik, ye?” Sengaja Lily menarik muka belas. Dalam hati sebenarnya, sedikit terkesan dengan pujukan Akif.

“Siapa kata Along nak bagi adik dekat Asyraf? Along cuma nak tambah pengawal diraja untuk guard adik aje.” Akif usap perlahan kepala Lily.

“Along..”

Akif angkat kening sebelah. Menyoal pakai isyarat aje.

“Lapar. Domino jom? Along belanja!”

“Cis. Along yang kena pujuk. Along yang kena belanja lagi.”

Lily ketawa. “Thank you, Along! Adik naik atas dulu. Tukar baju. Lepas tu kita gerak ek. Adik drive.” Lily terus berlari ke atas.

Akif geleng. Perangai tak berubah. Sungguh dia tak tahu macam mana Asyraf nak melayan kerenah Lily andai kata Lily kata ya.





“SAYA DAH HABIS FIKIR.”

Minggu lepas, lepas tiga minggu dia mendiam diri, Asyraf sekali lagi mengetuk pintu rumah dia. Cuma kali ni dia tak datang dengan rombongan. Datang berdua aje dengan kawannya yang cuma dia kenalkan sebagai Akid. Asyraf minta kata magik untuk buat dia setuju. Akid pula minta dia terima aje Asyraf sebab dia jamin Asyraf bakal jadi antara perkara terbaik dalam hidup dia. Heh, jual kawan nampak.

Cukup sebulan, ibu dan ayah sendiri yang buat keputusan. Kata ayah, kalau dia tak bagi juga jawapan lagi seminggu, ayah tak kira apa pun keputusan dia, ayah akan terima aje pinangan Asyraf. Jadinya, kalau dia mahu tolak pun, dia cuma ada masa seminggu aje untuk tolak. Kata ibu, kalau tak kesian dengan Asyraf pun, kesiankanlah mak dengan ayah Asyraf.

Dan tiga hari kemudian, dia akhirnya buat keputusan. Tapi sebenarnya keputusan yang bukan keputusan pun. Dia akan terima, bergantung kepada jenis jawapan yang Asyraf bagi pada dia. Dan sebab itu, kini dia duduk berdepan dengan Asyraf yang sejak tadi tak pernah tak senyum. Isk. Tahulah senyum awak tu manis, Encik Asyraf.

Lily membuang pandang ke sisi Asyraf. Bukan dia tak perasan yang sejak tadi Asyraf tak lepas dari memandang tepat ke wajah dia.

“Saya tak pandai masak. Tak pandai kemas rumah. Kerja saya kadang tak tentu masa. Saya kuat merajuk dan setakat ni cuma ada dua orang aje yang pandai pujuk saya. Dan saya ada banyak lagi minus points yang kalau saya sebut awak boleh dapat mimpi ngeri seminggu dua ni. Jadinya, kalau awak rasa boleh terima semua tu, saya terima pinangan awk.” Lancar Lily menutur. Tak ada putus langsung sebab tak mahu Asyraf potong tengah jalan macam yang dia selalu buat.

Asyraf yang baru sudah menyedut air limau ais dia terus mengukir senyuman lebar. Mungkin dia tahu permainan apa yang Lily cuba mainkan. Sedikit pun tak terkesan riak tak senang tu. Dan dalam hati memang dah berbunga setaman.

Asyraf berdehem sesaat. “Lily Nadya.” Sekadar menyeru nama, kemudian dia berhenti sedetik dua.

Lily menahan senyum yang menarik di pinggir bibir. Sungguhlah makhluk depan dia ni memang spesis pandai buat orang nak bagi perhatian dekat dia.

“Saya lamar awak untuk jadi isteri. Saya tak kata saya nak ambil awak jadi tukang masak. Kalau awak tak pandai masak, kita boleh belajar sama-sama. Kalau awak tak mahu belajar masak, tak apa. Saya belajar masak untuk awak pun boleh.” Asyraf berhenti sesaat.

“Saya lamar awak untuk jadi isteri. Saya tak kata saya nak ambil awak jadi bibik kemas rumah saya. Kalau awak tak pandai kemas rumah, tak apa. Selama ni pun saya duduk sendiri, saya kemas sendiri rumah saya.” Berhenti lagi.

“Saya lamar awak untuk jadi isteri. Kerja awak tak tentu masa? Tak apa, saya akan selalu ada masa untuk awak.” Asyraf menarik senyum. Sungguh dia nmpak ikhlas bila dia kata dia akan selalu ada masa untuk Lily.

Dan Asyraf kembali menyambung. “Saya lamar awak untuk jadi isteri. Dan bila saya hantar mak dengan ayah saya untuk pinang awak, awal-awal saya dah tanam dalam hati, saya nak hidup dengan awak dan segala jenis sifat yang awak ada.” Berhenti tiga saat. Menarik nafas. Dan buat muka penuh berharap.

“Saya lamar awak untuk jadi isteri. Sungguh saya bakal jadi orang paling gembira untuk hari ni kalau awak betul-betul terima saya.” Senyuman lebar kekal bergantung di raut Asyraf sepanjang-panjang dia bercakap.

‘Saya lamar awak untuk jadi isteri.’ Siap ulang lima kali lagi.

Lily akhirnya ketawa. Tak tahu kenapa dia perlu ketawa, tapi sungguh dia rasa sangat ingin ketawa.

Konon nak ‘test’ orang depan dia ni, akhirnya dia yang terkena balik. “Jangan lupa belanja saya makan besar nanti sebab saya bakal bagi awak sebab untuk jadi orang paling gembira untuk hari ni.” Selamba Lily memberi jawapan tanpa ada bengkang-bengkok lagi.

Asyraf pandang Lily dengan muka tak percaya. “Awak tak main-main? Betul-betul terima?”

Lily buat muka. Ingatkan Asyraf akan menjerit suka tadi. Boleh pula dia tak percaya lagi. “Saya kata ya. Saya terima.”

“Tak tipu?” Polos Asyraf bertanya. Masih antara mahu dan tak mahu percaya.

“Awak nak saya kata saya tipu ke?”

Asyraf cepat-cepat geleng. Tapi sekejap aje dia geleng. Dua minit lepas tu, dua-dua kena suruh keluar dek tuan kedai sebab habis geleng aje Asyraf terus menjerit macam orang sambut malam merdeka dekat Dataran Merdeka. Sumpah malu!


Bab 14 : Aku, Dia dan Sampai Tua

Posted by ai at 10:33 PM 0 comments

AFIQ BALING tuala lap mukanya tepat ke arah muka Asyraf yang tengah tersenyum sorang. Entah apa yang gembira sangat pun dia tak tahu.

“Kau khayal semacam ni kenapa? High?”

Asyraf campak semula tuala Afiq yang tak sempat dia elak tadi balik ke Afiq. Sungguh memang spesis yang tak boleh tengok dia senang sekejap. Lepas tu suka hati kata aku high. “Asal aku gembira sikit aje mesti kau kata aku high.”

Afiq ketawa. “Hari tu berminggu-minggu monyok. Sekarang ni senyum kalau tak sampai ke telinga mesti tak sah. Dah jumpa orang yang kau cari tu ke?”

Air muka Asyraf terus berubah. Serius. “Aku ada pengakuan jenayah nak buat.”

Dahi Afiq dah berkerut. Apa jugalah budak seorang ni. Dia gembira, aku susah hati. Dia susah hati pun aku susah hati. “Apa? Risau pulak aku tengok muka serius kau tu.”

Asyraf berdehem sebelum memula madah yang tak ada langsung helah. “Kau ingat tak dulu aku pernah kata aku akan elak sejauh mungkin kalau aku jumpa mana-mana perempuan nama Lily?”

Perlahan Afiq angguk.

“Aku tak lari.”

“Tak faham.” Ujar Afiq pendek. Kejap cerita pasal perempuan nama Lily. Kejap kata tak lari. Apakebendanya?

“Lily. Perempuan yang buat hari aku terbalik tu nama dia Lily. Bila aku jumpa dia, aku tak lari macam yang aku pernah kata dekat kau dulu. Makin aku kejar dia lagi adalah.” Tulus Asyraf membuat pengakuan. Tertahan-tahan juga fakta yang diberi. Dalam hati sangat berharap Afiq dapat menangkap apa yang dia cuba sampaikan.

So?” Afiq buat muka kerek. Sungguh dia tak nampak apa kaitan cerita Asyraf sekarang dengan pengakuan jenayah yang nak dibuat. Atau mungkin dia sengaja memaksa diri untuk buat tidak faham.

“Aku rasa aku macam dah jatuh suka dengan Lily Nadya Muhammad Farid.” Terus. Lurus. Tak ada bengkang-bengkok. Kalau tak faham lagi, sungguh dia tak tahu nak terang lagu mana lagi.

Afiq ketawa. Sungguh-sungguh punya ketawa. Macamlah tadi Asyraf baru lepas cerita kisah lawak mega.

Asyraf baling botol separuh penuh di tangan ke kaki Afiq. “Kau dah apahal?”

Laju Afiq mengelak. Ketawanya dikawal. Tak mahu jadi mangsa balingan kasut Nike Asyraf pula. “Dulu sombong. Aku nak kenalkan dengan adik aku tu kau tak mahu. Sekarang apa cerita, bro? Adik aku tu aku tengok hari-hari campak BlackBerry dia bawah bantal.”

Afiq menahan senyum. Kisahnya, dia dah tahu. Itupun sebab Amirul terlepas cakap depan dia hari tu. Lepas tu, dia pun apa lagi. Laju aje tuntut cerita penuh daripada Lily. Tak dapat cerita dengan cara biasa, dia guna mandat abang besar. Paksa rela aje adiknya bercerita. Sengaja dia tak ambush Asyraf awal-awal. Sebabnya, dia mahu Asyraf sendiri yang buat pengakuan.

Asyraf sengih, cover malu. Memang tepat mengena batang hidung. Kalau dia tahu orang yang dia cari tu adik Afiq, dulu lagi dia dah datang menyerah diri. Tak adalah kena susah-susah jadi pakcik pengawal tak berbayar dekat One Utama dengan Carrefour tu. Tapi buah ‘kalau’ mana boleh pakai.

Asyraf membaringkan diri atas rumput. Melepas lelah. “Dia tak ada cerita apa-apa?” Paksa rela juga Asyraf bertanya. Sungguh sekarang ni dia rasa cuma Afiq yang boleh membantu.

Afiq ketawa. Ingatkan dah tak nak tanya. “Ikutkan degil budak tu, alamatnya sampai bila-bila pun belum tentu dia bercerita. Tapi aku kan abang. Abang mandat besar.”

Asyraf buat muka. “Keji.”

“Kau takkan tak ada apa-apa nak cerita dekat abang besar ni?” Separa mengusik Afiq bertanya. Kalau betul Asyraf memang sungguh-sungguh jatuh suka pada Lily, sungguh dia pun tumpang gembira.

“Aku dah fikir masak-masak.” Serius.

Afiq angkat kening. Serius benar bunyinya. Afiq membetul duduk, menarik sila. “Dan?”

“Aku ingat aku nak hantar rombongan masuk meminang.”





“KIRANYA TEPAT TEORI dan perkiraan yang aku pernah sebut dulu, sebelum hujung tahun ni aku bakal merasa nasi minyak kenduri, kan?”

Asyraf angkat bahu. “If and only if she said yes.” Mata terpacak tepat ke muka TV. Tapi satu apa pun tak masuk. Lebih tepat, bukan dia yang tengok TV, tapi TV yang tengok dia.

Terangkat kening Akid. Pertama kali dia tengok sahabatnya yang seorang ni bersikap pesimis. Menarik. Yang dia perasan, sejak Asyraf mula kenal Lily, dah banyak benda baru tentang Asyraf yang dia pertama kali lihat. World class budak Lily ni.

“Dia dah tolak langsung ke pinangan kau?” Soal Akid ringkas. Terus dan lurus.

Geleng. Kemudian angkat bahu. “Dia kata dia perlukan masa.” Ringkas juga Asyraf menjawab.

Sejak dia menghantar rombongan meminang dua minggu lepas, tak pernah sekali pun dia berjumpa dengan Lily. Cuma sekali, pada hari rombongan datang. Itu pun atas permintaan Lily untuk berjumpa sekejap dengan dia. Hanya sebaris ayat yang keluar daripada bibir comel si gadis. “Bagi saya masa untuk berfikir.” Kemudian Lily terus senyap. Langsung senyap, sampai ke hari ni.

Afiq sendiri pun tak berani nak tanya keputusan Lily. Kata Afiq, lebih baik jangan bertanya apa-apa. Bimbang silap susun ayat, jam-jam tu juga Lily kata ‘tidak’. Kata Afiq lagi, Dalia, sahabat ketawa, menangis Lily pun langsung tak ada klu, terima atau tolak. Memang Lily jadi langsung senyap sepanjang dua minggu ni.

Reaksi keluarga dia? Masa dia mula-mula menyampai hasrat, tak ada siapa pun nak percaya. Respon semua negatif. Logik juga. Dia tak pernah sebut apa-apa tentang kahwin, alih-alih suruh meminang anak dara orang. Lagi-lagi pula bila ditanya tentang gadis yang disuruh pinang, selain nama dan adik siapa, tak ada apa-apa lagi yang dia tahu. Tapi melihatkan pada peribadi Afiq dan mendengarkan pada kata hati sendiri, dia akhirnya nekad.

Akid senyum. Cuba memberi semangat pada seorang sahabat. “Bro, kalau memang dia ‘Hawa’ kau dan memang dah sampai masa untuk kau bina masjid, dengan izinNya juga, tak ada apa dalam dunia ni yang boleh ubah.”

Asyraf ketawa. “Kenapa aku rasa aku macam kenal aje dengan ayat ni?” Soalan retorik. Tak perlu jawapan. Kredit ayat pada diri sendiri. Dulu lepas satu, satu dugaan datang dalam hubungan Akid dan Julia, dia lah orangnya yang karang ayat penyedap jiwa tu. Dan sekarang Akid guna balik modal yang sama.

Akid sengih. Boleh gelak lagi. Kira tak ada lah parah sangat. “Aku curious. Apa yang buat kau tak fikir panjang nak lamar budak Lily ni?”

Asyraf meletak sandar pada kaki kerusi. Luar sedar dia mengukir senyum. “Dia buat aku ada rasa nak jaga dan sayang dia sampai bila-bila. Paling aku suka bila dia selalu mengelak dengan alasan yang kadang-kadang tu tak logik pun tiap aku ajak dia keluar berdua.”

Asyraf ketawa sendiri sebelum kembali menyambung. Pandangan jauh ditebar. “Pernah sekali tu dia boleh bagi aku alasan rumah dia tak ada air. Jadinya dia dah ambil kontrak nak penuhkan air dalam tangki semua rumah dekat lorong kejiranan dia.”

Nak diikutkan, Asyraf bukannya jenis manusia yang tak boleh terima jawapan ‘tak’. Tapi Lily memang selalu menolak dengan cara berlapik tak beringat.

Akid ketawa sekali. “Memang padanlah dengan kau. Dua, dua spesis masuk air.”



Bab 13 : Aku, Dia dan Sampai Tua

Posted by ai at 10:28 PM 0 comments

DIA SEBENARNYA lapar.

Pagi dia cuma bersarapan roti dua keping sapu dengan jem. Tengah hari dia langsung tak sempat nak makan sebab sibuk berkejar ke site dan juga Kajang untuk berjumpa dengan pembekal. Masa dia sampai rumah tadi pun dah nak dekat pukul 7.30. Dan seperti yang dijangka, tak ada siapa lagi di rumah dan memang tak ada apa-apa untuk dimakan.

Sampai rumah, terus dia naik ke atas untuk membersihkan diri dan solat. Rehat sekejap sementara tunggu waktu Isyak dan sekarang, sejam kemudian, dia masih melangut seorang dengan perut yang sangat lapar.

Along dengan Angah pun macam tak ada tanda lagi akan balik dalam masa yang terdekat. Bila balik pun ada kemungkinan dua-dua dah makan. Maknanya dia kena cari makanan sendiri. Nak masak, tak berbaloi sebab makan seorang. Nak buat maggie, dia lapar nasi. Nak keluar, malas.

Heh. Banyaklah alasan. Macam ni, memang sampai esok pagi pun belum tentu dapat makan.

Lily akhirnya bangun dan naik ke atas untuk pakai tudung. Baju dah memang berlengan panjang. Seluar trek tu okey aje kan. Beg duit dan kunci kereta dicapai. Baru dia melangkah sampai anak tangga terakhir, BlackBerry berbunyi. Vuvuzela.

“Assalammualaikum.”

Asyraf menjawab salam. “Lily?”

Tanya macam ni pertama kali dia dengar suara aku aje. Padahal tiap-tiap hari masa yang sama dia duduk telefon. “Iye. Lily ni. Ada apa?”

“Suara awak lainlah. Awak lapar, ek? Keluar makan nasi lemak dengan saya, jom.”

Kadang-kadang Lily betul rasa kagum dengan Asyraf ni. Teka mesti betul. Nak-nak bab makan ni. Padahal bukan kongsi perut pun. 

Luar sedar Lily mengukir senyum. “Saya dah makanlah, awak. Lain kali, okey.”

Lily bohong. Sebenarnya dia selalu mencari alasan untuk tak keluar bila Asyraf yang mengajak. Tak seronok keluar dengan orang yang ada aje orang lain kenal dia. Duduk sekejap, ada orang datang minta bergambar. Duduk sekejap lagi, orang tanya dia siapa, special girlfriend ke. Sungguh rimas. Lagi rimas bila dia sebenarnya bukan sesiapa pun dengan Asyraf tu, tapi kena act macam dah lama kenal. Sungguh dia tak kuasa melayan.

“Ala..” Suara Asyraf berbunyi kecewa. “Tak apalah. Esok saya ajak lagi. Selamat malam.” Dia mematikan talian.

Lily tenung telefonnya yang bisu. Benda yang satu ni pun dia dah sangat biasa kena sampai dah malas nak cakap apa-apa. Muncul macam ribut, hilang pun macam ribut. Tak sempat Lily nak cakap apa-apa lagi dia dah letak dulu. Konon macam merajuklah. Tapi esok telefon lagi macam tak ada apa-apa.

Lily baru siap sarung selipar bila BlackBerry dia berbunyi lagi. Tapi kali ni mesej pula – Yol.

Adik. Siap. Lagi lima minit Yol sampai. Teman makan jom.

Lily senyum lebar. Ini memang betul pucuk dicita, ulam mendatang. Makan free lagi!





“SELALU BUKAN adik tak nak makan rendang ayam melainkan hari raya aje ke?”

Lily sengih dan mengangguk. “Tadi masa masuk, Lily nampak ada orang dekat meja depan tu makan nasi lemak lauk rendang. Nampak sedap aje. Terus teringin.”

Amirul mengetuk-ngetuk meja dengan jari. Berfikir. Dia ada benda nak tanya dengan Lily sebenarnya. Tapi dia terlupa apa. Dan bila BlackBerry dia berbunyi tanda mesej masuk, baru dia teringat apa yang ingin dia tanya.

“Angah kata sekarang adik dah ada boyfriend, ek. Tiap-tiap malam mesti dia telefon adik.” Amirul angkat kening sambil buat muka nakal. Jarang dapat peluang nak mengusik Lily dengan bab-bab macam ni. Sejak Lily putus dengan lelaki entah siapa tu, rasanya tak pernah lagi dia dengar Lily dengan siapa-siapa.

Lily buat muka kayu. Angah ni lah, kan. Pandai-pandai aje buat kesimpulan sendiri. Dahlah siap buat sebaran lagi sebelum sahkan cerita rekaan dia tu. “Bukanlah. Lily pun bukan kenal sangat dengan dia. Tapi kan, dia macam Yol. Terutamanya bahagian determination dia tu.”

“Yol kenal dia ke?”

Lily angguk. Straw di tangan dipusing-pusingkan di dalam gelas.

Siapa kawan Lily yang dia pun kenal juga? Kut kalau kawan perempuan Lily, Dalia ajelah yang dia kenal pun. Ni lelaki. “Apai? Iman? Padi? Ilham? Takkan Em?” Satu-satu nama ‘kawan stadium’ mereka disebut.

Lily gelak. “Apalah Yol ni. Em tu budak sangat kut. Belajar pun panjang lagi jalan dia. Bukanlah. Bukan diorang pun.”

“Dah tu, siapa? Takkan Khyril Asyraf kut?” Tembak Amirul. Nama itu ajelah yang selalu Lily sebut-sebut dulu pun. Tapi rasanya sekarang dah jarang sangat dengar Lily sebut nama yang satu. Kadang siap buat muka tension lagi kalau dengar nama tu.

Lily terdiam sekejap. Bukan sebab nama yang Amirul tembak dengan tepatnya. Tapi sebab macam tahu nama dia baru kena seru, Encik Vuvuzela yang bising tu memang betul-betul ada berdiri dua meja di belakang Amirul.

Amirul petik jari dua kali depan Lily. “Lily? Still here?” Pelik. Budak ni tiba-tiba tersampuk bisu kenapa?

Air muka Lily makin berubah bila mata dia bertentang betul dengan mata Asyraf. Kantoi. Tadi kata dah kenyang. Alih-alih ni dengan Amirul. Lily cepat-cepat senyum. Nak cover air muka yang tadi jelas berubah. Tolonglah jangan dia datang sini. Tolonglah.

Hah. Senyum pula. Siapa jugalah yang Lily nampak ni, fikir Amirul.

Belum sempat Amirul nak berpusing, Asyraf dah datang menegur dulu. “Hai.”

“Hai.” Lily melambai sambil tersenyum manis. Dalam hati rasa tak sedap walaupun dia tak tahu kenapa dia mesti kena ada rasa tak sedap.

“Eh, Asyraf kan. Korang memang dah kenal ke?” Amirul menghulur tangan, bersalam. “Seorang ke? Nak join sekali?” Ramah Amirul mengajak.

“Amirul, kan?” Tanya sekadar berbahasa. Takkan mungkin dia lupa nama yang satu ni. Asyraf dah menarik kerusi di sebelah Amirul. “Tak mengganggu ke kalau join sekali ni?” Dia mengerling sekejap-sekejap ke arah Lily di depannya.

“Tak adalah. Lagi ramai, lagi meriah. Lagipun bukan selalu dapat peluang ni. Makanan kitorang pun belum sampai.” Amirul memanggil pelayan untuk menambah pesanan. “Korang berdua memang dah lama kenal ke?” Amirul pandang Lily yang tengah beku.

Asyraf membuat pesanan sebelum dia kembali menyambung perbualan dengan Amirul. Teringin dia tahu jawapan apa yang Lily akan bagi. Tapi hampa. Lily langsung toleh tempat lain. Tak ada tanda-tanda langsung nak jawab soalan Amirul.

“Nak kenal. Tapi ada orang tu sombong sangat.” Sengaja Asyraf bagi jawapan yang sebegitu rupa. Nak tengok apa reaksi Lily yang tengah selamba buat muka kayu. Dalam masa yang sama, dia nak tahu apa sebenarnya hubungan Lily dengan Amirul.

“Lah. Katalah yang kau tengah nak masuk line budak kecik ni?” Amirul cepat menangkap. Sifatnya yang mudah mesra membuatkan dia tak kekok langsung untuk berbual dengan Asyraf walaupun baru dua kali jumpa. Lebih tepat, terjumpa.

“Yol.” Lily menekan suaranya. Habislah. Mesti lepas ni satu lagi rahsia dia bakal tak jadi rahsia. Amirul ni pun satu. Sama spesis dengan Afiq. Terlebih peramah walaupun dengan orang tak berapa kenal ataupun tak kenal langsung.

Asyraf jongket kening pada Lily. Itu yang buat suara penuh mengharap tu kenapa. “Kalau aku jawab ya?”

Lily yang tengah minum terus tersedak. Terbatuk-batuk dia bila air sirap yang diminum termasuk dalam salur yang salah. Amirul cepat-cepat menghulur air kosong dia. Asyraf pula dah sibuk menghulur kertas tisu.

Amirul kemudiannya ketawa. “Kiranya kau lah orang yang Afiq gelar boyfriend misteri Lily ni.”

“Afiq?” Afiq Farid ke? Wajahnya jelas tertanya-tanya sekarang ni.

Amirul menepuk dahi. “Katalah yang kau tak tau lagi yang Lily ni adik Afiq? Aku dengan Lily ni sepupu.” Biar betul diorang berdua ni. Serius balik ni dia nak tanya lengkap-lengkap dekat Lily macam mana boleh kenal tapi banyak benda yang lompong sana-sini. Sampaikan Afiq abang si Lily ni pun Asyraf boleh tak tahu.

Langsung bulat mata Asyraf. “Adik? Serius?”

Amirul dan Lily sama-sama angguk.

Asyraf melopong. Cuba menghadam info yang memang dia tak pernah sangka.

Lily buat muka melihatkan Asyraf yang melopong. “Awak tak payahlah nak susah-susah fikir lagi nak percaya ke tak. Iya. Afiq tu memang abang saya.”

“Kenapa saya tak pernah tahu?” Tanya Asyraf lurus.

“Sebab awak tak pernah tanya.” Jawab Lily selamba sambil buat muka tak bersalah.

Amirul dah geleng-geleng kepala. Agaknya kalau bukan sebab dia ada dan kebetulan boleh terjumpa dengan Asyraf ni, sampai sudah pun Lily takkan cakap apa-apa.

Bila makanan mereka sampai, semua senyap sekejap. Sampaikan Amirul yang selama ni tak pernah kering idea benda untuk dicakapkan pun boleh senyap sekali. Tiba-tiba dia terasa seperti kalau dia bercakap juga masa ni, mesti kena baling dengan sudu Lily. Tak pun kena tikam dengan garfu Asyraf.

Asyraf letak sudu dan garfunya di atas pinggan. Kemudian dia menoleh pada Amirul. “Apa benda yang aku boleh buat supaya Lily boleh suka dekat aku?”

Giliran Amirul pula untuk tersedak. Perlahan dia menepuk-nepuk dadanya. Lily pula spontan tergelak. Dah gembira gelakkan Amirul baru dia hulur tisu.

Amirul minum air sampai tekaknya terasa lega. Kemudian baru dia menyambung. “Kau memang selalunya lurus macam ni ke? Tak pun tadi masa keluar rumah ada terhantuk dekat mana-mana ke?”

“Dia memang macam ni lah, Yol. Imej dia clash langsung dengan personaliti dia, kan?” Lily dah gelak-gelak. Masa dia baru mula-mula jumpa dengan Asyraf, dia pun antara nak percaya dengan tidak betul ke ni Asyraf yang sama yang dia nampak atas padang.

“Aku tanya betul-betul ni. Aku dah puas tanya soalan yang sama dekat Lily.” Selamba dia berkata. Padahal tuan punya badan ada depan mata lagi.

Amirul sengih. “Dulu aku selalu dengar Lily duk puji kata kau comellah. Manislah. Tapi sekarang langsung senyap. Rupa-rupanya dia dah jumpa dengan kau. Dan aku rasa aku pun boleh agak kenapa ayat puji-pujian tu dah tak keluar dari mulut Lily lagi.”

Pecah ketawa mereka bertiga. Dan lepas tu, masing-masing pun riuh dengan kisah masing-masing. Macamlah mereka bertiga kawan lama yang dah lama tak jumpa.


Bab 12 : Aku, Dia dan Sampai Tua

Posted by ai at 10:18 PM 0 comments

TERKOCOH-KOCOH Asyraf ke pintu depan rumahnya bila loceng dibunyikan dengan bertalu-talu. Siapalah yang tak menyempat sangat bila datang ke rumah orang ni?

Bila dia menjengah dari pintu depan, dia terus patah balik untuk mengambil kunci pagar. Akid. Apa benda jugalah yang bujang seorang ni nak pagi-pagi ni.

“Tak ada angin, tak ada ribut, kau datang kenapa?” Tanya Asyraf sambil tangan terkial-kial membuka mangga yang tiba-tiba seperti meragam tak mahu terbuka.

“Yang kau pakai cantik-cantik ni nak pergi mana?” Akid membalas dengan soalan. Laju kaki dia menapak masuk. Buat macam rumah sendiri.

“Soalan aku bukan dia nak jawab.” Asyraf merungut perlahan.

Akid duduk berlunjur depan TV. “Bro, air kosong, tapi nak yang sejuk. Eh, kau bukan malam tadi ada game dekat Melaka ke? Lawan United kan?”

“Aku libas jugak kau karang.” Sedap dia mengarah. Bukan tak boleh ambil sendiri air tu.

Dalam pada tak puas hati, dia melangkah juga ke dapur untuk ambil air. Botol air sejuk, dua gelas siap isi ais, siap dengan oren sebotol diisi atas dulang dan dibawa ke depan.

“Malam tadi kau memang ada dekat Melaka, kan? Cepat kau balik?” Akid mengulang soalan bila soalannya tadi tak dijawab Asyraf. Tangan dah laju menuang air dalam gelas.

Asyraf angguk. Dia pun dah sama berlunjur di sebelah Akid. “Aku pecut balik sorang malam tadi jugak lepas habis game.”

Akid terus cepat menangkap. “Kau ada date ek? Katalah kau dah jumpa dengan perempuan yang buat kau rasa macam kena langgar tsunami dulu tu?”

Asyraf ketawa. “Ingat lagi kau ek benda yang aku cakap masa tu.”

Akid buat muka teruja. Berita panas ni. Kalau muka Asyraf ni boleh jadi berseri-seri bila sebut pasal perempuan tu, maknanya betullah benda yang dia teka, kan? “Ceritalah.”

“Sebulan lebih aku cari dia. Tiap-tiap hujung minggu aku dah terpacak depan pintu masuk Carrefour tu tau. Tapi, harapan. Bayang pun tak jumpa. Agaknya sebab aku asyik cari dia aje kut. Tu tak jumpa. Lepas tu satu hari aku bawa anak buah aku tu berjalan dekat Tasik Titiwangsa, tup tup, jumpa. Memang aku tak lepas peluanglah. Nama siap dengan nombor telefon sekali aku dapat.”

“Hebat! Taktik apa kau pakai sampai boleh dapat nombor dia?”

See the leg lah, kawan.” Asyraf buat muka bangga.

Akid buat muka. “Berlagak. Macam ni aku nak ikutlah kau pergi jumpa dia karang. Teringin aku nak tengok perempuan yang boleh buat kau rasa macam kena langgar tsunami ni. Aku ikut, okey?” Akid buat muka berharap.

“Kenapa sampai aku nak kena angkut kau sekali. No. No way. Never. Aku nak dapat keluar dengan dia ni pun sikit punya berchenta.” Berhari dia menahan diri daripada menelefon semata-mata sebab nak keluar hari ni dengan Lily.

Asyraf menuang air ke dalam gelasnya yang masih belum terusik. Kemudian baru dia teringat yang Akid masih belum bagitahu kenapa dia datang pagi-pagi ni.

“Kau apahal muncul dekat rumah aku macam taufan pagi ni?”

“Julia merajuk dengan aku. Dah tiga hari tak nak angkat telefon.”

Asyraf dah gelak-gelak. Patut masa sampai tadi muka monyok semacam. “Dah tu yang kau datang rumah aku buat apa? Patutnya kau pergi cari dia. Tapi, Julia merajuk sebab apa?”

“Sebab kau.”

Asyraf terkedu. Aku? Macam mana dia boleh masuk dalam cerita sampai bergaduh bagai. “Apa salah aku?”

“Benda ni mungkin bunyinya agak luar alam. So, dengar sampai habis cerita dulu, okey?”

Asyraf mengangguk perlahan. Kenapa ayat Akid tadi suspen satu macam bunyi dia?

“Julia ada seorang kawan baik ni yang aku tak pernah nak kenal dan aku tak pernah dengar pulak pasal kawan baik dia yang ni. Nak dijadikan cerita, kawan baik dia ni rupanya peminat kau. Senang kata, dia ni fanatik kau jugalah. Rupa, personaliti, semuanya tak ada masalah sebenarnya, kecuali kalau masuk bab kau. Julia ni pula bila dah tahu cerita, boleh dia termengaku yang aku, tunang dia ni, kawan baik kau.”

Asyraf dah bulat mata. Dia rasa macam dia boleh agak aje ke mana hala tuju cerita Akid ni. “Kiranya, Julia ni merajuk dekat kau sebab kau mesti tolak permintaan dia. Kau cakap kau tak nak masuk campur dalam bab nak pasang-pasangkan aku, kan?”

Akid mengangguk perlahan. Sebab dia kenal Asyraf dia tak nak buat benda macam tu. Asyraf ni memanglah lembut hati. Selagi orang itu namanya peminat, memang dilayan elok-elok. Tapi, budak seorang ni alergic dengan fanatik. Bila dia dah tak tahan, meletupnya macam gunung berapi pendam. Scary.

Jadinya, sebelum benda yang asalnya kecil jadi besar, lebih baik jangan mulakan langsung, kan? Tapi itulah, bila dia cuba menerang pada Julia, lain pula yang jadi. Kata Julia, dia pandang rendah pada teman baik dia. Macam kawan-kawan Akid saja yang bagus. Kawan dia tidak. Pulak. Sungguh dia tak akan faham macam mana kaum perempuan berfikir.

“Sekarang kau nak buat apa? Apa aku boleh tolong?” Asyraf bertanya. Sedetik rasa bersalah timbul dalam diri walaupun kalau nak diikutkan, dia tak buat apa-apa yang salah pun sebenarnya.

Apa-apa ajelah diorang berdua ni. Sebab dah lama sangat berdua ni yang semua benda pun nak jadi isu. Ni pun belum kahwin lagi.

“Tak payah buat apa-apa. Tolong dengar aje. Nanti aku fikirlah nak buat apa.”

Asyraf jongket bahu. “Kalau ada apa-apa aku boleh tolong nanti kau bagitau aje lah. Mana yang boleh tolong, aku tolong. Kecuali bab kena kenal dengan kawan Julia tu lah. Aku dah jumpa buah hati aku walaupun dia tak tahu lagi.” Asyraf gelak. Gatal.

Akid pun gelak sekali melihat telatah Asyraf. “Angau.”





DIA BERDEHEM perlahan di belakang Lily yang duduk bersandar di kerusi di depan Sembonia. Nak diikutkan, dia dah lambat sepuluh minit sebenarnya. Semuanya gara-gara Akid yang datang bertandang tanpa undangan tadi.

Bila dia lihat Lily langsung tak perasankan dia walaupun dia berdehem tadi, akhirnya Asyraf duduk di sebelah. Coklat Cadbury sama seperti yang dia bagi masa dia mula-mula jumpa dulu dia tayangkan depan Lily.

Lily menoleh bila coklat melayang-layang di depannya. “Eh, bila sampai?”

Asyraf senyum manis. “Termenung apa tu sampai saya dah duduk sebelah awak sepuluh minit pun tak sedar.”

Lily mencebik. “Sebab awak lambat sepuluh minit lah saya sempat nak termenung.”

Asyraf letak Cadbury atas beg Lily bila Lily langsung tak nampak tanda nak ambil. “Sorry. Ada hal sikit tadi. Tu lambat.”

“Tak penat ke? Semalam habis game pun dah dekat pukul 11. Nak balik rumah lagi.”

“Sebab dapat keluar dengan awak, hilang semua rasa penat saya.” Asyraf senyum nakal. Dan senyumannya bertambah lebar bila melihat tona warna muka Lily yang berubah. Sungguh, dia sangat suka tengok muka Lily yang sangat senang blush.

“Datang sini nak buat apa? Makan?” Lily mengalih topik. Tak mahu Asyraf menyakat panjang.

“Makan. Saya belum makan lagi sejak malam tadi. Tengok wayang kalau awak nak. Kalau tak nak, masuk kedai buku aje pun boleh.” Dia memberi cadangan.

Lily berkira-kira dalam hati. “Makan boleh. Masuk kedai buku pun boleh. Tapi tengok wayang lain kalilah, okey?”

“Kenapa? Awak segan masuk berdua dengan saya?” Tanya Asyraf lurus.

Dan Lily pun mengangguk lurus. Mengiyakan kata-kata Asyraf tadi. “Dah, jomlah. Awak pilih aje makan dekat mana. Bayar kita bahagi dua, okey.”

Asyraf mengerut dahi. Kenapa nak kena bahagi dua? “Saya yang ajak keluar, saya lah yang belanja, cik adik oi.”

Lily angkat kening. “Oho. Saya takkan terpedaya lagi. Nanti lepas tu awak minta alamat rumah saya pula. Saya tak adalah lurus sangat untuk tertipu kali kedua.”

Asyraf ketawa kuat. “Dan saya pun taklah sekejam tu. Saya tak minta apa-apalah. Risau sangat. Coklat tu pun saya takkan minta ganti pun.”

“Awak tau tak awak ni pelik?” Soalan yang bukan soalan. Lebih pada ayat penyata, walaupun dihujung ayat diletakkan tanda soal. 

“Tak.”

“Kenapa awak sibuk nak juga saya yang teman awak walaupun saya tak layan awak, nak angkat call awak pun saya fikir lima juta kali dulu?” Lurus Lily menyoal.

Asyraf jongket bahu. “Saya cuma buat apa yang saya rasa saya kena buat. Saya pernah terlepas awak sekali dan saya tak nak terlepas lagi.” Sama lurus Asyraf menjawab.

“Tak faham langsung.” Lily buat muka.

“Laparlah, Lily. Kita pergi makan dulu lepas tu baru sambung bercerita boleh?” Asyraf buat muka kesian. Nanti-nanti boleh bercerita lagi. Lagipun, perutnya memang macam dah berzapin dah sejak daripada tadi.

“Kejap. Kejap. Saya tau awak tengah lapar. Tapi satu aje lagi soalan. Satu. Please?” Lily buat muka comel.

Shoot.” Siapa boleh tolak kalau orang depan mata ni dah sebut ‘please’ siap dengan buat muka comel lagi.

“Saya keluar dengan awak ni, tak ada siapa marah ke?”

Pecah lagi ketawa Asyraf. Fobia apa? “Kenapa?”

“Saya ada fobia.”



 

Penakut. Copyright © 2012 Design by Antonia Sundrani Vinte e poucos