Sunday, December 30, 2012

Bab 3 : Aku, Dia dan Sampai Tua

Posted by ai at 9:17 PM

RAMBUT SERABAI, berbaju gedabak, berseluar tiga suku. Pendek kata, selekeh. Dan sejak sepuluh minit yang lepas satu-satu benda yang dia buat hanya mengira berapa kali kipas di biliknya berpusing dalam masa satu minit.

Mengantuk. Sangat mengantuk sebenarnya. Rasanya dia hanya dapat tidur untuk tiga jam saja malam tadi. Ikutkan hati, Lily mahu sambung tidur semula selepas solat Subuh tadi. Tapi ibu selalu pesan tak elok sambung tidur lepas Subuh, nanti rezeki mahal. Walaupun kadang-kala terbabas juga sambung tidur lepas Subuh, tapi selagi dia boleh elak, memang akan dielakkan.

Sudahnya, seperti hari Sabtu yang lain, dipaksa diri untuk turun ke dapur dan sediakan sarapan. Sarapan paling senang lagi cepat – sandwich telur. Buat sarapan berat di hujung minggu pun kadang-kala tak berapa nak berbaloi. Abang-abangnya bukan jenis yang bangun awal pun.

Siap menyediakan sarapan, Lily sambung kerja mengemas rumah yang mana tak sempat dia lakukan masa hari bekerja. Waktu ni lah dia nak mengosongkan bakul baju kotor, menyapu rumah, mengelap lantai dan mengemas biliknya. Selesai semua kerja baru dia bertapa di bilik air untuk mandi.

Lily turun semula ke ruang tamu dengan tuala yang masih bergantung di bahu. Lily mengerling jam di dinding. 9.27 pagi.

Terus ke dapur. Beberapa keping sandwich diletakkan ke atas piring dan jus epal dalam peti sejuk dituang penuh ke dalam gelas. Kemudian kedua-duanya dibawa ke ruang tamu dan diletakkan di atas meja kopi depan TV.

TV dihidupkan dan Lily terus alih ke siaran TLC. Seronok tengok orang berjalan ke tempat yang pelbagai. Mana tahu untung-untung sampai giliran dia pula untuk berjalan.

Lily baca doa makan dan sandwich tadi terus disua ke dalam mulut. Baru mengunyah untuk ke berapa kalinya, loceng rumahnya berbunyi. Malas-malas dia bangun dan jenguk dari tingkap. Siapa pula yang rajin datang ke rumah pagi-pagi macam ni?

Amirul. Rajin pula mamat sorang ni bangun awal hari-hari Sabtu begini. Selalunya kalau belum pukul 12, jangan harap nak nampak batang hidung. Mesti berlingkar lagi bawah selimut tebal.

Lily menyangkut tuala di bahu ke atas kepala, ambil kunci dalam bakul di tepi tangga dan terus ke depan untuk membuka pagar.

“Kunci dah campak masuk tasik apa?” Tanya Lily sambil tangan membuka mangga.

Amirul merupakan anak bongsu Mak Longnya dan rumah mereka hanya sepuluh minit perjalanan. Dan disebabkan itu, satu set kunci awal-awal dah bagi pada Amirul. Rumah mereka dah macam rumah kedua Amirul juga. Suka-suka hati dia aje bila masa nak muncul.

“Selamat pagi, sweetheart.” Balas Amirul dengan senyum lebar. Soalan Lily yang ada tempias sindiran tadi langsung tak diambil peduli. Itu biasa. Amirul laju menapak masuk ke dalam rumah, meninggalkan Lily yang tengah mengetap semula mangga di pagar.

“Nak air, pergi ambil sendiri dekat dapur. Yang atas meja tu Lily punya.” Bagitahu Lily apabila melihat Amirul sudah menjamah sandwich di atas meja. Lily berlalu ke atas untuk menyidai tualanya.

Sebelum turun semula ke bawah, sempat Lily capai sikatnya dan kemudian dia ketuk bilik Akif. Turun bawah, dia bersila di depan meja kopi semula. Sikat diletak atas pemegang sofa dan dia kembali menyambung makan. Rambutnya masih basah dan dia tak suka menyikat rambut yang tengah basah. Jawabnya mesti banyak rambut yang gugur.

“Adik, Along belum bangun lagi ke? Angah?” Tanya Amirul yang baru keluar dari dapur dengan segelas jus yang sama.

Amirul dan Lily merupakan sepupu yang membesar bersama sejak daripada kecil. Walaupun Amirul cuma tua setahun daripada Lily, tapi kadang-kala dia terikut-ikutkan Along dan Angah, sama-sama memanggil Lily – adik.

Lily jongket bahu. “Entah. Tadi masa Lily ketuk pintu, senyap aje. Malam tadi tak tidur kut. Angah belum balik lagi.”

Amirul mengangguk. Dia beralih tempat dan sama-sama bersila di sebelah Lily.

Lily menoleh ke kirinya dan sebelah kening diangkat. Ni yang rapat tak nak berenggang apa hal? “Nak apa?” Dia agak yakin yang Amirul takkan datang pagi-pagi macam ni tanpa sebab langsung.

Amirul sengih. “Garang betul dengan Yol sekarang ek.” Amirul mengusik. Dia berdehem sebelum menyambung, “Teman Yol pergi One Utama, yuk. Nak beli baju baru.”

Lily mencebik. Dah agak dah. Mesti ada sebab. Lily cepat-cepat menggeleng. “Tak nak. Lily takkan terpedaya lagi. Ajaklah girlfriends Yol yang ramai-ramai tu. Ajak Lily buat apa?”

Ada banyak perkara yang tersenarai dalam senarai Don’ts Lily dan salah satunya adalah – Jangan terlalu baik hati setuju untuk teman Yol pergi membeli-belah, terutamanya membeli baju baru. Percaya cakapnya, keluar untuk teman Yol adalah mimpi ngeri. Berjam duduk dalam satu kedai yang sama, tapi belinya belum tentu lagi. Memilih baju macam memilih calon nak buat isteri. Dia yang perempuan pun tak merenyah macam tu.

Amirul buat muka kesian. “Lily.. Please. Temanlah Yol.” Sengaja direndahkan suara. Amirul dah terlalu masak dengan kelebihan dan kelemahan Lily.

Lily adalah jenis yang paling tak sampai hati untuk kata ‘tak’ bila orang yang rapat dengannya buat tiga perkara ni dalam satu masa sekaligus. Satu, bila minta tolong, guna perkataan ‘tolong’. Dua, buat muka kesian. Tiga, nada suara rendah macam orang yang betul-betul sangat mengharapkan pertolongan.

Lily mengeluh perlahan. Keji sungguhlah sepupunya yang seorang ni. Mata dilarikan kembali ke kaca TV dan tangan kembali menyuap sandwich ke mulut. Dalam kepala tengah berkira-kira dengan permintaan Amirul. Amirul di sebelah pula sudah mula mengukir senyum nakal di bibir. Yakin permintaannya bakal ditunaikan.

Macam yang Lily katakan tadi, boleh aje kalau Amirul nak ajak kawan-kawan perempuannya yang lain untuk keluar menemaninya. Tapi dia lebih selesa untuk keluar dengan Lily bila mencari barang. Walaupun sepupunya itu akan membebel sepanjang perjalanan mereka, tapi citarasa Lily dan dia hampir 90 peratus padan. Itu yang dia suka.

Uft. Lily cukup tak gemar bila Amirul mengguna semua pengetahuan yang ada untuk membuat dia setuju. Dia menarik nafas dalam. “Okey. Lily setuju. Dengan tiga syarat.” Tiga jari kanannya dinaikkan serentak.

Yes! Yol setuju dengan tiga-tiga syarat Lily.” Amirul menjerit suka. Dia tahu rancangannya pasti berjaya.

Lily menjeling sekilas pada Amirul yang sedang bergembira. Punya gembira sampai langsung setuju dengan semua syarat yang tak dia dengar langsung.

“Tak nak dengar langsung syaratnya?”

Amirul pusing badan ke belakang dan capai sikat yang Lily letak atas pemegang sofa tadi. Kembali menghadap Lily dan menyambung kata. “Satu, wajib belanja seisi rumah makan. Yol teka, hari ni kita makan sushi? Dua, esok Yol kena teman Lily beli barang dapur. Tiga, Yol hutang Lily satu permintaan.” Amirul menyebut tiga-tiga permintaan Lily macam semua benda tu ada tertulis pada dahi Lily.

Lily menepuk tangan. “Hebat. Mana Yol tahu hari ni Lily teringin nak makan Sushi?”

Amirul memuncungkan bibirnya ke arah TV. “Now Boarding: Japan - Chef Abroad.”

Orang tak gelar Amirul sebagai kembar Lily tanpa sebab. Amirul terlalu kenal dengan Lily sampaikan Afiq pernah kata dulu kalau Lily gerakkan satu jarinya pun Amirul dah boleh tahu apa yang Lily mahu.

Lily senyum nipis, tanda mengiyakan tekaan Amirul. “Nak gerak sekarang ke? Lily naik atas kejap jenguk Along. Lepas siap-siap kita pergi ek.”

Lily baru hendak berdiri bila Amirul lagi laju menarik tangannya, menyuruh untuk kembali duduk. “Rambut tu dah nak kering dah rasanya. Sini, Yol sikatkan rambut tu dulu.”





LILY MEMANISKAN MUKA, membalas senyum pekerja kedai yang sejak tadi tak jemu melayan kerenah Amirul. Dalam hati terdetik sedikit rasa simpati pada mereka kerana perlu melayan pelanggan seperti sepupunya yang seorang ni. Cerewet mengalahkan perempuan.

Sedikit rasa kasihan juga dihadiahkan untuk diri sendiri. Ini merupakan kedai yang ke-sebelas dia masuk dalam masa lima jam dan tangan mereka masih kosong seperti masa mula-mula mereka sampai ke One Utama. Lily melepaskan keluhan untuk yang keberapa kalinya. Nak beli t-shirt aje pun.

“Mak saya selalu pesan, tak elok mengeluh.” Tegur lelaki di sebelahnya yang muncul entah bila dan dari mana.

Hampir melompat Lily daripada tempat duduknya dek kerana terkejut. Siapa pula yang rajin sangat menegur dia ni? Bila Lily menoleh, dia langsung tercengang.. sekejap. Cepat-cepat Lily paksa diri untuk senyum. Tak nak nampak sangat ketara air mukanya yang berubah tadi.

“Awak nampak bosan. Kalau tak kisah, tolong saya pilih antara dua baju ni, mana satu yang lagi nampak cantik?” Tanya lelaki itu bila dia lihat Lily seakan tergamam bila melihatkannya. Dua helai t-shirt berkolar dah diletakkan di hadapan Lily.

Lily buat muka pelik. Dia ada nampak macam kaunter maklumat ke? “Kenapa tanya saya?”

“Sebab awak nampak bosan. Dan sepanjang saya masuk kedai ni, dah lima kali saya dengar awak mengeluh. Jadi saya nak tabur jasa, buat awak berhenti mengeluh.” Dia senyum lebar sehingga menampakkan lesung pipit di pipi kanannya.

Lily mencebik. Kerek betul mamat sorang ni. Nasib baik senyum tu manis. Sejuk juga hati dia bila tengok. “Kalau saya kata saya tak nak terima jasa awak tu?”

“Awak boleh tabur jasa dekat saya dengan tolong saya pilih satu antara dua ni.”

Lily menjeling tajam. “Ni cara baru nak mengurat ke?” Bawah nafas dia bersuara. Lebih kepada diri sendiri sebenarnya.

Lelaki di sebelahnya ketawa. “Kalau betul pun saya nak mengurat, saya bagi awak coklat. Bagi manis sikit muka awak yang comel tu.” Dia mengenyitkan sebelah matanya.

Lily merengus perlahan. Apalah malang nasib dia hari ni. Dahlah berjam-jam kerjanya menunggu semata-mata. Sekarang ni, ini pula. Akhirnya dia hanya memandang tegak ke depan. Dah tak kuasa nak melayan lelaki di sebelahnya lagi. Buat tambah bara dalam hati aje.

“Kalau awak tak nak tolong, tak apa lah. Saya ambil aje dua-dua ni walaupun saya cuma perlukan satu aje buat masa ni.” Lelaki itu akhirnya bangun dan menapak perlahan ke kaunter.

“Yang belang hitam-kelabu tu cantik. Rasanya awak dah ada banyak yang warna putih tu.” Balas Lily tanpa memandang. Sengaja pandangannya dijatuhkan pada BlackBerry di tangan.

Bila Lily rasakan yang lelaki tadi tidak tengah pandang, baru diangkat mukanya. Kelihatan dia tengah membayar harga t-shirt belang hitam-kelabu yang Lily pilih tadi. T-shirt putih sudah ada di tangan salah seorang pekerja yang berdiri berdekatan. Luar sedar Lily mengukir senyum dan senyumannya masih tak hilang walaupun selepas sudah lelaki tadi habis membayar.

“Kan manis kalau selalu senyum macam ni. Sejuk hati saya tengok.” Sempat lagi dia mengusik Lily. Sebelum keluar dia sempat meletakkan satu bar Coklat Cadbury atas beg tangan Lily. “Have a good day, darling.

Lily buat muka kayu. Seolah-olah dia tak berasa terusik langsung dengan ayat terakhir lelaki tadi. Bila dia dengar bunyi pintu kaca yang sudah tertutup semula, baru dia mengukir senyum. Coklat di atas begnya dipegang.

“Comel. Dahlah sangat random. Loyar buruk boleh tahan, tapi ayat terlebih gula dia pun sama naik.” Perlahan Lily bercakap sendirian.

“Lily cakap dengan siapa ni?” Tanya Amirul tiba-tiba.

Sekali lagi hampir melompat Lily dari duduknya. Kenapa hari ni semua orang nak buat dia terkejut? “Bila Yol diri depan ni? Tak nampak pun Yol keluar dari fitting tadi.”

“Mana nak nampaknya kalau dah tengah bercakap dengan senyum sorang-sorang. Ni coklat ni mana dapat?” Soal Amirul hairan. Rasanya tak adalah lama sangat dia mencuba baju tadi sampai sempat Lily nak ke Guardian untuk beli coklat.

“Khyril Asyraf.”

“Siapa?” Soal Amirul lagi. Khyril Asyraf? Biar betul Lily ni. Bila masanya pula dia jumpa dengan hero pujaan ramai tu. Ke budak ni tengah berangan?

“Jadi beli tak baju tu? Pergi makan, jom. Lily dah lapar.” Lily menukar topik. Malas mahu memanjangkan cerita.

Dia sendiri masih tak berapa nak percaya dia boleh terjumpa dengan Khyril Asyraf dalam kedai ni. Siap dapat coklat lagi. Sungguh dia tak hairan kalau Amirul sampai sudah tak percaya cakapnya yang tadi dia betul-betul jumpa Khyril Asyraf tu. Coklat di tangan terus dimasukkan ke dalam beg tangannya.

Amirul tenung Lily dengan muka hairan. Malas mahu memanjang cerita, kemudiannya dia terus menuju ke kaunter untuk membayar harga dua t-shirt yang dia berkenan.

Akhirnya. Lily menarik nafas lega bila nampak Amirul dah ke kaunter dengan t-shirt di tangan. Habis seksa menunggu dia untuk hari ini. Coklat ni pula boleh simpan buat kenangan. Lily tersenyum lagi.

0 comments:

Post a Comment

 

Penakut. Copyright © 2012 Design by Antonia Sundrani Vinte e poucos