Sunday, December 30, 2012

Bab 4 : Aku, Dia dan Sampai Tua

Posted by ai at 9:45 PM

“AKID, kenapa dalam banyak-banyak masa, kau mesti pilih pagi-pagi buta macam ni?”

Asyraf tenung satu-satu barang di dalam troli yang separuh penuh. Rasanya semua benda yang kurang dekat rumah tu dia dah masukkan dalam troli ni. Beginilah rutinnya bila duduk rumah bujang. Semua benda kena harap pada diri sendiri.

Akid melihat jam di tangan. “Pagi-pagi buta apanya? Kan dah pukul 8.35 ni.” Dalam kepala masih terfikir-fikir apa lagi yang patut dibeli.

“Kau lah satu-satunya kawan aku yang suka belanja barang rumah hari Ahad, pagi-pagi sebelum pukul sepuluh sekurang-kurangnya. Orang lain tengah sedap berlingkar atas katil lagi.”

Asyraf perhatikan keliling mereka. Rata-rata yang dah ada dalam Carrefour masa ni kalau bukan makcik dengan pakcik, mesti pasangan yang dalam linkungan 30-40 tahun. Jarang sangat nak jumpa budak-budak muda masa-masa begini.

Kotak tisu dicampak masuk ke dalam troli. “Aku bagi kau dua teori kenapa aku suka belanja barang rumah pagi-pagi. Tak kisahlah kau nak tengok teori tu sebagai gelas separuh penuh, atau gelas separuh kosong, tapi pagi-pagi macam ni selalunya majoriti yang datang makcik-makcik dengan pakcik-pakcik. Cuba kau fikir, katalah ada antara makcik, pakcik ni tengah cari calon menantu. Lepas tu dia terjumpa kau dekat sini, tengah borong barang dapur. Tak ke sejuk hati dia tengok? Silap-silap dia terus lamar kau jadi menantu.” Ujar Akid dengan muka serius.

Asyraf dah mengekeh-ngekeh ketawa. “Teori jenis apa kau pakai ni, Kid? Aku tak nampak langsung kaitan kau suka belanja barang waktu pagi dengan kisah makcik yang cari calon menantu tu. Kau dulu jumpa mak Julia dekat Carrefour ni ke?”

“Ada kaitannya. Kalau emak bakal isteri kau selalu beli barang dekat sini dan dia selalu nampak kau dekat sini juga, mesti first impression dia dekat kau dah bagus. Kau dah selamat daripada possibility adegan cinta terhalang. Bakal mak mertua kau tu mesti kata – Aku selalu nampak budak ni dekat Carrefour dulu. Bagus budaknya. Pagi-pagi dah bangun. Lepas tu pandai pula tu belanja barang rumah. Boleh diharap.” Akid menyambung menerang teori pertamanya. Gelak tawa Asyraf langsung dia tak ambil peduli.

Akid memang macam ni. Lain daripada yang lain. Bila berfikir, kalau bukan luar kotak, mesti terlebih jauh sampai orang tak boleh nak nampak titik punca tu.

“Okey. Teori kedua?” Soal Asyraf dengan muka berminat. Kadang-kala melayan kepala Akid ni ada seronoknya. Sebab tak terjangkau dek akal orang lain.

“Teori kedua, kalau kau jumpa mana-mana perempuan yang kau berkenan pagi-pagi ni dekat tempat macam ni, aku cadangkan kau jangan fikir dua kali nak berkenalan ke tak. Aku agak yakin perempuan macam tu memang calon isteri mithali. Melainkan..” Akid meleret kata. Sengaja nak bagi ceritanya kedengaran menarik. Taktik.

Akid tak jadi pendebat terbaik di sekolah dulu hanya sebab dia pandai bercakap semata-mata. Akid jenis yang kalau bercerita, ada gaya dia yang tersendiri. Dan Akid sentiasa tahu macam mana nak pegang perhatian orang yang mendengar. Contohnya macam yang dia tengah buat sekarang.

“Aku ketuk kau dengan tin sardin tu karang. Habiskan aje ayat kau tu. Nak main gantung tak bertali pula.” Balas Asyraf separuh tak sabar. Dia bukan kenal Akid untuk sehari dua.

Akid ketawa riang sebelum menyambung semula. “Melainkan perempuan tu datang dengan lelaki. Ada kemungkinan perempuan tu dah kahwin. Kalau ikut logik, berapa kerat aje lelaki baya-baya kita yang sanggup korbankan masa tidur dihujung minggu demi nak teman girlfriend belanja barang dapur.”

“Suami? Entah-entah abang dia ke?”

Akid menolak trolinya ke depan sikit, dekat dengan tempat barang basah. “Itu aku ada teori lain untuk nak tahu itu abang atau suami. Kejap. Aku terlupa aku belum ambil baby tomato. Bising pula Kak Long aku tu kalau aku terlupa beli benda yang dia pesan.”

Asyraf menggeleng perlahan. Kepala Akid ni memang tak pernah kering dengan teori gamaknya. Semua benda pun dia pakai teori.

Asyraf memberhentikan trolinya di sebelah troli Akid. Dia perhatikan belakang Akid yang makin menjauh. Masih terngiang-ngiang dua teori Akid yang agaknya lepas seratus tahun pun belum tentu dia terfikir.

Tiba-tiba datang idea untuk mencuba berapa peratus tahap releven teori Akid tadi tu untuk diguna-pakai. Asyraf meninjau kelilingnya dengan penuh minat. Sedang asyik memerhatikan sekeliling, mata tertacap pada satu wajah yang sejak semalam seperti begitu menarik perhatiannya.

Kalau kau jumpa mana-mana perempuan yang kau berkenan pagi-pagi ni dekat tempat macam ni, aku cadangkan kau jangan fikir dua kali nak berkenalan ke tak.

Khyril Asyraf, nak buat kerja gila tak?

Belum sempat otaknya memutuskan, hati dah terlanjur menyuruh kaki untuk bergerak ke arah gadis itu. Laju kepalanya merangka, ayat apa yang mahu dikatakan dulu. Tapi baru separuh jalan dia melangkah, kaki dah terlebih dulu berhenti bergerak bila mata dah terpandangkan seorang lelaki yang mendekati gadis tadi.

Berkongsi satu troli yang sama dan dalam troli penuh dengan barang-barang dapur. Ulang suara: barang dapur. Dan lelaki itu adalah lelaki sama yang dia nampak semalam.

Asyraf langsung tak jadi meneruskan rancangan dia dan terus berpatah-balik ke arah trolinya tadi.

“Bro, aku baru tinggalkan kau sekejap, muka dah terus monyok macam tikus mondok. Kau apahal?” Sergah Akid yang kembali dengan dua paket baby tomato dan beberapa plastik lain yang berisi kentang, sawi dan beberapa lagi jenis sayuran yang lain. Penuh dua-dua belah tangan.

“Aku rasa macam baru lepas kena langgar tsunami aje.” Balas Asyraf lemah. Ada rasa yang bertanda dalam hati walaupun dia sendiri kurang pasti rasa apa sebenarnya yang dia rasa.

Hari ni dia seakan-akan faham apa yang Hadi rasa tempoh hari. Tiba-tiba terbit rasa menyesal sebab ikut sama gelakkan Hadi hari tu. Gila ke dia sebab baru kali kedua tengok dah terasa sesuatu?

Akid dah gelak-gelak melihat gelagat Asyraf yang tiba-tiba berubah laku. “Hati kau ke yang kena langgar tsunami tu? Katalah yang kau nampak calon bakal isteri kau masa aku tinggal kejap tadi.”

Bila Asyraf mengangguk-anggukkan kepalanya, Akid terus melopong. Pertama kali dia lihat Asyraf mengiyakan perkara yang berkaitan dengan perempuan. Selama ni usiklah si Asyraf ni macam mana pun, takkan pernah nak mengaku. Akid lihat keliling. Tak nampak pula mana-mana perempuan yang baya-baya mereka. Makcik-makcik ramailah.

“Cuba kau cerita sikit detail dia. Bagi aku faham.”

“Aku rasa isteri orang kut, macam yang kau kata tadi.”

Mentang-mentang aku kata sikit tadi, memang betul sikit pun info yang Asyraf bagi. Akid pun memulakan sesi CSI dia. “Mana kau tau? Kau ada tanya dia ke tadi?”

Geleng. “Aku nampak dia dengan sorang lelaki ni. Kongsi troli. Troli penuh dengan barang dapur. Dan aku agak yakin yang tu bukan abang atau adik dia. Tak ada rupa langsung diorang berdua.”

“Lepas tu kau pun yakin sendiri ajelah yang diorang tu married couple?” Akid dah menepuk dahi sendiri dua, tiga kali. “Bro, menyesal aku tak habiskan teori aku dekat kau tadi.”

Kening Asyraf dah terangkat sebelah. “Maksud kau? Aku ada harapan lagi ke?” Muka yang tadinya mendung dah cerah sedikit.

“Kalau ikut teori aku, untuk pastikan yang diorang tu betul-betul dah kahwin, kau tak boleh tengok pada siapa yang tolak troli, barang apa yang ada dalam troli tu dan kalau troli tu dikongsi berdua. Semua tu mana cukup. Cuba kalau aku kongsi troli aku dengan kau sekarang ni. Tu bukan maknanya aku dengan kau pasangan, kan.”

Asyraf buat muka kelam. “Tak faham. Kesimpulannya?”

“Kesimpulannya kalau kau betul-betul nak tahu perempuan misteri yang kau suka tu dah kahwin ke belum, senang cerita kau cuma ada satu cara aje.” Akid dah menolak troli ke kaunter pembayaran.

Asyraf buat muka sebelum turut sama memberaturkan trolinya di belakang troli Akid. “Habiskanlah ayat kau tu, Kid.”

“Benda besar macam ni, kau tak boleh assume, kau kena tanya terus dekat tuan punya badan. Lepas tu baru kau boleh decide kalau kau nak tertonggeng ke nak melompat suka. Bergantung pada jawapan yang dia bagilah.” Selamba Akid menutur teori yang langsung tak ada gaya teori.

Sungguh masa tu Asyraf rasa macam nak baling aje tin sardin dalam trolinya tepat ke Akid. Kalau dia tahu itu benda yang Akid akan cakap, sungguh tadi dia patut sapa aje gadis tu.

Ahhh. Kan dah melepas satu peluang. Lepas ni entah bila lagi agaknya dia boleh jumpa dengan gadis tadi tu. Selama ni tak pernah pula dia nampak dekat mana-mana. Tapi dalam masa 24 jam ni aje, dah dua kali terserempak. Rasanya, mungkin gadis tadi orang sekitar Shah Alam ni juga. Mungkin.

Dalam perjalanan mereka menuju ke kereta, sempat Akid menyakat lagi. “Kalau ikut teori dan perkiraan aku, sebelum hujung tahun ni sempat kut aku merasa nasi minyak kenduri.”

Asyraf ketawa. “Sudah-sudahlah dengan teori kau yang tak pernah habis tu, Kid. Lagipun tak nak aku kena sumpahan Julia kalau aku potong barisan korang.”

Dan mereka sama-sama ketawa.

Akid dan Julia adalah pasangan bakal naik pelamin hujung tahun ni. Lagipun nak diikutkan, memang dah patut kahwin pun mereka berdua tu. Bercinta pun dah lebih sedekad. Siapa sangka cinta budak umur 14 tahun boleh sampai ke jinjang pelamin.

0 comments:

Post a Comment

 

Penakut. Copyright © 2012 Design by Antonia Sundrani Vinte e poucos