Thursday, January 3, 2013

Bab 7 : Aku, Dia dan Sampai Tua

Posted by ai at 9:04 PM

AKIF DAN AFIQ memandang Lily yang sedang melilit tudungnya, bersiap untuk keluar. Akif mencapai beg tangan Lily yang memang sejak awal-awal lagi Lily letakkan di atas meja kopi. Afiq pula capai BlackBerry Lily. Akif melihat isi dalam beg tangan Lily manakala Afiq pula laju membuka kotak mesej terima telefon Lily.

Lily yang masih sibuk membetulkan letak duduk pin peniti di atas tudungnya hanya menjeling dari dalam cermin. Pemandangan biasa setiap kali dia mahu keluar. Sejak ibu dengan ayah meletakkannya di bawah jagaan Akif dan Afiq, kawalan mereka berdua selalu mengalahkan ibu dan ayah.

Lima tahun yang lepas, ibu dan ayah membuat keputusan untuk kembali menetap di rumah mereka di Johor, yang juga merupakan kampung halaman ibu dan ayah. Sejak itu, hanya tinggal mereka bertiga di Shah Alam. Tapi sekali-sekala, Mak Long mereka pasti akan datang menjenguk.

Awal-awal dulu bising juga dia bila Akif dan Afiq suka membuat harta peribadinya seperti harta sendiri. Tapi sekarang dia dah terlalu malas untuk melalui proses yang sama berulang-ulang. Cakaplah panjang mana pun, bagilah hujah kukuh mana pun, Akif dengan Afiq mana reti nak mengalah. Baik bagi aje abang-abangnya itu buat apa yang mereka rasa kena buat.

“Adik, ni nak keluar dengan Dalia ke Daud?” Afiq menyoal dengan lagak polis pencen.

“Daud apanya Angah? Kalau Angah tak percaya, Angah boleh jengah dekat tingkap tu. Bila Dalia sampai karang adik suruh Dalia lambai dekat Angah, okey?” Sarkastik Lily bersuara. Muka dah ditarik berbelas-belas.

Daud? Afiq memang suka petik nama entah siapa. Sejak sejam yang lepas, berulang-ulang kali Afiq bertanyakannya soalan yang sama. Walaupun Akif dan Afiq memang selalu ada-ada saja kerenahnya, tapi kebiasaannya tidaklah seperti hari ini.

Lily tahu yang abang-abangnya itu tengah mogok sebab Lily membatalkan janji dengan mereka berdua untuk sama-sama menonton wayang hari ni. Itu yang masing-masing buat perangai. Mengada-ngada. Manja terlebih diorang berdua ni. Kalahkan dia yang adik.

“Balik petang ke malam?” Giliran Akif pula menyoal bila Afiq kembali leka dengan telefon Lily di tangan.

“Petang. Dalam pukul enam adik janji adik balik. Dah, tamau merajuk lagi. Kita pergi tengok wayang tengah malam aje, okey. Lepas tu adik belanja supper sekali. Along dengan Angah pilihlah nak tengok cerita apa.” Lily memujuk. Rugi kalau tarik muka lama-lama dengan mereka berdua.

Siap bertudung, Lily menjenguk ke tingkap bila dia seakan-akan terdengar bunyi enjin kereta di luar rumah. Bila memang kereta Dalia yang dia nampak, Lily mengambil beg tangan dan BlackBerrynya daripada Akif dan Afiq sambil menghulur tangan, bersalam dengan keduanya.

“Ada duit tak nak keluar ni?” Serentak Akif dan Afiq bertanya. Soalan rutin abang-abangnya tiap kali dia nak keluar berjalan. Walaupun dia sendiri dah bekerja pun, Akif dengan Afiq tak pernah nak berkira dengannya.

Lily spontan mengukir senyuman lebar. “Kalau Along dengan Angah nak bagi, adik tak tolak.”

Akif dan Afiq sama-sama mengeluarkan dua keping duit lima puluh. Lily dah mengangkat kening. Lumayan. Untung dia ada abang-abang yang rajin menghulur ni.

Lily ambil daripada kedua-duanya. “Terima kasih. Oh, sebelum adik terlupa, Yol pesan kalau nak keluar makan tengah hari jangan lupa ajak dia. Mak Long balik kampung hari ni.”

Sebelum sempat Akif mahupun Afiq bertanya apa-apa, Lily terus berlari anak ke pintu depan, terjengket-jengket menyarung wedges biru yang sepadan dengan bajunya, dan terus berlari masuk ke dalam Perdana Dalia.

“Lambat. Kena tahan dengan ‘kembar’ handsome lah tu.” Sergah Dalia bila Lily dah masuk ke dalam perut kereta. Dalia masuk gear dan kereta terus bergerak meninggalkan perkarangan rumah Lily.

Lily menyengih. “Biasalah. Aku kan ‘anak tunggal’ abang ‘kembar’ aku tu.”

Dalia adalah sahabat baiknya sejak kecil. Mereka duduk berjiran dan bersekolah di tempat yang sama sejak umur tujuh tahun lagi. Itulah kawan yang sama-sama menangis bila tertinggal bas sekolah, sama-sama kena bebel bila balik dari sekolah lambat sebab dua-dua merayau merata sampai tak ingat nak telefon rumah dulu bagitahu dan macam-macam lagilah.

Dan bila mereka berusia 15 tahun, keluarga Dalia berpindah semula ke Melaka. Sejak itu, mereka dah jarang dapat keluar berdua walaupun hampir setiap hujung minggu masing-masing mesti ber-YM ataupun ber-Skype. Tapi sekarang Dalia dah kembali dekat. Sejak setahun yang lepas Dalia dah menetap di Kuala Lumpur, tinggal serumah dengan teman-teman pramugarinya yang lain.

Sekarang ni, walaupun mereka berdua tak keluar berdua sekerap dulu, tak lagi ber-YM setiap minggu, tapi bila-bila berkesempatan pasti mereka akan meluangkan masa bersama. Mengisi hari-hari sekarang dengan cerita daripada hari-hari yang lepas.





DALIA PERHATIKAN SAJA wajah gembira Lily yang masih leka memerhatikan pertunjukan meluncur dari tingkat dua Sunway Piramid. Lily memang gemar berhenti dan melihat apa-apa jenis pertunjukan yang ada bila dia ke mana-mana.

Lily adalah sahabatnya yang paling rapat yang dia pernah ada. Setiap kali mengenangkan semua perkara yang mereka pernah buat berdua, pasti rasa nak gelak sendiri. Sesiapa yang tak kenal Lily, pasti ramai yang mengatakan orangnya sangat susah nak didekati. Pendiam. Sombong. Tapi itu semua topeng luar sahaja. Pada hakikatnya, Lily jenis yang tak berhenti bercakap dengan orang yang rapat dengannya. Kuat mengusik, sama macam abang-abangnya juga. Susah nak dijangka, pun dia.

Pernah sekali mereka berdua hampir bermalam di One Utama atas cadangan Lily. Entah mana datangnya idea gila itu, Dalia malas nak bertanya. Nasib baik pada ketika itu, Akif berkali-kali menelefon Lily menyuruhnya untuk cepat balik. Jam dah nak menginjak ke pukul 11, mereka masih berada di dalam kompleks membeli belah itu sedangkan rata-rata kedai di situ sudah mula menutup pintu kedai.

Puas melihat pertunjukan, Lily menarik Dalia masuk ke Full House. Katanya mahu mencuba makanan di situ. Walaupun dah berkali-kali dia lalu di hadapan kedai itu, tapi tak pernah berkesempatan untuk masuk. Apa yang paling menarik perhatiannya adalah hiasan dalamannya. Sangat cantik dan menarik.

Selesai memilih menu, Lily memusingkan badannya sedikit ke kiri. Dalia ditenung. Bibir pula terukir senyum nakalnya. “Sebelum aku terlupa langsung, Yol kirim salam. Muah muah punya salam.”

Dalia menjelir lidahnya pada Lily. “Bahagian kirim salam tu aku boleh jugalah nak percaya, tapi yang muah muah tu memang dah tentu-tentu kau yang tambah sendiri, kan?”

“Kau suka lagi dekat Yol? Kalau kau nak, aku boleh tolong kenen-kenenkan. Setahu aku lah, Yol tak ada yang special lagi sekarang ni.” Lily mengusik lagi.

Tak sampai lima minit kemudian, air yang mereka pesan pun sampai. Masing-masing diam sekejap. Memberi laluan untuk pekerja Full House membuat kerja mereka.

“Sudah-sudahlah, Lily Nadya. Aku tak nak tertelan biji rambutan yang sama dua kali. Karang aku dah terjatuh gaung dengan Yol, dia selamba aje tayang girlfriend depan aku.” Dalia buat muka serik. Dia tahu apa yang Lily cuba buat.

Sejak dulu lagi Lily tak pernah jemu nak memadankan dia dengan Amirul. Dulu masa zaman dia masih berbelas tahun, pernah jugalah dia terjatuh suka dengan sepupu Lily yang seorang tu. Tapi tak pernah sekali pun dia berterus-terang dengan Lily. Dan Lily yang memang terkenal dengan sifat yang cepat menangkap, laju aje perasan apa yang Dalia cuba sembunyikan.

Tapi dia tahu Amirul tak pernah pandang dia lebih daripada kawan baik kepada Lily. Itu antara satu sebab yang buat dia sukakan Amirul dulu. Amirul tahu mana nak letak rasa hormat pada tempatnya. Walaupun Amirul ada ramai kawan perempuan, tapi dia bukan jenis yang suka-suka hati nak mainkan hati orang lain. Jika dia memang tak ada perasaan untuk orang itu, awal-awal Amirul akan kata tak berminat.

Mungkin bagi orang lain, cara Amirul tu kelihatan kejam. Teringat kata-kata Amirul dulu, ‘Misleading hati orang lain ke tempat yang salah tu lagi kejam daripada menolak terang-terangan.’ Itu dia setuju. Sejak tu, dia tak pernah lagi simpan hatinya untuk Amirul. Yang lepas tu lepaslah.

“Hari tu Mak Long suruh aku tolong carikan calon untuk Yol.” Lily ketawa. Sungguh masa Mak Longnya itu menyampaikan hajat, dia sendiri rasa macam nak tercekik. Mak Long ni biar betul. Ada ke dia yang diri sendiri pun belum ada calon, nak tolong carikan untuk Amirul. Ingat dia buka agensi cari jodoh apa.

Dalia dah membulatkan mata. Kemudian dia ketawa perlahan. Mak Long Lily ni memang ada-ada saja. “Sebab tu lah kau beria-ia promote Yol dekat aku ni?”

Lily mengangguk lurus. Langsung tak ada niat nak menafikan. “Kalau kau kahwin dengan Yol, kau boleh jadi saudara ipar aku. Tiap-tiap tahun boleh beraya sama. Tak ke sikit punya bagus idea aku tu.”

Dalia dah ketawa besar. Kemudian dia cepat-cepat menutup mulutnya bila Lily menyepak kakinya di bawah meja. “Daripada aku kahwin dengan Yol, baik aku kahwin aje terus dengan Akif. Aku boleh terus jadi kakak ipar kau. Lagi besar mandat aku.” Dalia menyambung ketawa.

Lily dah buat muka teruja. Matanya yang selalu kelihatan berkaca itu bertambah bersinar. “Kalau kau nak Along aku tu pun boleh jugak. Lagi senang aku nak aturkan.”

Dalia mencubit perlahan lengan Lily. Pantang dibagi peluang, suka betul Lily nak menjodohkan dia dengan orang itu, orang ini. Niat asal mahu bergurau, alih-alih dia yang terkena semula.

Lily mengaduh kecil. Perlahan dia menggosok lengannya. “Macam mak ketam. Aku potong terus nama kau daripada masuk senarai calon kakak ipar.”

Dalia gelak. “Potonglah. Macam aku kisah.” Dalia kemudian menyedut jus tembikai susunya. Baru terasa basah sedikit tekaknya yang mula kering. “Cukuplah pasal aku. Kau pulak sekarang apa cerita? Dah ada orang baru?”

“Orang lama siapa?” Lily buat muka.

“Kau tahu siapa.. Lily’s Justin Timberlake.” Dalia menyebut sebaris nama gelaran yang mereka beri untuk si dia.

Syed Azmi. Hati Lily menyebut perlahan nama yang satu itu. Mereka memberi nama jolokan Justin Timberlake kerana dua sebab – sangat segak dan bad boy. Malangnya atas sebab kedua yang terlebih membuatkan mereka berdua cuma dapat bertahan untuk setahun sahaja.

“Kau masih suka dia lagi?” Soal Dalia bila Lily seakan-akan merenung jauh menembus dinding bila sebaris nama tadi disebut.

Lily ketawa dan menggeleng. “The one that got away.” Siap nyanyi gaya Katy Perry.

Dalia menepuk perlahan tapak tangan Lily di atas meja. “Senget.”

Lily senyum nipis dan terus mengalih topik. Kalau tak nak ada antara mereka yang hilang selera sebelum makanan sampai, lebih baik cepat-cepat buka cerita baru.

“Dalia, kau nak tahu tak? Ada sekali tu aku keluar tengok bola dekat stadium dengan Yol. Nak dijadikan cerita, hari tu dia bawa seorang kawan dia ni join sekali. Aku musykil juga mula-mula sebab Yol mana pernah ajak orang lain kalau dia tengok bola dengan aku. Puas aku CSI, baru dia mengaku. Rupanya Yol tengah nak padankan aku dengan kawan dia tu.”

Mengekek-ngekek Dalia ketawa. Ini baru betul buku bertemu ruas. “Lepas tu kau suka tak dengan kawan dia tu?”

Lily menjuihkan bibirnya. “Baik sangat. Entah-entah dia datang hari tu sebab kena ugut apa-apa dengan Yol.”

Dalia cuma boleh menggeleng mendengar cerita Lily. Kalau dah dari susur galuh yang sama, memang sama saja acuannya. Yang Lily sibuk mencari untuk Amirul. Yang Amirul pun sama sibuk mencari untuk Lily.

Dulu masa sekolah pernah aje dia mencadangkan supaya dikahwinkan saja Lily dengan Amirul. Sepupu pun masih boleh berkahwin, walaupun dalam agama pun tak berapa digalakkan. Lily gelak aje dengan cadangan tu. Katanya dia dengan Amirul sampai bila-bila pun tak mungkin. Sebab tu Lily tak pernah jemu nak buat dia dan Amirul untuk suka sama lain.

Sedang asyik bercerita itu, ini, tak lama lepas tu makanan mereka pun sampai. Grilled Mix Seafood untuk Dalia yang memang gilakan makanan laut dan Smooties-Fruities Fish untuk Lily. Kedua-duanya nampak begitu menyelerakan.

“Lepas ni kau ada rancangan apa-apa lagi tak?” Tanya Dalia lepas beberapa suap dah selamat masuk ke dalam perutnya.

“Kalau kau nak pergi mana-mana pun aku boleh teman. Janji sebelum pukul enam dah kena sampai rumah. Kalau tak esok jawabnya aku kena buat kenduri pulut kuning tanda minta ampun sebab mungkir janji dua kali dengan Akif dan Afiq dekat rumah tu.”

Dalia ketawa bila Lily dah mula menarik muncung. “Manja betullah Akif dengan Afiq sekarang ni.”

“Sangat!”

0 comments:

Post a Comment

 

Penakut. Copyright © 2012 Design by Antonia Sundrani Vinte e poucos