Sunday, December 30, 2012

Bab 2 : Aku, Dia dan Sampai Tua

Posted by ai at 11:15 AM

ISNIN DATANG LAGI dan hari ini merupakan Isnin ke-tiga dia duduk termenung depan TV. Sebelum ni pantang dapat lepak sehari suntuk di hari Isnin, dia antara orang yang melompat bintang sebab gembira. Siapa yang suka kerja hari Isnin, kan?

Tapi sekarang dia sendiri rasa macam nak sepak diri sendiri sebab terlalu bosan tak buat apa-apa. Manusia memang tak pernah puas. Bila kerja bising bosan, bila cuti pun bising bosan.

Rancangan TV ni pun satu. Sejak pukul 8 pagi lagi dia dah terpacak bisu depan TV dan sejak dari tadi tak ada satu rancangan pun yang dia terasa nak tengok. Dalam masa empat jam ni kerja dia cuma menghauskan butang alat kawalan jauh TV, termenung dan mengeluh.

Tak baik mengeluh, Asyraf.

Bagai terngiang pesan mama yang paling selalu dia dengar. Tsk.. ni yang rindu dekat mak ni. Orang lain kalau sakit mesti mengada minta tu, ni dengan emak. Itu padahnya menyombong tak kena gaya. Hari tu mama dah suruh duduk rumah lama sikit, tak nak. Konon yakin aje minggu ni dah rasa boleh mula kerja. Sekarang kan dah tersadai sorang-sorang dekat rumah ni.

Telefon rumah terus dicapai dan laju dia mendial nombor rumah emaknya. Setengah minit menunggu dan tak berangkat, dia cuba dial semula. Tunggu, dan tunggu, masih tak berangkat. Mama tak ada dekat rumah ke?

Talian dimatikan dan jari mendial nombor telefon bimbit pula. Sekali dial terus berangkat. Sah, tak ada rumah.

“Ma, tak ada dekat rumah, ye?”

“Ni kenapa ribut sangat ni, Khyril Asyraf? Sampai salam pun tak ada.” Tegur Puan Faridah.

Asyraf tersengih sendiri. Gelojoh lagi, kan dah kena tegur. “Bosanlah, ma. Dah empat jam Asyraf jadi patung cendana depan TV ni. Asyraf lapar.” Asyraf dah mula merengek gaya budak lima tahun.

“Budak bertuah. Dah tahu lapar, pergilah makan. Ke nak suruh mama suapkan?”

“Nak.” Asyraf ketawa mengekek. “Taklah, ma. Asyraf telefon ni sebab nak tanya mama ada dekat rumah? Ke dekat luar? Tadi telefon rumah tak berangkat pun.”

“Terlupalah tu. Kan semalam mama dah bagitahu, hari ni mama nak keluar dengan ayah sekali dengan Fifi.”

Asyraf menggaru kepala yang tak gatal langsung. Bila masanya mama bagitahu? Semalam? Kenapa dia macam tak ingat langsung pun mama pernah cakap apa-apa? Alih-alih keluar dating tiga orang. Siap bawa budak kecik tu sekali.

Fifi tu adalah satu-satunya anak sedara dia buat masa ni. Anak Kak Farah, satu-satunya kakak yang dia ada. Sekarang ni Kak Farah tengah mengandung anak kedua dan lagi beberapa bulan dan ada kawan baru budak Fifi ni.

“Tak ada. Betul tak ada. Kalau ada bagitahu, mesti Asyraf ingat sebab kalau mama keluar bawak budak Fifi tu, mesti keluar makan sedap. Dan kalau keluar makan sedap, Asyraf mana pernah tolak.”

“Eh, iya ke tak bagitahu?” Suara Puan Faridah pula yang bunyi ragu-ragu. “Asyraf, nanti mama telefon balik. Nak tengok Fifi ni. Pergi makan. Awak tu nak kena makan ubat.”

Ye, baik. Kirim salam sekali dekat ayah.” Asyraf memberi salam sebelum mematikan talian. Kecewalah kononnya. Baru nak bermanja dah kena potong dengan Fifi.

Asyraf bangun malas melangkah ke bilik. Nak tukar baju. Kalau dia masih duduk melepek atas sofa tu, jawabnya sampai ke petang pun belum tentu perut dia diisi. Baru dia menapak masuk ke bilik, BlackBerry atas katil tengah berkelip-kelip - Akid.

Bro, mana? Lunch sekali jom. Paan, Hadi, Penyu, Mheng, semua ada. Tempat biasa tau.

Spontan bibir Asyraf mengukir senyum. Cun betul timing. Tapi, sekejap.. budak-budak ni semua pakat cuti beramai-ramai apa? Gaya macam semua ada. Hari ni hari kerja kut? Ah, lantaklah. Janji tengah hari ni dia tak payah makan sorang. Tangan terus laju menyarung baju berkolar hitam jenama Polo.

Biasanya dia bukanlah jenis manusia yang sangat kisah bila kena makan sorang. Tapi bila dah seharian duduk memerap sorang, sungguh dia kena ada komunikasi dengan dunia luar. Jarinya laju menaip mesej balas.

Bersiap. Dan terus bergerak ke tempat mereka selalu berkumpul.





BAGAI NAK PECAH PERUT masing-masing sebab asyik ketawa sejak tadi. Bila dah open table, segala jenis cerita dari zaman tok kaduk sampai sekarang, semua keluar.

Cerita terbaru, kata Paan baru semalam dia tengok benda yang dia ingat boleh jadi dalam cerita aje, berlaku betul depan mata. Klasik.

Paan dengan Hadi duduk menyewa serumah. Dah masing-masing punya tempat kerja pun memang sehala. Katanya malam tadi dia keluar meredah jalan sesak ke Ampang semata-mata sebab Hadi sepanjang malam duk meroyan mengidam roti naan dengan tandoori dekat situ.

Sabtu dan Ahad malam kebiasaannya tempat tu memang ramai orang. Pernah sekali mereka tunggu dekat sejam samata-mata untuk dapat tempat duduk sahaja. Punya gigih menunggu semata-mata nak makan roti naan. Macamlah dekat tempat lain tak jumpa roti tu.

Nak dijadikan cerita lagi, masa diorang tengah tunggu pesanan mereka, kebetulan ada tiga orang perempuan tengah berdiri menunggu tempat kosong. Sementara tengah menunggu tu, Paan punya beria bercerita dekat Hadi, tapi rupanya sepatah pun Hadi tak dengar.

Bila Paan toleh, Hadi tengah tak berkelip tengok salah seorang daripada tiga orang yang tengah berdiri tu. Nak diikutkan, antara mereka semua, Hadi ni lah yang paling kurang meliar matanya. Tapi malam tu dia yang sampai langsung tak toleh kiri kanan lagi dah.

Lagi haru, tiba-tiba aje Hadi bangun, lepas tu jalan terus pergi mendekati perempuan bertiga tu, tinggalkan Paan sorang terpinga-pinga. Lepas tu entah apa yang dikatakan Hadi dekat perempuan bertiga tu, alih-alih kejap lagi empat-empat menghala ke tempat duduk mereka.

Dalam Paan tengah keliru tak faham satu benda pun yang tengah jadi depan mata, tiba-tiba Hadi tarik dia, ajak makan tempat lain. Tak ke pelik? Tadi dia yang merengek tak cukup nafas nak datang sini, alih-alih dia yang baik hati bagi seat mereka dekat perempuan yang tak pernah kenal pun.

Baru Paan angkat tangan rasa nak siku Hadi sebab buat perangai tak tentu hala, Hadi dah hulur dulu satu kertas dengan nombor. Rupa-rupanya dalam diam, Hadi ni dah pasang niat nak buat barter. Korbankan rasa mengidam dengan nombor telefon.

Bagai terpandangkan calon isteri katanya. Paan langsung terkedu sekejap. Tak pernah Hadi buat perangai gaya macam ni. Kut kalau Mheng atau Asyraf, tu percaya jugalah. Dua-dua tu memang kepala paling tak boleh diikut.

Tapi tu bukan point cerita. Fokus utama ceritanya, bila Paan dengan Hadi sampai rumah, Hadi konon nak cuba telefon. Alih-alih suara nyonya tua yang angkat. Rupa-rupanya hidup-hidup Hadi ni kena tipu. Budak perempuan tu pakai tulis nombor apa-apa. Sungguh Paan masa tu tak tahu nak rasa simpati dulu atau nak ketawa sebab tengok rupa kecewa Hadi.

Yang lain-lain pula apa lagi, habis aje Paan bercerita, semua pakat ramai-ramai gelak macam orang tak ingat dunia. Hadi pula pura-pura macam tak dengar apa-apa sepanjang Paan duduk bercerita. Malas dia nak ambil port sekaki. Buat tambah lara dalam hati aje.

“Patutnya kau cubalah dial dulu nombor dia depan-depan, Di. Ni kau dah tangkap lentok, lepas tu terus jatuh terduduk.” Komen Mheng lepas puas gelak.

“Kau ni pun, Mheng. Agak-agaklah nak sembur pun kan. Ni pengalaman pertama Hadi tahu. Dia bukan buaya macam kau dengan Asyraf.” Penyu yang sejak tadi tak berapa banyak bercakap akhirnya membela Hadi. Kesian melihatkan muka Hadi yang dah macam cemberut.

“Kenapa kau suka sangat kaitkan buaya, Mheng dengan aku?” Tingkah Asyraf, tak puas hati.

“Dah. Tambah sorang lagi yang merajuk karang.” Akid tepuk dahi.

Ketawa lagi masing-masing.

Sejak sekolah lagi Asyraf selalu dengar benda yang sama berulang-ulang kali. Kalau nak diikutkan, Mheng tu memang betul tak boleh nak dinafikan betapa tepatnya gelaran tu untuk dia. Mheng tu terlalu peramah. Rupa ala-ala Pan Asian, mulut pun manis. Setiap perempuan yang dia duk ayat, mesti cair. Natural born kasanova.

Tapi Asyraf bukanlah jenis kaki mengayat. Sekali-sekala mengusik budak perempuan tu biasa. Lelaki yang tak pernah mengusik walau seorang sekalipun memang skema super-duper lurus namanya. Cuma mungkin sejak sekolah lagi dia memang sentiasa ada peminat, jadi kawan-kawannya gemar mengusiknya sebagai kaki perempuan. Tapi taklah bermakna dia rajin nak melayan semua. Standard budak sekolah, yang main bola sampai jadi wakil sekolah selalu jadi hot stuff.

“Korang semua tak faham. Nanti bila dah sampai masa yang betul, orang yang betul, masa tu kau takkan fikir panjang dah. Kau akan buat apa yang hati kau suruh masa tu.” Hadi tetap mahu pertahankan pendapat.

Penyu senyum nipis. “Bro, niat kau dah baik. Tapi kalau aku jadi perempuan semalam tu pun aku buat benda yang sama. Siapa berani bagi nombor macam tu aje zaman sekarang ni. Buatnya pembunuh bersiri..”

Hadi dah buat muka. “Cis. Rupa aku yang handsome ni kau samakan dengan pembunuh bersiri.”

Semua menghambur ketawa lagi.

Puas ketawa, Asyraf meneguk air dalam gelas sehingga habis sebelum dia mengangkat tangan memanggil pelayan untuk menambah pesanan. Yang lain-lain pun turut sama pesan air lagi secawan dua. Semua pun bukannya nak makan sangat. Gian bersembang aje lebih.

“Eh, kejap. Sebelum aku terlupa. Korang semua pakat cuti beramai-ramai ke apa?” Tanya Asyraf bila dia teringat yang tengah hari ni mereka berenam semua ada.

“Kau cedera hamstring ke terhantuk kepala? Hari ni kan Hari Wilayah.” Balas Akid, separa menjawab, separa mengena.

Asyraf sekadar tersengih. “Mana nak ingat, cuti panjang. Lagipun jadual aku mana nak sama dengan korang.”

Paan mencebik. “Untunglah orang pandai bersukan. Kepala kurang sakit, gaji boleh tahan lumayan, peminat pun berkepuk.”

No comment, bro. No comment.” Asyraf hanya menarik muka berbelas-belas bila mendengarkan kata-kata Paan.

Mana ada kerja yang senang dalam dunia ni. Contoh terbaik, kerja dia sendiri. Kata-kata Paan tadi bukan pertama kali dia dengar. Itu memang benda yang paling selalu dia dengar daripada orang keliling. Tapi banyak benda belakang tabir yang orang tak tahu sebenarnya.

Kalah, menang, memang adat permainan. Tapi kalah selalu datang dengan harga yang lebih untuk ‘dibayar’.

Kena bancuh dengan jurulatih itu dah pasti. Siapa dalam dunia ni yang takkan sakit kepala kalau badan tengah penat, tapi kepala masih kena menahan dengan tekanan mental yang datang dari semua arah.

Peminat sendiri pun kadang maki berbakul-bakul. Setiap kali kalah, perkara pertama yang dia akan elak adalah internet. Buat sedih hati sendiri aje baca komen-komen yang kadang tak masuk dek akal pun. Macamlah dia dan yang lain-lain main untuk kalah.

Bila cedera, lagi haru. Nak sembuh memang ambil masa. Bila dah sembuh pula, nak kena cari balik rentak permainan yang asal dan benda tu pun ambil masa. Dan sekali dah cedera, kemungkinan untuk cedera lagi, terutamanya ditempat yang sama memang tinggi.

“Kau kenalkanlah dengan aku yang cantik-cantik tu.” Mheng mula masuk jarum.

“Cukup-cukuplah, Mheng.” Akid tolong menjawab bagi pihak Asyraf.

Dan Asyraf seperti biasa, cuma menarik sengih bila Mheng minta dia jadi agen mengenalkan Mheng dengan mana-mana perempuan. Sungguh dia tak kuasa.

0 comments:

Post a Comment

 

Penakut. Copyright © 2012 Design by Antonia Sundrani Vinte e poucos