Saturday, December 29, 2012

Bab 1 : Aku, Dia dan Sampai Tua

Posted by ai at 10:03 PM

LILY MENGHEMPAS BADAN atas sofa putih berangkai tiga yang terletak betul-betul di depan pintu masuk rumahnya. Lelah betul rasanya, sampaikan untuk menapak ke biliknya di tingkat atas pun tak terlarat.

Dipeluk erat bantal kecil yang memang sedia tersadai atas sofa. Mata dah dipejam rapat-rapat. Lima minit terbaring, bergolek dan berguling, akhirnya dipaksa juga diri untuk bangun. Mahu menapak ke dapur. Mata melirik ke arah jam yang tergantung di dinding. Lagi setengah jam nak ke pukul tujuh.

Lily memandang keliling. Along tak balik kerja lagi kut. Workaholic sorang tu memang begitu. Kadang bila kerja tengah banyak, balik rumah pun boleh terlupa. Punya tak patut. Angah pula? Dia pun tak pasti sama ada hari ni hari perlawanan atau hari latihan. Terlalu tenggelam dengan kerja sampai dah terikut jadual Angahnya.

Baru separuh jalan dia hendak ke dapur, berlagu-lagu BlackBerry putihnya dari dalam beg tangan. Dengan malas dia berpatah balik ke tempat pembaringannya tadi. Petang-petang macam ni cuma dua orang aje yang berkemungkinan akan cari dia. Tak Along, mesti Angah.

Baru tangannya menyeluk masuk ke dalam beg nak capai telefon, panggilan dah putus dulu. Encik Kacak. Lily merengus. Angahlah ni. Entah apa-apa angah ni. Tiap-tiap minggu mesti nak hijack telefon orang, lepas tu tukar nama sendiri suka-suka hati. Terlebih riang-ria abangnya yang seorang ni.

Baru Lily nak menelefon semula, telefonnya kembali berlagu.

“Adik, dah sampai rumah?” Terpa terus suara di hujung talian.

Salam tak ada, intro tak ada, terus ke tujuan. Gaya macam kecemasan sungguh. Ini kalau ibu yang angkat telefon harus dapat ceramah percuma. Lily mengerut dahi. “Baru sampai, Angah. Nak check adik merayap ke apa ni?”

Afiq ketawa. “Taklah. Selama ni mana Angah pernah sekat adik nak pergi mana-mana pun. Tu kerja Along, okey. Eh, malam ni pergi stadium, kan?” ‘Kan’ yang lebih kepada ayat penyata. Bukan ‘kan’ yang berbunyi soalan, walaupun di hujung ayat punya tanda soal.

Lily duduk bersandar. “Hari ni Angah ada game ke? Stadium Shah Alam? Malas, Angah. Malas. Adik tak sempat nak bernafas betul lagi pun ni.”

Sungguh dia langsung terlupa. Walaupun Stadium Shah Alam tu tak sampai sepuluh minit perjalanan pun dari rumahnya, tapi kalau dah memang tak ada niat nak jejak stadium, stadium cuma terpisah pagar dengan rumah pun belum tentu sampai.

Dan dia bukan setakat malas, dia penat. Sangat penat. Kalau pergi stadium, balik mesti dah dekat tengah malam. Balik nak gosok baju lagi. Esok pagi-pagi dah kena bangun nak pergi kerja. Tambah-tambah dengan Rabu yang dah serupa Isnin, sangat menjengkelkan. Semua gara-gara mesyuarat wajib yang entah bila nak jadi tak wajib. Sungguh dia penat. Penat habis kerja pun tak sudah-sudah, nak tambah penat baru lagi. Baik lepak rumah aje.

“Ala, adik. Meh datang. Angah dah bagi pas masuk dekat Along.”

Spontan Lily tersenyum nipis. Mengenangkan Alongnya, ada harapan tak payah pergi. “Along tak balik lagi. Adik tak pergilah macam ni ek, Angah.”

“Angah dah telefon Along. Along kata dia dah dalam perjalanan balik rumah tadi. Dia suruh adik siap-siap. Lepas maghrib aje terus gerak.”

Lily mengeluh berat. Bujang dua ketul ni ada aje rancangannya. Kalau tak jebak dia sekali mesti tak sah. Mentang-mentang dia orang tu abang, guna mandat besar memanjang.

Afiq dah mengekek-ngekek ketawa di hujung talian. “Tak baik mengeluh, adik. Macam ni lah, esok Angah hantar dengan jemput adik pergi dengan balik dari tempat kerja. Adik tak payah drive. Cool?”

“Ye.” Malas dia nak kata apa lagi. Tahu yang abangnya itu takkan dengar atau terima apa-apa alasan pun. Lagipun kalau ada orang hantar pergi tempat kerja, kurang-kurang pagi tu boleh sambung tidur sekejap dalam kereta.

“Macam tu lah adik Angah. Jumpa kejap lagi.” Talian terus dimatikan.

Macam tu lah adik Angah.. Lily mengajuk gaya cakap Afiq. Mengada tak padan dengan umur. Terus Lily campak BlackBerry masuk semula dalam beg. Dengan malas dia melangkah ke dapur semula, nak isi perut. Tengah hari tadi dia langsung tak sempat nak makan. Sibuk dengan kertas kerja yang entah bila nak siap.

Bila masuk dapur, tak dapat tidak, terus tinggi suaranya menjerit geram. Meradang. Pinggan-mangkuk punya tinggi penuh sinki. Balik dah penat, kena paksa pergi stadium, lapar, lepas tu tengok sinki penuh. Tak salah kan kalau dia menjerit melepas geram.

“Adik, kenapa? Kenapa?”

Lily menoleh belakang. Akif tengah termengah-mengah mengejar nafas. Muka risau satu macam. Mesti Along masuk rumah masa dia tengah menjerit tadi.

Lily tunjuk sinki. “Tu. Sinki tu tak boleh penuh lagi ke? Adik penat, Along. Dahlah lapar. Penat. Lapar. Penat. Lapar. Pe..”

Akif menepuk dahinya. Ingatkan besar sangat masalahnya. Kelam-kabut dia berlari tadi bila terdengar suara jerit dari dalam. Mati-mati ingat ada perompak dalam rumah. Rupanya cuma sabar adiknya yang dah dirompak. “Adik.. pergi depan tu. Atas meja depan TV tu ada pizza. Along memang beli untuk adik makan sorang. Sementara adik makan, pinggan-mangkuk ni biar Along yang sudahkan.”

Akif tolak Lily sampai ke pintu dapur bila Lily masih tercegat tak bergerak.

Along cakap apa tadi? Nak tolong kosongkan sinki? Along? Dalam dunia ni benda yang paling Along benci adalah.. betul. Basuh pinggan. Tiba-tiba baik hati, tu mesti rasa bersalah sebab jebak dia sekali dalam rancangan Afiq tadi.

Dalam pada tak mahu percaya Akif rajin nak kosongkan sinki, dia tetap bergerak ke depan untuk ambil makanannya. Lily angkat kotak pizza dan dia kembali ke dapur. Kotak pizza tadi terus dia letak atas kaunter dapur. Dia berjalan ke peti sejuk dan dikeluarkan air kotak soya yang baru dibelinya semalam dan duduk di bangku tinggi menghadap belakang Akif yang tengah menyental periuk.

Hawaiian Chicken.. sedapnya. Habis aje baca doa makan terus laju tangan menyuap pizza ke dalam mulut.

“Along, tibathbabayekhatisanghat..”

Langsung tak dengar biji butir. Itu jadinya bila orang yang mulut penuh dengan makanan tapi masih nak tunjuk usaha nak bercakap.

Akif toleh ke belakang. “Adik ni. Umur dah nak masuk 25. Tapi perangai macam budak baru masuk tadika. Kalau bakal mak mertua tengok adik bercakap masa mulut penuh mesti langsung tak jadi nak masuk meminang.”

“Along ni kalah ibu kalau membebel. Okey apa. Kurang-kurang adik baru nak masuk 25. Along dah nak masuk 29 dah tahun ni.”

Akif buat muka. “Isi penting Along bukan umur tu, okey.”

Budak ni kalau tengah lapar tu, benda meraban-raban yang dibuat dulu. Berfikir pun jadi lambat. Nampak pinggan penuh dalam sinki pun boleh dia menjerit gaya nampak kuda kepala tiga. Tapi sebenarnya, dia pun rasa nak menjerit sama macam Lily bila dia tengok sinki. Siapa yang suka basuh pinggan. Lagi-lagi siapa yang suka basuh pinggan yang banyak bila tengah lapar atau bila balik dari tempat kerja. Nota persendirian: Jangan lupa cekik Afiq bila dia balik nanti.

Baru habis tiga potong pizza Lily bedal, Akif pun habis mengosongkan sinki. Kemudian Akif turut sama menemankan Lily mengosongkan kotak pizza tadi. Langsung licin sekeping pizza saiz besar makan dua orang. Dua-dua kebulur macam seminggu tak makan.

“Along, kalau tak pergi malam ni tak boleh ke?” Lily buat muka kesian, masih mahu mencuba nasib. Mana tahu Alongnya tiba-tiba baik hati termakan taktik dia.

Masing-masing dah tersandar kekenyangan. Dan dalam kepala Lily cuma satu benda yang dia nak buat – masuk tidur awal.

Sorry, sweetheart. Along lebih rela tengok muka itik adik daripada tengok satu daripada barang dalam rumah ni pecah sebab Angah tak puas hati kita dua mungkir janji.” Tanpa nada Akif menutur. Bukan sekali dua barang dalam rumah melayang dikerjakan angin Afiq yang sama haru dengan Lily. Bezanya, Lily akan membebel tak cukup nafas pada Akif dan Afiq akan campak apa-apa barang yang tercapai dek tangan. Apa malang nasib aku dapat adik dua-dua kepala tsunami.

Lily tarik muncung itiknya dan spontan Akif ketawa. Dan bila Akif dah mula ketawa, makin panjang muncung Lily. Bila masanya dia janji apa-apa dengan Afiq? Akif yang buat janji, tak pasal dia yang terjebak sekali.

“Adik tak faham. Kenapa Angah mesti nak salah sorang atau kita dua pergi tengok setiap perlawanan dia dekat stadium tu?”

Akif angkat bahu. “Tak tahu. Tak pernah terfikir pun nak tanya soalan tu dekat Angah.” Akif diam sekejap sebelum menyambung, “Adik bukan suka pergi tengok game dekat stadium ke?”

Lily memang antara penonton dan penyokong tegar yang rajin ke stadium. Dulu, pantang Skuad Merah Hitam yang dia sokong ada perlawanan di stadium, dia memang antara muka-muka yang selalu muncul dekat sana. Sangat selalu sampaikan dia boleh buat kawan dengan muka-muka lain yang sama rajin jenguk stadium setiap kali ada perlawanan.

Masa umur belas-belas dulu selalunya Lily pergi dengan Akif atau seorang lagi sepupunya. Cuma kadang-kala dengan Afiq. Bergantung pada jadual perlawanan Angahnya itu. Tapi dua, tiga tahun kebelakangan ni, selalunya kalau tak dia pergi sorang, dia akan pergi dengan satu atau dua orang kawan perempuannya. Hanya dua, tiga menjak ini yang dia jarang nak menjejak stadium. Sibuk kononnya.

Akif pula lepas dia dah habis ijazah, memang boleh dikira berapa kali aje menjejakkan kaki ke stadium. Tapi hari ni Akif pula yang terlebih rajin ajak dia pergi stadium. Mesti Akif ada janji apa-apa dengan Afiq. Kalau tak, harapan nak suruh Akif datang. Nak pergi macam mana kalau balik kerja pun lambat memanjang.

“Suka memanglah suka. Tapi adik dah tiga hari tak cukup tidur. Lagipun..”

Akif angkat kening. “Lagipun?”

“Lagipun Khyril Asyraf tu tengah cedera. Lima minggu kena rehat. Kira tak ada rugi sangat kalau adik tak pergi stadium hari ni.” Lily tayang sengih. Okey, ini memang patut rasa bersalah dengan Angah.

Oh, kejap. Sebelum ada sesiapa yang salah faham, dia rajin layan perlawanan di stadium bukan sebab pemain semata-mata. Menonton perlawanan bola sepak memang dah jadi makanan dia sejak zaman budak tak cukup umur lagi. Semuanya disebabkan pengaruh dan cita-cita Afiq.

Lily cukup tak suka bila orang keliling letak stigma yang perempuan kalau tengok bola mesti sebab nak tengok pemain. Okey, mungkin memang ada perempuan yang macam tu. Tapi bukan semua. Lagipun, salah ke kalau perempuan suka tengok bola? Undang-undang mana dalam dunia ni kata yang bola tu untuk lelaki dan lelaki sahaja?

“Heh. Kalau Angah tahu, mesti merajuk panjang dengan adik.” Akif bangun sampai meregangkan badannya. “Siap. Lepas Maghrib aje kita terus gerak.” Malas dia mahu berlama-lama di situ. Lagi lama dia melayan Lily, lagi banyak alasan yang akan Lily bagi demi nak mengelak diri.

Lily bangun dengan malasnya. Kotak pizza dan air kotak yang dah kosong langsung dicampaknya ke dalam bakul sampah di tepi sinki. “Along ni dah makan bukan nak buang sampah dia.” Lily merungut. Bila Akif tak makan pujuk, semua benda tentang Akif dia jadi tak puas hati. Sengaja.

“Adik, anak dara tak elok merungut bila kena buat kerja dapur.” Jerit Akif dari luar dapur.

Ceh. Dengar aje.

0 comments:

Post a Comment

 

Penakut. Copyright © 2012 Design by Antonia Sundrani Vinte e poucos