Tuesday, January 1, 2013

Bab 6 : Aku, Dia dan Sampai Tua

Posted by ai at 10:12 PM

ASYRAF MENYEPAK BOLA di kaki sekuat hati. Ke kiri. Ke kanan. Kemudian berpusing. Berlari deras. Berlari-lari anak. Melompat. Semuanya dilakukan dengan penuh gembira. Senyuman lebar sejak tadi masih setia melekat di bibirnya. Sampaikan teman-teman yang lain pun turut sama tumpang senyum melihat rupa Asyraf yang terlebih ceria.

“Tidak!” Asyraf menjerit panjang bila bola yang disepak mengena tiang gol.

Afiq yang tengah berdiri tepi tiang sambil tengah minum nyaris tersembur air dalam mulut bila terdengar suara Asyraf menjerit. “Kau apahal?” Sergah Afiq selepas air yang diminum dah menuruni celah rengkungnya.

“Salah kau lah ni bola tu tak masuk. Duduk lagi tepi tiang.” Asyraf menjawab. Kemudian dia menyambung berlatih menyepak bola ke dalam gawang dari sudut-sudut yang berlainan.

Afiq menggeleng melihat Asyraf. “Gila.” Afiq ketawa perlahan sebelum kembali ke dalam padang menyambung latihannya dengan yang lain-lain.

Semua orang tahu yang Asyraf tu tengah rasa macam badan melayang ke langit. Sebab tu semua malas nak berkata apa-apa. Biasalah tu. Bila dah berminggu-minggu pergerakan terbatas atas sebab kecederaan, bila boleh berlari dan menendang bola semula memang terasa gembira yang amat.

Asyraf mendepangkan tangannya. Nikmatnya bila badan kembali merasa angin. Walaupun pergerakannya pada hari ni masih tak berapa nak cergas, tapi untuk dia kembali berlatih semula betul-betul memberi kepuasan dalam diri.

Hari ni latihan mereka tamat seperti hari-hari yang lain juga. Tamat latihan untuk hari tu, semua akan berkumpul dan Coach Azhar seperti biasa akan memberikan tips bahagian mana yang perlu diperbaiki lagi untuk latihan esok dan perlawanan seterusnya.

Asyraf, Afiq dan Ben berdiri paling hujung di sebelah kiri. Sambil mendengar Coach Azhar bercakap, sempat lagi mereka bertiga bergurau sesama sendiri. Mengusik Irfan di sebelah kanan Ben. Menarik baju Achong yang berdiri di depan Afiq. Masing-masing buat perangai macam budak tadika baru nak masuk lima tahun.

Kebiasaannya memang begitulah rutin mereka hampir setiap hari. Tapi nak bergurau pun kena tengok dulu mood Coach Azhar. Kalau angin tengah baik, bolehlah mereka buat nakal. Kalau tak, masing-masing mesti mematung, berdiri tegak dengan muka serius. Orang kata sarang tebuan jangan nak gatal main jolok-jolok.

“Asyraf, berlari tu berlari jugak. Jangan sampai hamstring tu tercedera balik sebab terlebih excited dah lah ya.” Pesan Coach Azhar. Sekaligus membuatkan Asyraf tergamam sekejap kerana namanya disebut secara tiba-tiba.

Bila melihatkan Asyraf yang tergamam lepas disergah dek Coach Azhar, yang lain apa lagi. Semua pakat gelak berjemaah.

Asyraf menyeringai. Tapi dalam pada baru lepas tergamam tadi, masih ada hati mahu bergurau. “Menurut perintah, bos!” Tangan siap angkat tanda beri hormat.

Coach Ahzar menggeleng sambil senyum. Perangai tak berubah langsung.

Tepat 6.30 petang, masing-masing dibenarkan bersurai. Ada yang terus ke bilik persalinan mereka, ada yang tak sempat nak mandi dulu dah terus cabut balik dan ada juga tiga, empat orang yang masih duduk bertenggek di tepi padang.

Afiq menyiku perlahan Asyraf yang tengah duduk berlunjur di sebelah kanannya di tepi padang. “Kau mesti gembirakan boleh tunjuk balik skill kau depan budak-budak perempuan ni.” Mata memandang ke arah beberapa orang gadis yang berusia awal 20-an yang masih setia duduk di grandstand walaupun latihan mereka untuk hari tu telah berakhir beberapa minit yang lepas.

Asyraf sekadar tersengih mendengar andaian Afiq. Tahu yang Afiq sengaja mengusiknya yang jelas terlebih semangat masa membuat latihan.

“Mesti. Lima minggu diorang tak nampak aku. Masa aku mula-mula sampai tadi pun dah terasa bahang rindu semua orang dekat aku.” Asyraf buat muka berlagak. Tapi cuma sekejap sebab tak sampai berapa saat lepas tu, dia sendiri ketawa. Tak tahan dengan ayat dia sendiri.

Kebiasaannya memang begitu setiap petang. Hampir setiap hari mesti ada saja peminat yang datang melihat pasukan mereka membuat latihan. Ada yang datang memang untuk melihat latihan mereka sahaja. Ada juga yang datang untuk mengambil gambar-gambar mereka. Ada yang datang untuk memberi sokongan.

Setiap hari, memang di sini tempat pasukan mereka menjalanikan latihan. Cuma bila ada perlawanan Piala Presiden yang berlangsung untuk hari tersebut, baru mereka tak membuat latihan di situ.

Afiq hanya senyum. Pandangan ditebar ke kawasan padang yang menjadi tempat latihannya hampir setiap petang selama beberapa tahun ni. Pernah juga dia mendapat tawaran yang lebih tinggi untuk berpindah, tapi bila dia fikir-fikirkan, terasa sayang nak nak tinggalkan pasukannya yang sekarang. Jatuh, bangun dia semua bermula di sini.

“Tempat cedera kau tu macam mana? Dah baik betul ke?”

“Bolehlah. Kelmarin aku jumpa doktor, dia kata semua okey. Tapi fobia tu ada juga, Fiq. Dah dua kali cedera dekat tempat sama.” Asyraf meluah rasa.

Bukan setakat dia, Puan Faridah yang di rumah pun dah beberapa kali meluahkan rasa risaunya. Kata mama, dia yang tak cukup berhati-hati. Tapi benda dah nak jadi. Bukan dia yang minta pun. Masa tengah sibuk berlari ke sana, ke sini atas padang tu, kadang bukan dia perasan pun kalau tiba-tiba boleh berlaga kepala ke badan.

Afiq tepuk perlahan belakang Asyraf. “Adatlah tu. Pemain bola mana yang tak pernah cedera.” Afiq sendiri pun pernah cedera teruk di bahagian lututnya sehingga memerlukan dia menjalani pembedahan. Enam bulan juga masa yang dia ambil untuk betul-betul pulih.

Afiq berdiri sambil meregangkan badan. “Masuk dalam, jom. Dah nak dekat pukul tujuh kut.”

Baru Asyraf nak berdiri, ada dua orang gadis belasan tahun datang mendekati mereka.

“Abang Asyraf, nak bergambar sekali boleh?” Pinta salah seorang daripada dua gadis itu. Di tangan dah siap dengan kamera digitalnya.

Afiq sengih dan perlahan-lahan dia berjalan nak masuk ke dalam. Baru beberapa hari yang lepas gadis yang sama minta bergambar dengannya. Sebelum Asyraf buat helah mengheret dia sekali untuk melayan, baik dia melarikan dulu. Dia bukan mahu menyombong dengan peminat, tapi beberapa minggu Asyraf tak ada, puas sudah dia melayan.

Asyraf mengangguk, tanda setuju. Dari hujung matanya dia nampak Afiq berjalan laju untuk masuk ke dalam. Sah, memang Afiq melari diri, meninggalkan dia seorang. Bila dia toleh keliling, baru dia perasan yang rakan sepasukannya seorang pun dah tak ada lagi di situ. Agaknya sebab tu tadi Afiq mengajaknya untuk masuk ke dalam.





USAI SOLAT MAGHRIB BERJEMAAH, seorang demi seorang mengangkat beg masing-masing dan berlalu ke kereta. Mahu cepat pulang ke rumah, hendak berehat.

Afiq, Asyraf, Meen dan Badd berjalan beriringan menuju ke tempat letak kereta dengan berkain pelekat. Masing-masing tengah bergelak suka menyakat Asyraf yang masih buat muka sebab ditinggalkan seorang diri petang tadi.

“Kalaulah peminat kau tahu yang Abang Asyraf diorang ni jenis yang reti merajuk, mesti terus hilang imej macho kau tu.” Afiq ketawa.

“Semua pakat tinggalkan aku macam tu aje. Macam ni lah kawan.” Jelas nada suara Asyraf masih tak puas hati.

“Kitorang semua nak bagi peluang. Mana tahu ada yang kau berkenan ke.” Meen membela diri. Kononnya bukan sengaja. Padahal dia yang memberi isyarat pada Afiq dari jauh tadi untuk beredar.

“Entahnya. Orang lain semua dah berpunya, ada yang dah putus dan dah dapat pun yang baru. Kau juga sejak dulu kekal single. Kau tunggu siapa?” Badd yang baru melangsungkan perkahwinannya hujung tahun lepas pula bertanya.

Dan Badd bukan satu-satunya orang yang sering bertanyakan Asyraf soalan yang sama. Nak diikutkan, Asyraf lah antara yang paling ramai peminatnya. Maklumlah, orang ada rupa, melayan pun boleh tahan rajin. Tapi sampai sekarang tak ada yang dia betul-betul nampak macam berkenan.

“Ke kau tunggu Afiq ni bagi lampu hijau? Kau nak jadi adik ipar si Afiq ni kan?” Meen mengusik lagi.

Semua orang pun sedia maklum keakraban Afiq dengan Asyraf yang dah macam adik-beradik sejak daripada zaman mereka baru mula kenal, sewaktu bermain untuk pasukan bawah 21 lagi. Selalu juga diusik Asyraf dengan adik Afiq yang nak dijadikan cerita tak ada siapa pun antara mereka yang pernah tengok atau jumpa.

Semua mengatakan yang Afiq suka sorok adik. Kewujudan adik perempuan Afiq pun mereka baru tahu dua tahun lepas. Itupun secara tak sengaja. Kalau bukan disebabkan Ben yang secara tak sengaja terangkat telefon Afiq tu mesti sampai sekarang pun mereka tak akan tahu. Selama ni mati-mati mereka ingatkan yang orang bernama Lily tu kekasih gelap Afiq.

Kenapa kekasih gelap? Sebab sejak dulu lagi semua orang dah tahu tentang hubungan Afiq dengan Arianna, pensyarah muda dari UiTM Shah Alam. Sebab tu semua orang terkejut bila Afiq mengatakan yang Lily tu sebenarnya merupakan adik bongsunya. Entah apa yang Afiq sorokkan sebenarnya pun mereka tak tahu.

“Aku tunggu bidadari turun dari langit.” Asyraf buat muka. “Lagipun tak nak aku bagi mandat besar dekat Afiq jadi abang ipar aku. Mahu dibulinya aku teruk-teruk kalau aku jadi adik ipar dia.”

“Kau jangan, Asyraf. Kalau dah takdir aku jadi abang ipar kau, sungguh-sungguh aku kerjakan kau.” Ugut Afiq dengan nada bersahaja.

Pecah ketawa masing-masing lagi. Kali ni dengan Asyraf ikut ketawa sekali. Tak larat dia nak menarik muka lagi. Semuanya ni bukan jenis yang boleh dilayan sangat. Makin panjang usik kalau tak diberhentikan.

Asyraf menekan butang kunci keretanya dan memasukkan begnya ke tempat duduk belakang. “Jumpa esok.” Dia mengangkat tangan dan terus masuk ke dalam kereta.

Yang lain-lain pun melakukan perkara yang sama dan seorang demi seorang meninggalkan perkarangan tempat letak kereta.

0 comments:

Post a Comment

 

Penakut. Copyright © 2012 Design by Antonia Sundrani Vinte e poucos