Friday, August 23, 2013

Bab 19 : Aku, Dia dan Sampai Tua

Posted by ai at 11:11 PM

LILY BERKEJAR DARI ATAS ke bawah, dari bawah ke atas dan kembali ke bawah. Antara mahu menghabiskan gosok baju untuk ke pejabat dan nak menyediakan sarapan untuk Asyraf. Mandi pun belum lagi, apatah lagi mahu bersiap.

Bahana menyambung tidur sesudah solat Subuh. Sedar-sedar jam dah menginjak ke pukul 7.15. Lagi parah bila encik roommate bukan kerja ikut masa normal, langsung tak boleh dijadikan kayu ukur masa yang sepatutnya untuk dia bangun. Bila Asyraf gembira menyambung lena, dengan dia terjebak sama. Sudahnya dia seorang yang rabak. Sudahlah hari ni merupakan hari pertama dia kembali bekerja lepas bercuti seminggu. Sungguh tidak adil.

Sementara menunggu air di cerek masak, sekejap-sekejap Lily akan mengerling pada jam yang tergantung di dinding. Kenapalah dalam rumah ni boleh cuma ada cerek yang mesti nak kena letak atas dapur saja. Pakai yang guna elektrik kan lagi senang. Masa-masa dia mahu cepat begini, tak perlu nak duduk bertapa depan cerek semata.

Bila cerek mula melaung kuat, cekap tangan Lily menyudahkan membancuh teh dalam teko. Walaupun dah dipesan Asyraf awal-awal semalam untuk tidak perlu bersusah menyediakan dia sarapan, tapi bagi Lily sekurang-kurangnya dia perlu paling tidak untuk menyiapkan sesuatu.

Selesai, Lily yang laju memusingkan badan, tanpa sedar yang Asyraf sebenarnya sedari tadi berdiri tegak di belakangnya, terus terhantuk kepalanya di dada Asyraf. Spontan dia mengaduh kecil. “Ini badan orang ke batang kayu.”

Asyraf ketawa. Terus dia gosok perlahan dahi Lily. Satu yang dia perasan tentang Lily, kalau dah mula hanyut dalam satu-satu kerja tu, keadaan sekeliling dia boleh langsung tak sedar. Sama macam sekarang. Padahal nak diikutkan dah dekat seminit juga dia berdiri di belakang Lily.

“Kan dah pesan semalam tak payah susah-susah sedia apa-apa pagi ni.”

“Tak susah pun.” Perlahan Lily menjawab.

Iye. Memang tak susah pun. Tapi ni sempat ke nak sampai pejabat pukul 8.30 ni?” Mata dah meliar pada jam. Dah 7.30. Dan Lily di depannya masih lagi dengan tocang dua dan baju gedabak paras lututnya. Sumpah comel.

Lily yang perasankan mata Asyraf yang ralit memerhatikannya terus buat muka. “Hello, cik abang. Saya betul-betul dah lambat. Dan kalau moment awak-tengok-saya-dan-saya-tengok-awak ni tak ditamatkan, jawabnya ada yang kena ambil EL hari ni.”

“Macam tu ambillah EL.” Laju Asyraf bersetuju pada kata yang baru keluar dari bibir mungil Lily.

Lily terus malas mahu melayan. Kaki dah mula melangkah, mahu keluar dari dapur. Baru dia menapak ke anak tangga yang pertama, Asyraf dah berdiri di sebelah. Sama-sama di anak tangga yang pertama. Lily toleh. “Apa? Saya sungguh-sungguh tak boleh nak EL hari ni. Hari lain mungkin boleh dipertimbangkan.”

Menyambung cuti pada hari pertama dia seharusnya ke tempat kerja selepas bercuti kahwin adalah perkara yang paling mahu dia elak. Kalau tidak, mahu dia disakat sehabis mungkin dek Aida dan kakak-kakak sepejabatnya.

Asyraf gelak. “Saya tuntut janji tu nanti.”

Lily mengerut dahi. “Janji apa pula?”

“Hari lain mungkin boleh dipertimbangkan.” Asyraf mengulang ayat sama yang baru Lily tuturkan tadi.

Lily melopong. Twisted sungguhlah suaminya yang seorang ni.

Asyraf paut lengan Lily. “Sudah-sudahlah melopong. Awak tahukan saya takkan lepaskan satu peluang pun untuk duduk lebih lama dengan awak. Awak depan mata pun rindu saya dah melimpah. Ini pula awak nak pergi kerja. Jom. Naik atas. Bersiap. Saya hantar awak dengan T-rex saya. Pagi Isnin jammed kalau awak nak drive masa macam ni.”

Bibir mengukir senyum paling manis. Itu rezeki namanya bila Asyraf dah menawar diri untuk menghantar dengan T-rex dia. T-rex itu nama panggilan Asyraf untuk Blade 650R kesayangannya.

Untuk masa ini, yang penting dia kena juga sampai ke pejabat. Balik nanti nak naik apa itu belakang kira.



AIDA MENEPUK belakang Lily yang sejak tadi sedang ralit merenung muka BlackBerry yang hitam kaku. Berdentum bunyi BlackBerry putihnya berlaga dengan meja kerjanya, terlepas dari tangan dek kerena terkejut disergah. Melekek-lekek Aida ketawa. Mana tidaknya. Selalunya Lily antara manusia yang paling jarang nak tenung telefon kaku dan paling tak ada hati nak terkejut-terkejut segala. Apa dah jadi? Penangan menjadi pengantin baru agak Aida.

Lily buat muka sambil menjeling tajam. Seronok sangatlah tu bila dapat mengenakan orang. Geram. Tapi malu yang lebih sebenarnya. Tambah-tambah dengan kejadian pagi tadi.

Pagi tadi ingatkan dah sampai masa dekat-dekat pukul 8.30, tak adalah bertembung dengan sesiapa. Maklumlah, teman-teman di pejabatnya rata-rata jenis yang sangat jarang nak lambat. Tengah sibuk Asyraf mengusik dia yang sedikit menggigil dek penangan pengalaman pertama naik T-rex yang membelah laju antara deretan kereta, elok Aida lalu sebelah sambil senyum sampai ke telinga. Masuk pejabat, habis dicanang satu pejabat apa yang dinampak. Benda pendek pun boleh digubah cerita jadi ala-ala novel. Bertuah punya kawan.

Dan hari ini, pantang dia terawang sekejap, berfikir seketika, pegang telefon sesaat, terus laju Aida mengusik dia. Konon rindukan cik abanglah, angaukan suami. Ceh.

“Kau tenung sampai nak tembus pun telefon tu, tak adanya dia boleh dial sendiri nombor cik abang sayang kau tu.” Aida mengusik dengan ketawa yang masih bersisa. Belakang badan selesa disandarkan pada kubikel Lily.

“Pandailah kau. Ingat aku tak ada kerja lain ke.” Omel Lily sambil menyusun kertas-kertas yang mahu difailkan. Seminggu tak masuk ke pejabat, membukit kerjanya.

Aida menarik senyum. “Aku dulu pun pernah masuk fasa yang kau tengah lalu sekarang ni juga.” Melihatkan tingkah-laku Lily sejak pagi, teringat masa dia mula-mula kahwin dulu. Kejap-kejap nak termenung. Kejap-kejap pegang telefon. Luar sedar, mesti nak teringatkan pada cik abang.

Lily buat muka. “Memandailah kau. Dah. Pergi duduk sana. Main jauh-jauh. Aku tengah sakit kepala duk kejarkan kontraktor sebab client asyik kejar suruh tanyakan.” Hakikatnya memang begitu. Bukan Asyraf yang dia kejar. Mungkin terkadang dia ada juga ternantikan apa-apa pesanan ringkas daripada Asyraf. Tabiat baru yang dah diterbiasakan oleh Asyraf.

Aida sengih. Baru dia nak bergerak ke tempatnya, tiba-tiba dia teringat semula kenapa dia bergerak ke tempat Lily pada asalnya. Aida berpusing menghadap Lily semula.

Iye. Ada apa cik kak sayang?” Lily dah siap menjongket kening lagi. Tak boleh nak tangkap tingkah-laku Aida yang kadang-kala sukar nak diramal.

“Dengar cerita hari ni sepatutnya ada seorang engineer baru masuk. Tapi dengar cerita tiba-tiba dia ada hal. Jadi minta tangguh sampai Rabu ni baru masuk pejabat.” Separuh berbisik Aida bercerita walaupun masa itu cuma muka mereka berdua saja yang masih terpacak di pejabat. Yang lain semuanya sudah menghilang. Kata pun memang tengah masa rehat. Semua kebulur.

“Jadinya?” Separuh blur Lily bertanya. Sungguh dia tak nampak kaitan cerita itu dengan dia dan apa perlunya Aida bercerita gaya rahsia bebenar. Engineer baru je pun yang nak masuk. Macamlah pejabat mereka tak pernah terima mana-mana pekerja baru.

Beauty with brain.”

Terkebil-kebil sekejap Lily. “Sungguh aku tak tahu macam mana nak link kan tang beauty dengan tahap kegirangan kau. Sejak bila kau berminat sangat menyebar cerita bila engineer perempuan baru yang masuk?”

Aida buat muka. “Kenapa kau kura-kura sangat hari ni, Lily. Yang nak masuk tu lelaki lah. Sekali imbas, ada gaya macam laki kau. Muka jambu. Manis tapi macho.”

Lily mencebik. Aida yang meraban entah apa, alih-alih dia yang dikatakan kura-kura. “Dah kau kata beauty. Haruslah aku tembak perempuan.”

“Apa-apalah. Lepas ni seronoklah kau. Dah ada kawan berbual. Tempat depan kau yang dah berzaman kosong ni tempat dia lah. Aku dengar cerita, bos memang dah rancang lepas ni semua projek kau, bahagian mekanikal kau bahagilah dengan dia. Tak adalah semput kau nak kejar deadline lagi.”

Lily angkat kening. Kagum. Entah bila masanya Aida ada masa mencari info sebegini dia sendiri pun tak pasti. Berita Aida selalu terkedepan daripada yang lain. Tangan kanan dah menaikkan ibu jari, tanda bagus. “Semangat dan usaha kau dalam menyampaikan berita-berita terkini lagi sensasi memang harus dipuji dan dicontohi.”

“Aku cepuk kau karang.” Aida dah angkat tangan, mengacah.

Dan mereka sama-sama ketawa suka.

0 comments:

Post a Comment

 

Penakut. Copyright © 2012 Design by Antonia Sundrani Vinte e poucos