Saturday, July 6, 2013

Bab 18 : Aku, Dia dan Sampai Tua

Posted by ai at 10:04 PM

MELIHATKAN PEMANDANGAN yang terbentang indah di depan mata, tak tersampai hatinya untuk menghilangkan senyum di pinggir bibir. Isteri yang leka menghadap matahari terbenam depan mata dan dia yang masih belum mampu untuk menghalakan mata ke arah lain bila isteri ada berdekatan.

“Sudah-sudahlah tenung saya. Pemandangan macam ni tak boleh nampak hari-hari tau.” Mata masih belum mahu melepas pandang apa yang ada di depan. Beberapa hari ini sungguh dia penat. Mengurus majlis, menziarah sana-sini, mengenalkan suami dengan saudara-mara. Dan bila Asyraf mengusulkan untuk ke Tanjung Piai, dia langsung-langsung bersetuju.

“Pandanglah saya.” Asyraf dah mula mengada. Perangai tak ubah macam Afiq, kuat mengusik. Baru masa ini dia dapat untuk betul-betul berdua dengan Lily.

Lily menaham senyum yang rasa tertarik di pinggir bibir. Dia dah mula dah. Tiga hari bergelar isteri, dia mula belajar kenal karakternya Asyraf. Yang paling ketara, orangnya sangat inginkan perhatian.

“Awak. Pandanglah saya.” Sangat yakin yang Lily takkan pandang. Malu belum habis katanya. Dan atas sebab itu, lagi seronok dia menggiat.

Lily terus toleh dan mata mereka bertentang. “Iye.”

Hati terus rasa terpanah. Giliran Asyraf untuk terkedu. Tekaannya yang mula-mula langsung-langsung ke laut.

Lily terus ketawa. Pertama kali melihat Asyraf yang terkedu. Selalu berani sangat mengusik orang. Kali ini dia yang terkena. “Seronok sangat usik saya kan. Apa rasa bila kena usik?” Itu namanya rethorik. Tak perlu jawapan.

“Rasa macam kena panah arjuna.” Spontan Asyraf menjawab dan mata dikenyit. Konon mahu menahan gugup di hati. Ceh. Terkena dia kali ini.

Lily jeling tajam dan mata terus ditala semula ke depan. “Awak sebenarnya kerja sepak bola ke pembancuh air gula?”

Pecah ketawa Asyraf. Senang dengan reaksi Lily yang dah mula memberi ruang untuk dia. “Tolerance gula awak tinggi, awak tau? Sebulan, dua ni saya rasa sama banyak saya bancuh gula dengan sepak bola. Bola saya dah banyak yang bolos masuk gol, tapi awak macam tak tepu-tepu lagi.”

Lily buat muka kelam. Sumpah dia tak faham. “Cuba kurangkan bunga dalam bahasa awak tu. Layman macam saya tak boleh nak tangkap tau.”

“Awak macam tak jatuh hati lagi pun dengan saya. Makanya saya terpaksalah berusaha keras lagi menabur gula.” Asyraf cuit hidung si isteri.

Asyraf senyum bila Lily mengangguk-anggukkan kepala. Entah faham entah tidak apa yang dia cuba kata. Lily tak seperti perempuan lain yang dia selalu jumpa. Cara berfikir sungguh lain daripada yang lain. Senang kata – rare species. Kadang kita kata ‘A’, yang difahamnya ‘B’. Dan dia bak kata Lily, terlalu suka membungakan ayat bila dengan Lily. Sengaja. Sebabnya, dia suka tengok muka berfikir Lily. Siap dengan kerut-kerut macam dia baru lepas terangkan teori sains nuklear.

“Oh. Macam mana awak tahu saya tak pernah jatuh hati dengan awak?”

Lurus.

Polos.

Pendek kata.

Rare species.

Tapak tangan kanan Lily digenggam dalam tangannya. Kemudian jemari di tangan kirinya disulamkan dengan jemari si isteri. Mata dah menenung tunak anak mata isterinya. Dalam. “Macam sekarang ni.. jantung saya tengah berdegup lagi laju daripada masa saya tengah berlari atas padang masa minit ke-33. Dan awak masih boleh pandang saya dengan pandangan tanda tanya.”

Lily ketawa. Sungguh-sungguh dia ketawa. Bukan waktu untuk Lily ketawa, tapi dia tetap ketawa. Asyraf cuma memerhati bila Lily memperkemaskan sulaman jemari mereka. “Cuba ingat semula. Dua perkataan yang selalu Angah gelar pada saya apa dia?”

Hopeless romantic. Dia menyebut perlahan dalam hati.

“Iya. Betul.” Bagai mendengar siaran langsung suara hati Asyraf, Lily laju mengiyakan. “Dua perkataan yang Along pula selalu gelar pada saya?”

Bagaikan kura-kura.

Lily menarik senyum segaris. “Dapat dah sekarang? Makan, jom? Tau tak lapar perut saya berteka-teki kisah hati dengan awak. Baru berapa hari lepas awak kata awak nak kayuh perlahan. Alih-alih hari ni awak cerita pasal jantung awak yang degup laju tu.” Lily memulang paku buah keras.

Pecah ketawa Asyraf yang sejak tadi konon mahu buat muka minta simpati. Tak kira apa kata siapa sekalipun tentang Lily, baginya Lily itu, dalam dua perkataan, ‘gadisku, degupku’.





ASYRAF MENARIK SENYUM SEGARIS bila dia lihat Lily sedang bersila di tengah-tengah katil dengan mata yang terpejam rapat dan kepala yang tersengguk-sengguk. Terlalu lama menunggu mungkin.

Dia baru sudah mandi. Dengan hanya berseluar pendek dan bersinglet putih, dia melangkah keluar dari bilik air. Tuala yang basah masih kemas tergantung di leher. Puas rasanya berlama-lama di bawah pancuran air. Perlahan dia menapak ke meja solek dan dibelek jam tangan yang elok terletak. Patutlah. Hampir sejam rupanya dia bersiram.

Perlahan Asyraf menapak pula ke katil dan meletak duduk menghadap Lily. Tidak mahu Lily terjaga secara mengejut. Mula-mula dicuit hidung. Tak berkutik, dicuit pula pipi mulus kiri dan kanan. Bila masih tidak ada tindak balas, jari dah mula bermain pada alis mata. Sengaja. Seronok melihat pergerakan halus pada wajah si isteri. Dan jari baru mula mahu turun ke bibir mungil Lily bila Lily dah mula sedar.

“Awak mandi ke awak berumah tangga dekat dalam tu?” Sedikit serak Lily bersuara. Tangan dah mula menggenyeh mata yang dah mula berair selepas menguap berkali-kali.

“Mestilah mandi, sayang. Rumah saya ada dekat sini. Takkan saya nak bina tangga dalam bilik air pula.”

Dan sama seperti yang dia duga, spontan Lily menghadiahkan dia satu jelingan. Tajam. Terus dia ketawa.

“Sukanya dia.” Lily menarik tuala yang memang dah terdampar sebelah tempat dia bersila. Asalnya pun memang dia yang patut masuk dulu ke bilik air. Tapi Asyraf tiba-tiba laju memotong giliran.

Dan bila Lily dah mula berdiri, laju Asyraf menarik pergelangan tangan kanan Lily.

Lily angkat kening sebelah. Menyoal bisu seperti biasa.

“Hari ni saya nak susun bantal ni macam mana? Satu atas katil, satu atas sofa? Atau dua-dua bantal ni boleh letak sebelah-sebelah atas katil tapi kena letak bantal peluk ni di tengah?” Dengan muka suci Asyraf menyoal.

Lily meletak belakang tangan kirinya yang bebas atas dahi Asyraf. Terkebil-kebil Asyraf jadinya sekejap.

“Lepas hari ke-tiga kita kahwin baru awak tanya soalan tu? Yang dua malam sebelum ni selamba badak awak redah buat katil saya macam katil rumah sendiri tu apa cerita?” Sengaja Lily tayang muka tak ada perasaan.

Asyraf menahan senyum. Bahasa dia. “Redah? Awak tak lupa kan saya yang lafaz akad dua hari lepas tu?”

“Dah tu yang awak tanya saya soalan macam kita kena kahwin paksa tu kenapa? Sejak bila cerita kita yang baru nak mula ni dah bertukar genre?” Soalan dah berbalas soalan.

Tidak dapat tidak, Asyraf senyum. Macam yang dia pernah kata dulu pada Akid – Ada orang kata Lily itu lambang persahabatan. Lambang kesetiaan. Ada juga kata Lily itu lambang keagungan. Lambang kebahagiaan. Dan Lily dihadapannya ini? Lambang kepolosan.

“Nakalnya dia. Mana belajar ni?”

Lily angkat bahu. Masih dengan muka tak ada perasaan. “Awak nak pegang tangan saya ni sampai esok pagi ke, awak? Saya ni mandi pun belum tau.” Sudah tak mahu memanjang cerita. Jawablah seberapa banyak jenis jawapan sekalipun. Kalau dilayankan, sampai esok pun soalan meraban Asyraf tak akan habis.

“Lepas mandi nak buat apa?” Nakal. Kemudian dia turut berdiri. Berdepan. Sengaja mengempang jalan. Dan tangan kanan Lily masih belum mahu dia lepas.

“Apa main roadblock bagai ni. Kasilah peluang saya nak berumah tangga dalam bilik air tu pula.” Tangan kiri dah mula menarik jari Asyraf satu-persatu, minta dilepaskan tangan kanan yang masih terperangkap.

Asyraf ketawa. “Dengan syarat.”

Pulak.” Lily buat muka.

Jari telunjuknya dah menekan-nekan pipi kiri sendiri. Dan dia hanya perlu menunggu dua saat untuk mendapat habuan yang dia sendiri pinta. Syukur. Bahagia. Sesi perkenalan muka dua dia menerangkan yang mereka bukan termasuk dalam versi terpaksa.

0 comments:

Post a Comment

 

Penakut. Copyright © 2012 Design by Antonia Sundrani Vinte e poucos