BADAN YANG PENAT direbahkan ke atas tilam empuk yang sejak petang tadi memang diidamkannya. Dah selesai membersihkan dan menyegarkan diri, sembahyang dan isi perut sedikit, barulah rasa senang hati nak bergolek atas katil.
Afiq yang berkongsi bilik dengannya masih lagi di bilik air. Baru masuk untuk mandi agaknya. Balik makan tadi pun dah lambat berbanding dengan dia yang awal-awal dah melari diri ke bilik. Malam ni rasanya tak ada hati dia nak berborak panjang dengan yang lain-lain. Lagipun kekejangan kakinya masih terasa lagi.
Asyraf memejamkan matanya. Rapat. Sebelah tangan diletak atas dahi. Dalam sebulan ni sudah puas dia berfikir dan dah terlebih puas juga rasanya jadi penunggu. Kak Farah pun dah dua, tiga kali menegur bila melihatkan dia yang dah macam tikus mondok tak jumpa keju.
Asyraf menoleh seketika bila terdengar pintu bilik air yang terkuak. Dah siap mandi agaknya Afiq ni. Kemudian dia kembali memejamkan matanya. Masih dalam posisi tadi.
Afiq keluar dari bilik air sambil sebelah tangan masih mengelap rambut yang basah. Badan sudah lengkap berpakaian. Sedikit terangkat keningnya bila melihat Asyraf yang dah terlentang dengan hanya berkain pelekat. Takkan dah nak tidur kut?
Afiq capai bantal dari katilnya dan dibaling tepat ke arah Asyraf. “Kau ikut sekali kan malam ni?”
Asyraf tepis ke tepi bantal yang jatuh betul atas mukanya. “Malaslah. Aku ingat nak lepak bilik aje malam ni.” Acuh tak acuh dia menjawab.
Afiq buat muka pelik. Tak pernah dalam sejarah Asyraf menolak bila diajak keluar. Selalunya bila perlawanan diadakan di negeri lain, dia yang paling awal merancang nak ke sana, ke sini tengah malamnya.
Afiq berjalan ke meja di hadapan cermin untuk mengambil sikat sebelum dia melabuhkan diri di kerusi di sebelah katil Asyraf. “Kau apahal? Nak kata kalah tadi, menang. Ke kau homesick?” Dalam pada bertanya, sempat lagi Afiq menyakat.
Syukur malam ni mereka akhirnya dapat juga mengutip tiga mata penuh. Dah tiga perlawanan berturut sebelum ni mereka tercicir dua mata. Seri memanjang.
Asyraf diam. Langsung senyap. Tak ada reaksi langsung. Dan keadaan itu makin menambah tanda soal yang dah berkepul dalam kepala. Bukan dia tak perasan. Sejak dua menjak ni, Asyraf memang lain sikit perangainya. Entah tersampuk apa sampai dia yang dulunya bising mengalahkan burung murai, sekarang tiba-tiba selalu termenung seorang.
Asyraf bangun dan terus duduk bersila. Nak cakap. Tak nak cakap. Nak cakap. Tak nak cakap. Nak cakap. Tak nak cakap. Ah, cakaplah. Mana tahu boleh kurang serabut kepalanya.
“Aku rasa aku macam dah tersuka dekat seorang perempuan ni.”
Lurus.
Terus.
Mulus.
Tak ada bengkang-bengkok.
Riak muka Asyraf masa tu memang tulus setulus-tulusnya, sampaikan Afiq yang mulanya rasa nak gelak, terus tak jadi sebab dia rasa macam kejam kalau dia ketawa masa tu.
Afiq menggaru kepala yang tak gatal. Ingat masalah apa yang besar sangat. Tapi hebat juga penangan perempuan yang Asyraf terjatuh suka ni. Sebab boleh buat kaki mengayat jadi kaku. Bingung sampai tak tahu nak buat apa. Sungguh ini pertama kali dia tengok Asyraf begini.
“Bagitahu ajelah perempuan tu kau suka dia.” Senang Afiq mencadang.
Asyraf buat muka. “Kalau aku tahu siapa perempuan tu dengan dekat mana aku boleh jumpa dia lagi, dah lama aku buat.”
Kalau nak diikutkan, sebulan tu sebenarnya mungkin bukan masa yang panjang, tapi kalau sebulan mencari benda, atau lebih tepat lagi orang yang tak jumpa-jumpa dan tak tahu mana nak jumpa, sebulan tu teramatlah panjang rasanya. Bila-bila ada kelapangan, dia pasti akan menjengukkan diri ke One Utama dan Carrefour dengan harapan boleh terjumpa lagi dengan orang yang dicari.
Afiq melongo. Dia cepat menangkap maksud Asyraf. “Dalam ramai-ramai orang yang kau jumpa hampir setiap hari, kenapa mesti kau tersuka dekat orang yang kau tak tahu pun siapa.”
“Barulah adventure.” Perlahan Asyraf menjawab, tapi masih sempat telinga Afiq menangkap.
Afiq buat muka. Sempat lagi nak loyar buruk tu. “Terlebih cabaran sampai aku dah tak boleh bezakan kau dengan kura-kura yang adik aku baru bela dekat rumah tu.”
Heh. Ada disamakan aku dengan kura-kura. “Mana aku tahu aku boleh tersuka dekat dia. Macam kau dengan Arianna jugalah. Berbulan kau duk menyakat dia sampai naik fobia dia tiap kali jumpa kau. Kau kata kau tak suka tengok muka tenang dia sebab tu kau seronok sangat menyakat. Alih-alih kau mengaku kau tersuka dekat dia.” Asyraf membela diri.
“Sekurang-kurangnya aku tahu mana nak cari Arianna. Kau yakin ke kau memang terjatuh suka dengan perempuan yang baru pertama kali kau jumpa ni? Entah-entah fling aje kut.”
Asyraf menyandarkan diri di pangkal katil. “Dua kali. Aku jumpa dia dua kali. Kali pertama aku jumpa dia, aku suka sangat tengok muka keanak-anakan dengan muka bosan dia. Kali kedua tu yang buat aku rasa macam aku suka. Aku pernah terfikir juga benda yang kau cakap tu, tapi dengan keadaan aku sekarang, buat aku yakin yang aku memang betul suka. Menyesal aku tak buat muka kayu minta aje terus nombor dia.”
Afiq bangun dan menepuk perlahan lengan Asyraf. Seolah-olah memberi semangat. “Kalau tu jodoh kau, tak ke mana, Asyraf. Nanti-nanti jumpalah tu. Dah. Tak payah fikir sangatlah. Lagipun imej konon-konon misteri tu tak kena langsung dengan kau. Keluar jom.”
Konon-konon misteri? Asyraf ketawa besar. Lega. Itu yang dia rasakan ketika itu. Walaupun masalahnya tetap belum jumpa jawapan yang dia nak dengar, tapi sekurang-kurangnya separuh beban rasa terbuang bila Afiq mendengar. Bercakap dengan Afiq rasanya sama seperti bercakap dengan abang yang dia tak pernah ada.
Afiq bangun dan berjalan ke depan cermin. Mahu merapikan lagi rambut yang dah siap bersikat. Tak lengkap rasanya kalau bersikat tapi tak tengok cermin.
Asyraf akhirnya bangun dan bersiap. Tengah dia sibuk menyelongkar beg mencari topi putihnya yang terperosok di bahagian paling bawah, dia terperasan yang Afiq tengah memandangnya sambil tersengih.
Asyraf angkat kening. “Apa?”
“Nak aku kenalkan kau dengan adik aku tak?” Afiq masih lagi tersengih. Sengaja dia mahu menguji, nak tengok tahap suka Asyraf dengan perempuan misteri tu.
Asyraf seperti tahu apa yang Afiq cuba buat, laju mencapai kasut bolanya yang tersadai tepi beg. “Kau dah teringin sangat nak merasa makan kasut ke?”
Afiq ketawa riang. Memang kes parah namanya budak Asyraf ni. “Adik aku tu peminat kau tau.” Sungguh. Yang ni memang dia tak tipu. Lily tu pantang dapat peluang, memanjang duk memuji Asyraf.
Asyraf campak sebelah kasutnya ke arah Afiq, tapi sempat Afiq elak. “Aku akan pastikan aku akan elakkan diri daripada semua perempuan nama Lily.”
“Sebab Lily tu adik aku ke sebab kau dah jatuh gaung habis-habisan dengan orang yang buat kau serupa kura-kura tu?”
“Dua-dua.” Sebaik sahaja jumpa topi putih yang dicarinya, beg dizip dan terus dia menyarung kasut ke kaki. Tak kuasa lagi mahu melayan Afiq. Makin dilayan, makin banyaklah idea dia mahu menyakat.
“Macam ni hari-hari aku tolong doakan moga kau cepat jumpa dengan dia. Letih dah aku tengok muka toya kau tu.” Afiq senyum nipis.
Amin. Amin. Amin. Cepat Asyraf mengaminkan kata-kata Afiq. Nak aminkan kuat-kuat, nanti seminggu pun belum tentu cukup Afiq buat bahan. Langkah selamat, aminkan senyap-senyap aje.
RIUH. Sejak tadi Afiq, Achong, Ben dan Meen, masing-masing masih sibuk bercerita itu, ini. Badd pula cuma sekal-sekali akan menyampuk. Kadang-kala perbualan mereka akan berselang dengan ketawa. Entah apa yang mereka ceritakan, Asyraf langsung tak ambil pusing.
Dia leka memerhatikan sekeliling. Bukan dia tak mahu ambil port bercerita, tapi malam itu dia cukup blur untuk menyampuk tang mana. Mana taknya kalau dah masing-masing bercakap serentak. Pula tu, dengan cerita yang lain-lain. Entah siapa yang mendengar, dia pun tak pasti.
Setiap kali turun ke Johor Bahru, mereka pasti tak akan melepaskan peluang untuk ke Restoran Singgah Selalu. Restoran yang sentiasa penuh tiap kali mereka berkunjung ke situ. Walaupun dah tengah malam, tapi tempat ni masih ramai. Sebab malam minggu agaknya.
Tengah leka dia memerhatikan keliling, matanya tertacap pada sesusuk tubuh yang agak dikenalinya. Itu bukan mamat yang sama yang dia nampak sebelum ni ke? Matanya beralih pula ke orang disebelahnya. Perempuan. Tapi bukan perempuan yang dia cari-cari.
“Kau pandang siapa yang sampai berkerut muka ni, Asyraf?” Tegur Achong yang terperasankan air muka Asyraf yang berubah.
Achong menoleh ke arah yang sama. Lelaki. “Kawan?” Soal Achong lagi walaupun soalan pertamanya pun masih belum berjawab.
“Tak kenal. Tapi aku ingat muka dia.”
Achong kerut dahi. Tak faham. Aku yang perlahan ke memang Asyraf ni makin luar alam spesis jawapan dia sekarang?
Mata Asyraf masih terpaku tepat ke arah lelaki tadi. Achong pun sama. Kemudian Meen dan Badd pula menoleh.
Afiq yang akhirnya turut sama menoleh menyampuk. “Eh, tu sepupu aku tu.”
Asyraf menoleh laju. “Siapa?”
“Yol.” Afiq memanggil. Suara sedikit tinggi. Mahu melawan bunyi bising keliling. Mujur meja mereka pun cuma selang tiga meja jaraknya.
Asyraf menoleh balik ke arah lelaki tadi yang kini sudah bangun dan menuju ke arah mereka. Sepupu Afiq? Betullah dunia ni memang tak besar mana pun.
“Wah, satu skuad ada dekat sini. Tahniahlah, menang tadi.” Amirul menyapa sambil bersalam dengan semua.
“Kau datang tengok ke game tadi?” Soal Afiq sambil menarik kerusi di meja belakang, mengajak Amirul untuk duduk dengan mereka sebentar.
Amirul geleng. “Tak sempatlah, bro. Aku ni pun baru habis jumpa dengan contractor kejap tadi. Aku tahu pun sebab Lily yang tak menyempat, habis game terus telefon.”
“Minat tengok Liga M jugalah ni?” Meen bertanya, berbahasa. Maklumlah, dekat Malaysia ni bukan semua orang yang layan bola akan layan Liga Malaysia. Selalunya kalau berjaga sampai tengah pagi pun mesti sebab melayan EPL.
“Kalau kau orang nak tahu, budak ni sejak sekolah rendah lagi dah jadi penyokong setia kelab kita tau. Pantang esok tak sekolah, memang muka ni lah yang duk bertapa dekat Stadium Shah Alam tu bila ada perlawanan.” Afiq terlebih baik hati tolong menjawab.
Amirul tersenyum nipis. Budaklah sangat. Padahal masing-masing umur sebaya agaknya. Baru duduk tak sampai seminit, Amirul dah minta diri. “Eh, gerak dululah. Lagipun nak kena hantar kawan balik lagi tu.” Amirul bangun dan mengucapkan selamat sebelum berlalu.
Asyraf yang masih terpinga-pinga sejak tadi akhirnya bersuara. “Sepupu kau tu dah kahwin ke?”
“Kenapa? Berminat?”
Asyraf buat muka. Sungguh, tak membantu langsung. Tangan dah mengacu penumbuk, mengacah-acah seperti tunggu masa aje untuk dilayangkan. Yang lain pula dah gelak-gelak melihat telatah mereka berdua yang tak sudah-sudah nak cari pasal antara satu sama lain.
0 comments:
Post a Comment