Wednesday, May 1, 2013

Bab 9 : Aku, Dia dan Sampai Tua

Posted by ai at 8:39 PM

BLACKBERRY PUTIH yang sejak tadi sepi bersandar di tepi fail bertingkat berlagu-lagu minta diangkat. Lily yang leka menyiapkan kertas kerja berhenti seketika. Tangan dah capai BlackBerry, nombor yang dia tak pernah tengok. Siapa?

Lily berdehem sebelum menekan butang hijau. Kemudian dia memberi salam.

“Adindaku Lily Nadya Muhammad Farid, sudikah kiranya dinda menemani kanda lunch sekarang?”

Lily mengerut dahi. Suara lelaki. Siapa pula yang yang gian nak main wayang dengan dia ni? Siap berkanda, dinda bagai. Dah tak ada salam tak ada apa. Nak teka, tapi suara pun dia tak dapat nak cam siapa. Nak kata salah nombor, nama dia disebut betul. Nama penuh siap dengan nama ayah sekali. Katalah nombor dia kena jual.

Sorry, siapa ni ya?” Lily menjeling jam di tangan. Satu suku. Memang masa rehat pun.

Lily duduk bersandar. Mata dah terpejam-pejam. Penat. Lepas isi perut dengan biskut tiga keping masa sarapan, dia tak berhenti menghadap komputer. Kalau pergi check kuasa kanta, ada harapan naik ni.

“Dya, takkan tak ingat dekat saya lagi?” Suara kedengaran jauh.

Sungguh memang dia tak tahu. Dya? Selama ni mana ada sesiapa yang panggil dia Dya. “Saudara, awak ni salah nombor kut.” Suaranya ditekan sedikit.

Suara dihujung talian akhirnya ketawa. Kuat. “Lily Nadya, aku lah ni. Iman. Takkan kau kenal langsung suara aku?”

Lily berdecit. Bikin suspen je. “Aku cepuk karang. Mana kau dapat nombor aku ni?”

“Yol lah. Kau dah makan tengah hari ke belum? Ke diet. Lunch sama jom. Aku belanja.”

“Kau dekat mana ni? Tak ada angin tak ada ribut, tiba-tiba pelawa nak belanja.”

“Aku ada kerja sikit tadi dekat Seksyen 2 tadi. Teringat Yol pernah kata kau kerja dekat Shah Alam ni. Nak tak? Ke kau dah makan?”

Dengar orang nak belanja, perut yang tak lapar pun jadi lapar. Inikan pula dia yang memang sejak pagi belum isi perut dengan makanan berat. Lagipun, tak elok tolak rezeki, kan?

“Bolehlah. Tapi kau kena datang ambil aku dekat pejabat. Boleh?”

“Cun. Kejap lagi aku sampai. Eh, kejap. Sebelum aku terlupa, tadi Yol suruh aku pesan dekat kau. Katanya, sudah-sudahlah menghadap komputer tu. Kesianlah dekat perut tu.” Iman ketawa dan terus mematikan talian.

Lily ketawa seorang. Sengal. Lily capai kertas kuning dan dia tinggalkan nota pada Aida, teman sepejabatnya. Takut-takut kalau dia terbabas karang, termasuk pejabat lambat.





“KAU MEMANG selalu tak makan banyak ke kau takut aku tak mampu nak bayar?”

Lily buat muka. Malas mahu menjawab. Dia bukanlah jenis yang makan bersekat kerana mahu menjaga badan. Sebenarnya, perutnya dah terasa macam dah masuk angin. Kembung perut pun ya. Beberapa suap yang awal saja yang laju masuk ke mulut. Selepas tu, semuanya dia tolak dengan air.

“Iman. Kau keluar berdua dengan aku ni tak ada siapa marah ke?”

Iman ketawa. “Kau ada pengalaman kena hambat ke?”

“Aku ada fobia.”

Iman ketawa. Kuat.

Lily mencebik. Bukan sekali, dah dua, tiga kali rasanya. Itupun dengan perempuan yang lain-lain. Semuanya gara-gara Yol yang selalu gunakan dia sebagai ‘perisai’ untuk dia menyelamatkan diri. Sudahnya dia yang jadi mangsa.

“Bukan setakat pengalaman. Aku dah capai tahap trauma. Kalau balik ni aku kena serang, aku tuntut ganti rugi dekat kau.”

“Baik, Cik Lily Nadya.” Iman sengih. “Eh, petang ni nak join semua turun Padang S.U.K tengok latihan? Apai, Em, dengan yang lain-lain semua turun.” Iman beria mengajak.

Em pun ada? “Em tu bukan sekolah lagi ke? Duduk asrama, kan?”

“Matrikulasi. Budak tu dah habis periksa pun. Tengah bersuka-ria sementara tunggu keputusan.”

Oh. Patutlah. Maknanya memang semua ada lah macam tu. Kejap. Iman ni tak kerja ke petang ni? “Kau kerja dekat mana sebenarnya ni, Iman? Sempat ke nak merentas desa turun Shah Alam balik petang karang?”

“Bangsar. Tapi, lepas ni aku dah tak masuk pejabat. Malas.”

Suka-suka hati dia aje bila nak ponteng. Iman ni kerja dengan syarikat ayah dia sendiri kut. Lagipun benda tu tak mustahil sebab Iman memang nampak loaded. Siapa yang baru kerja tak sampai setahun dah melaram dengan BMW 3 Siri. Setakat kerja makan gaji dengan gaji tak seberapa, kerjalah dua puluh tahun pun, belum tentu mampu nak beli. Eh, tak. Beli tu mungkin mampu, tapi lagi baiklah duit tu dihabiskan pada benda yang lagi penting.

Lily menyedut jus orennya yang masih berbaki. Dalam kepala tengah berkira-kira tentang kerja yang masih bertambun di atas mejanya. Tapi lepak petang-petang dengan budak-budak ni pun seronok juga.

“Ala, tak payah fikir panjanglah. Kerja tu sampai bila-bila pun takkan habis. Lagipun dah lama tak berkumpul ramai-ramai.”

“Tapi..”

“Tapi, lagi?” Iman potong laju sambil angkat-angkat kening.

“Hari ni Along aku jemput baliklah. Aku tak bawa kereta hari ni.”

Iman geleng kepala. “Manja sungguh. Okey. Macam ni lah. Petang karang habis aje kerja, aku jemput kau. Balik, kau balik ajelah dengan abang kau. Kalau tak pun, balik dengan Yol. Petang ni pun dia kata nak ikut sekali.” Iman tolong merancang. Dan bila dia melihat Lily seperti mahu menambah lagi, dia dah memotong dulu. “Kalau lepas ni kau nak kata kerja kau banyak tak siap, nak suruh aku tolong buatkan sekali pun boleh.”

Lily ketawa. “Fine. Aku ikut. Karang kalau aku kata tak boleh lagi, mesti aku kena fire dengan mata laser kau tu.”





MASING-MASING masih belum puas mengusik. Soalan pun panjang berjela. Semuanya gara-gara Lily yang muncul berdua dengan Iman. Lagi nak dijadikan cerita, masa mereka berdua sampai, kebetulan Ilham pun memang baru sampai dan kereta mereka hanya berselang tiga petak.

Sekarang ni, masing-masing tengah sibuk buat spekulasi. Spekulasi pun semua mesti nak gaya scandalous aje. Cuma Amirul yang sengih tak menokok tambah, tapi tak juga membantu.

“Wei. Sudah-sudahlah tu. Korang ni datang nak tengok orang main bola ke nak bergosip.” Tangan kiri Lily dah pegang tangan kanannya, menahan diri rasa macam nak ketuk aje kepala seorang-seorang.

“Bukan selalu masa-masa macam ni pak cik ais krim dah sampai ke?” Amirul akhirnya menyampuk. Sengaja dia mengalih topik.

Padi yang memang sejak tadi tak banyak bercakap ketawa. “Ooo. Backing adik nampak.”

Amirul sengih. “Aku nak selamatkan korang sebenarnya. Karang kalau tiba-tiba ada kasut melayang, sungguh memang aku pun dah tak boleh nak tolong.”

Habis Amirul bercakap, laju tangan Lily melibas belakang badannya dengan beg tangan. “Cehhhhh.” Tu bukan backing namanya kalau masih sempat nak mengena.

Semua pakat bantai gelak. Amirul menggeliat ke kiri kanan dek kerana sengal yang terasa. Lily buat muka tak bersalah.

“Lepas ni siapa tamau percaya benda yang aku cakap, jangan harap aku nak tolong aturkan sesi bergambar dengan Afiq.” Nada cakapnya sengaja dilembutkan dan muka dan menayang senyuman manis. Tapi ayat berbaur ugutan. Sengaja main psiko.

Lepas tu apa lagi. Mencicit seorang demi seorang mengipas Lily. Cuma Amirul dengan Iman yang ketawa sambil menggeleng kepala melihatkan telatah masing-masing. Semua perangai tak ubah macam budak-budak tak cukup umur.

Kata nak tengok pemain buat latihan, sudahnya masing-masing sibuk bercerita. Semua sibuk dengan hal sendiri kebelakangan ni. Dan bila terdengar bunyi loceng dari motor pak cik ais krim, mencicit semua berlari. Betul macam orang tak pernah jumpa ais krim.

“Kejap. Baru perasan hari ni hero Lily yang seorang tu tak nampak bayang dia pun.” Em memandang Lily yang masih leka menghabiskan ais krim di tangan.

“Aah lah. Baru perasan. Patut rasa macam ada benda kurang. Selalunya si Lily ni mesti dah macam murai tercabut ekor kalau nampak Asyraf tu.” Apai pula menambah.

Lily mengerut dahi. Tiba-tiba ada rasa hairan yang terbit, tapi bukan topik Asyraf tak ada yang dia tengah fikirkan. Sejak bila budak-budak ni semua dah pandai panggil dia Lily?

“Sejak bila korang semua dah pandai ber-Lily ni? Dah tak nak panggil Nad dah?”

Semua pakat geleng ramai-ramai. “Kitorang dah bermesyuarat dan dah bersebulat suara yang sekarang ni kitorang akan panggil kau Lily. Macam comel aje kalau panggil Lily.” Padi selamba menutur.

Lily ketawa. Ada-ada aje budak-budak ni lah kan. Muka Lily dah sedikit merah. Malu. “Ye lah. Habis latihan kejap lagi, aku akan pastikan semua dapat bergambar dengan Afiq tu.”

“Ni yang sayang Kak Lily lebih ni.” Em menutur manja.

Pecah ketawa semua.

Lily menjeling sambil tersenyum. “Masa ni lah kau teringin nak panggil kakak kan. Selama ni bedal nama aje walaupun umur beza separuh dekad.”

“Aku curious. Punya lama Afiq tu main dengan Kelab SR, takkan sekali pun kau tak pernah nak berkenalan dengan pemain-pemain lain?” Soal Apai pada Lily. Dia pernah bertanya soalan yang sama dengan Amirul dan dia antara nak dengan tak nak percaya je bila peminat tegar macam Amirul boleh jawab tak. Kabel dia besar kut.

Amirul ketawa. “Ni kes tak nak percaya cakap aku lah ni.”

Lily geleng. “Tak pernah. Lagipun kalau aku buat permintaan macam tu pun confirm awal-awal proposal kena tolak dengan Afiq.”

“Kenapa?” Tanya Iman pula.

“Dengar cerita Afiq sorok adik. Kiranya diorang ni semua tak ada siapa pun yang tahu siapa adik Afiq.” Jelas Amirul bila Lily cuma jongket bahu sebagai jawapan.

Padi angkat kening. “Mana kau tau?”

“Aku ada sumber.” Amirul buat muka berlagak.

Amirul dan Lily sama-sama ketawa bila yang tengok yang lain dah buat muka tak puas hati.

0 comments:

Post a Comment

 

Penakut. Copyright © 2012 Design by Antonia Sundrani Vinte e poucos