KEJAP DIA bergolek ke kiri. Penat berbaring ke sisi kiri, dia berpusing pula ke kanan. Bergolek lagi. Tak sampai lima minit, dia baring menelentang pula.
Farah yang sejak tadi memerhati menggeleng melihat telatah adiknya yang seorang ni. Fifi yang tengah tidur tu pun tak ada nak bergolek ke kiri kanan. Nyaman aje dekat atas lembek dia.
“Adik, cuti-cuti ni tak berjalan ke? Pergilah keluar dengan girlfriend ke.” Penat memerhati, akhirnya Farah bersuara. Tak larat dah nak tengok Asyraf bergolek-golek keliling ruang tamu rumahnya.
“Kakak ni nak halau Asyraf apa? Asyraf mana ada girlfriend.” Asyraf menjawab dengan suara kelam timbul dek kerana mukanya yang bertekup dengan bantal.
Farah ketawa. “Kalau kakak nak halau Asyraf, masa Asyraf muncul depan rumah tadi dah kakak tak bagi masuk terus. Kakak pelik aje kenapa tiba-tiba datang.”
“Asyraf rindu dekat Fifi.”
Farah senyum nipis. Rindu dekat Fifi konon. Siapa nak percaya? “Itulah. Dulu lagi kakak dah suruh kahwin cepat-cepat. Tak nak. Peminat yang ramai-ramai tu, pilihlah sorang buat jadi menantu mama dengan ayah.”
“Kakak, please.” Tolonglah jangan buka cerita pasal kahwin lagi.
Farah menggeleng. Budak ni pantang betul kalau dah buka isu kahwin. “Petang karang tolong kakak bawak Fifi pergi main dekat Tasik Titiwangsa tu.”
“Jauhnya. Asyraf penat.” Asyraf memberi alasan.
“Jauh apanya. Sepuluh minit aje dari rumah kakak ni. Kakak tak kira. Kata rindu, kan.”
Asyraf akhirnya duduk bersila. Bantal peluknya diletakkan di atas riba. “Okeylah. Tapi dengan syarat, kakak kena belanja minum petang kitorang.”
“Kedekut. Duit berkepuk tu nak buat apa?” Farah buat muka.
“Asyraf simpan buat nak kahwin.” Dia menjawab selamba.
Farah mengangkat kening. Menarik. Tadi dia yang merengek suruh tutup cerita kahwin. Ni dia yang buka cerita sendiri. “Calon dah adalah ni maknanya.”
Asyraf mengangguk dua, tiga kali.
“Bawalah balik jumpa mak, ayah. Nak bawa jumpa kakak dulu pun boleh.”
“Masalahnya, Asyraf pun tak tahu mana nak cari dia. Macam mana nak bawa balik.”
Farah buat muka pelik. “Tak faham.”
“Nantilah baru Asyraf cerita.” Asyraf menutur malas dan kembali berbaring. Kali ni sengaja dia baring di sebelah Fifi. Sesekali gatal tangannya mencubit pipi gebu Fifi yang masih lena.
Farah menahan geram. Sabar ajelah dengan perangai budak ni. Bercerita separuh jalan. Lepas tu lain yang disuruh, lain yang dibuat. Karang kalau Fifi tu bangun meraung-raung, memang aku suruh aje Asyraf dodoi balik.
BERLARI-LARI Asyraf mengejar Fifi yang sibuk ke sana, ke sini sekeliling tasik. Fifi yang memang gemar berlari, makin ligat bila dah sampai di Tasik Titiwangsa. Bila nampak pengawal dengan kuda pun mencicit dia berlari mahu melihat.
Asyraf yang kerjanya hari-hari berlari di padang pun boleh semput mengejar Fifi. Akhirnya dia angkat dan didukungnya anak buah kesayangannya itu. Tak mahu Fifi berlari lagi.
“Pak Su penatlah, Fifi. Kita duduk kejap sambil makan ais krim nak?” Kalau ajak duduk semata-mata mesti seminit dua aje boleh tahan. Jadi sengaja dia umpan dengan ais krim.
Fifi bertepuk tangan. Gembira. “Fifi.. Fifi nak yang oren. Tapi kan Pak Su, kalau mama ada mesti mama tak bagi Fifi makan ais krim.”
“Kalau Fifi tak bagitau, mama tak tau. Ni rahsia kita tau.” Asyraf kenyit mata sambil senyum jahat. Kalau Kak Farah tahu, memang masaklah dia kena rebus hidup-hidup.
Asyraf dan Fifi kait jari kelingking masing-masing. Tanda rahsia selamat antara mereka. Tengah dia menungg ais krim yang dipilih, terasa nadi jantungnya terlangkah satu detik bila terpandangkan satu figura yang dah puas dia cari.
“Tiga ringgit.” Suara pak cik ais krim langsung menarik dia untuk kembali menjejak tanah.
“Tambah lagi satu, bang.” Asyraf mengelurkan duit lebih dan terus bayar.
“Pak Su, kenapa beli tiga?” Tanya Fifi sambil menyambut huluran ais krim yang Asyraf sudah bukakan plastiknya.
“Satu lagi untuk Mak Su.” Senyuman di bibir makin lebar. Dengan sebelah tangan memimpin Fifi, Asyraf menarik Fifi untuk mengikut langkahnya.
Bila mereka dah berdiri betul-betul di sebelah gadis yang dia nampak tadi, dengan selamba dia duduk bersila di sebelah. Fifi didudukkan di atas ribanya. Hampir ketawa dia bila melihatkan rupa gadis itu yang terkejut sebab tiba-tiba ada orang duduk dekat betul dengannya.
“Orang kata ais krim boleh buat orang gembira. Nah. Saya belanja awak satu.” Tangan menghulur satu daripada ais krimnya.
Gadis itu memandangnya dengan ragu-ragu. Tanda-tanda yang dia akan ambil ais krim yang dihulur Asyraf langsung tak ada.
“Saya tak sempat nak letak ubat pengasih pun kalau itu yang awak risaukan.” Asyraf mengusik lagi.
Mencebik gadis di sebelahnya. Tapi kali ni ais krim di tangan Asyraf diambil. “Terima kasih.”
Dia memerhatikan gadis itu mengoyak plastik ais krim dengan berhati-hati. Kemas koyakan di bahagian atas plastik itu walaupun akhirnya plastik tu mesti nak dibuang juga. Memang jenis yang buat kerja mesti nak teliti aje agaknya.
Asyraf mengoyak plastik ais krim dia pula. Kemudian cepat-cepat dia mula makan ais krim yang mula menampakkan tanda akan cair. Senyuman di bibir masih belum hilang. Masih teruja mengenangkan rezekinya untuk berjumpa dengan apa yang dicari.
“Ada orang kata tak elok senyum sorang-sorang.” Gadis disebelahnya menegur.
Asyraf ketawa. Tahu yang diri dah terkena. “Mana ada saya senyum sorang-sorang. Saya tengah sedekahkan senyum untuk awak.”
Asyraf ketawa lagi bila orang di sebelah selamba hadiahkan cebikan untuk dia.
“Awak buat apa dekat sini?” Asyraf bertanya. Sekadar berbahasa. Nak kata jogging, tengah berbaju kurung. Masa dia nampak tadi pun, dia agak yakin yang dia ni tengah termenung.
“Saja jalan-jalan ambil angin. Dah lama tak datang sini. Kira rezeki saya lah datang sini hari ni. Ada orang belanja ais krim.” Dia tersenyum nipis.
“Siapa kata saya belanja?” Asyraf menyakat.
Nyaris tersedak gadis disebelahnya. Kemudian dia menjeling. Tangan dah menyeluk beg mencari beg duit. “Berapa saya kena balik dekat awak ni, Encik Khyril Asyraf?”
Giliran Asyraf pula untuk nyaris tersedak. “Awak kenal saya?” Masa pertama kali jumpa dulu tak ada pula gaya yang dia memang dikenali. Logiknya, bukan semua orang layan bola kan. Tambah-tambah, bola tempatan. Dan tambah-tambah-tambah lagi pula perempuan.
Gadis itu angkat bahu. “Pemain bola Kelab SR. Jersi nombor 23. Mula dengan Skuad Piala Presiden SR. Tak pernah sekali pun bertukar ke kelab atau negeri lain.”
“Hebat. Awak stalk saya, ek?” Dia mengusik lagi.
“Tak kuasa saya. Saya membesar dengan tengok dan sokong Merah Hitam. Kalau awak bukan pemain SR, belum tentu saya tau awak siapa.” Gadis itu menjawab tanpa nada. “Cepatlah, berapa saya nak kena bayar ni.”
Asyraf senyum lagi. “Saya tak kata nak duit.”
“Dah tu?” Nada suara dah naik seoktaf.
“Nama. Saya nak nama dengan nombor telefon awak.”
Bulat mata gadis disebelahnya. “Kenapa saya kena bagi nama dengan nombor saya dekat awak?”
“Sebab awak dah makan separuh ais krim yang saya bagi tu.”
Dia mencebik. “Tak aci lah macam ni. Kalau macam tu saya belikan awak ais krim ni satu lagi.”
“Kalau saya tak nak, kira awak masih hutang saya, kan?” Asyraf ketawa bila melihat gadis itu menarik muncung.
“Lily. Nama saya Lily. Dan saya tak ada handphone. Saya pakai public phone aje.” Bohong yang nyata. Sebab terang-terang dia tengah pegang telefon.
Makin kuat Asyraf ketawa sehingga Fifi yang tengah leka makan ais krim pun menoleh. Hairan agaknya melihat Pak Su dia yang ketawa kuat. Beberapa mata keliling mereka juga menoleh sekali.
“Awak. Buah hati saya ni pun tahu yang menipu tu berdosa.” Asyraf menjawab sambil jari menunjuk pada Fifi, buah hati kecilnya.
“Kenapa saya nak kena bagi nombor saya dekat awak. Buatnya awak jual nombor saya..” Lily mencari alasan lagi.
“Cik Lily, awak pun tau kerja saya main bola. Bola sebijik pun saya tak pernah jual. Takkan saya nak jual nombor awak.”
Lily buat muka. Bab menjawab laju aje. “0129876543. Saya sebut sekali aje nombor saya.” Sengaja dia menyebut nombornya laju-laju.
Asyraf meletakkan batang ais krim di atas plastik sampahnya dan mengeluarkan BlackBerry hitam dari dalam poket seluar treknya. Kemudian dia menekan nombor yang disebut Lily tadi. “0129876543.” Bila dia melihat muka Lily yang sedikit melopong dia menyambung, “Saya paling senang nak ingat nombor kalau orang comel macam awak yang sebut.” Dia mengenyitkan mata.
Tona muka Lily berubah, menjadi sedikit kemerahan. Segan diusik sebegitu. Dia sekadar memerhati bila telefon ditangannya berbunyi. Kalaupun dia nak save nombor tu pun, sumpah dia tak akan buat di depan lelaki itu.
Bila nombor yang didial memang confirm milik gadis itu, terus dia save dalam contacts. Dia bukan jenis yang tidak belajar. Teringat kes Hadi yang kena tipu hidup-hidup dapat nombor tipu dulu.
“Nanti saya telefon awak selalu, ek.”
Lily jongket bahu. “Suka hati awak. Tapi saya belum tentu angkat.”
Asyraf ketawa. Boleh tahan kaki menjawab dia ni. “Cubalah. Saya dial sampai awak jemu dengar bunyi telefon.”
Lily buat-buat tak dengar. Pandangannya kemudian dialihkan pada si kecik diriba Asyraf. Kemudian dia membuka begnya untuk mencari tisu. Laju tangannya mengesat lembut keliling mulut si kecik yang comot dengan ais krim.
“Awak suka budak, ek?” Tanya Asyraf yang senang melihat tindak-laku Lily sejak tadi.
“Nama siapa?” Tanya Lily mesra pada si kecik tanpa mempedulikan soalan Asyraf. Geram yang tadi masih bersisa.
“Fifi Nurshahila.” Fifi menjawab manja. Kemudian dia menoleh pada Asyraf. “Ni kawan Pak Su ke?”
“Ni lah Mak Su Fifi.” Selamba Asyraf menjawab. Kemudian dia gelak sendiri. Kalau lepas ni ada kasut yang melayang pun dia macam dah boleh agak.
“Ooo. Ni makwe Pak Su, eh.” Fifi bertepuk tangan.
Lily buat muka. Ada juga yang kena baling dengan kasut ni karang. Suka-suka hati dia aje menipu budak. Lily nak membetulkan, tapi dia sendiri terasa kelu lidah. Nak kata kawan, bukan kawan. Makwe bak kata Fifi lagilah bukan. Sudahnya dia cuma senyap. Sesekali tangannya mencubit lembut pipi gebu Fifi. Comel.
Lily mengerling jam pada BlackBerry putihnya. Enam suku. Tiba-tiba dia teringat yang dia kena ambil Akif di Setiawangsa. Sebabnya dia pinjam pakai kereta Akif sekarang ni bila keretanya masuk bengkel untuk diservis. BlackBerry terus dicampak ke dalam beg. Lollipop yang kebetulan ada di dalam begnya dikeluarkan.
“Saya kena gerak dulu.” Sebelum dia bangun sempat dia mengusap lembut pipi Fifi. Lollipop dihulurkan pada Fifi. “Bye, Fifi.”
Fifi menyambutnya dengan gembira. “Terima kasih, Mak Su.”
Asyraf apa lagi. Gelak sakanlah dia bila mendengar Fifi yang membahasakan Lily sebagai Mak Su.
Lily melambai pada Fifi tanpa sedikit pun menoleh pada Asyraf. Cisss. Baik punya terkena hari ni.
“Awak. Jangan lupa angkat telefon tau. Kalau awak tak angkat, saya tak kisah kalau kena dial seratus kali pun.” Asyraf mengingatkan.
Dan dia ketawa lagi bila Lily menjelingnya tajam dan terus berlalu tanpa berkata apa-apa. Sungguh, dah lama rasanya dia tak gelak segembira ni dalam sebulan dua ni.
0 comments:
Post a Comment