Thursday, May 2, 2013

Bab 11 : Aku, Dia dan Sampai Tua

Posted by ai at 12:24 AM

RIUH SUARA Akif melaung memanggil Lily dari ruang tamu tingkat atas rumah mereka. Letih dia mendengar bunyi BlackBerry Lily yang tak berhenti-henti berbunyi sejak seminggu, dua ni. Dia nak sambung buat kerja pun tak terasa nyaman.

“Adik, Along panggil tu.” Afiq mencuit-cuit bahu Lily yang langsung buat tak peduli. Mata masih terpaku depan TV.

Lily menghentak-hentak kakinya gaya budak lima tahun tak dapat gula-gula. “Tertekannya, Lily.” Kemudian dia bangun dan naik ke tingkat atas.

“Adik lari hutang ceti haram ke apa? Along tengok sekarang telefon tu asyik berbunyi aje. Lepas tu adik pun bukan nak angkat.” Akif membebel dulu bila kelibat Lily muncul dekat tangga.

Lily buat tak endah dengan Akif dan terus berlalu ke dalam bilik. BlackBerry dicapai. “Nak apa?”

Suara dihujung talian ketawa. “Assalammualaikum.”

Lily menjawab perlahan salam yang diberi dalam hati. “Awak tak penat ke dial nombor saya pagi, tengah hari, malam, tiap-tiap hari? Saya penatlah baca nama awak muncul dekat skrin telefon saya ni.”

“Saya dah simpan dalam speed dial nombor awak. Lagipun dia memang auto redial kalau awak tak angkat. Kalau awak angkat selalu, mesti awak tak penat tengok nama saya muncul dekat skrin telefon awak tu.”

Lily mencebik. Mamat sorang ni memang tak boleh kalau tak menjawab. Satu yang ditanya, dua, tiga yang dijawab. “Ada apa?”

“Nak ajak awak keluar.”

“Saya tak keluar dengan orang yang saya tak kenal.”

“Nama saya Khyril Asyraf Khyril Asyman. Lahir 23 Julai 1987. Tempat lahir Shah Alam, Selangor. Gadis idaman saya macam awak. Saya suka..”

Lily cepat-cepat memotong bila Asyraf dah mula melalut entah ke mana. “Okey. Dah. Cukuplah tu, Asyraf. Sebelum awak membebel benda yang bukan-bukan lagi, saya ada soalan nak tanya. Awak memang selalu macam ni, ek?”

“Macam ni, macam mana?”

“Kalau bercakap tak reti nak berhenti. Kalau dah kata nak buat satu benda tu, awak akan buat sampai awak dapat apa yang awak nak.” Terang Lily. Bila dia terperasankan pintu biliknya yang sedikit luas terbuka dan Akif tengah memandangnya dengan pandangan pelik, perlahan dia menutup pintu biliknya.

“Ayat mula-mula tu betul. Ayat kedua tu separuh betul.”

Dahi Lily berkerut selapis. “Maksud awak?”

“Selamba anak badak minta nombor perempuan yang tak kenal. Lepas tu hari-hari berperang dengan masa untuk telefon awak, berharap awak akan angkat walaupun saya tahu kalau awak angkat pun mesti dengan nada geram. Benda ni semua pertama kali saya buat dalam hidup saya.”

Lily mengeluh perlahan. “Berapa ramai yang pernah kena gula dengan awak?”

Asyraf ketawa. Ketawa yang jelas bunyi dibuat-buat. Tapi cuma sekejap. “Saya tak main-main. Saya betul ikhlas nak kenal dengan awak.” Serius suara Asyraf.

“Kenapa saya?”

“Sebab awak Mak Su buah hati saya.”

Kalau tak diingatkan diri yang dia bukan duduk seorang dalam rumah ni, dah lama dia menjerit sebab geram. Lelaki yang seorang ni entah spesis apa lah. Determination dia sangat menjengkelkan.

“Kalau awak boleh janji takkan telefon saya langsung sampai hujung minggu ni, mungkin hari Ahad saya boleh pertimbangkan untuk keluar dengan awak. Kalau awak telefon juga, saya tukar nombor telefon.” Akhirnya Lily memutus, separa mengugut. Kemudian talian terus dimatikan dan BlackBerry putihnya terus dia campak atas katil.

Lily berjalan ke pintu, nak keluar dari bilik. Nak sambung tengok drama sambung-sambung tiap hari Selasa dekat TV 3 tu. Bila tarik aje pintu, terkejut Lily dibuat dek abang-abangnya yang tengah berdiri terpacak depan pintu biliknya. Ni mesti kes nak curi dengar perbualan orang. Dua-dua menarik sengih.

“Adik dah ada boyfriend ek, dik.” Akif bertanya sambil serkap jarang.

“Angah baru ingat nak kenalkan adik dengan Asyraf tu.” Afiq pula menyambung.

“Along dengan Angah ni!” Lily merengus. Kemudian dia terus turun ke bawah dengan kaki yang sengaja dihentak-hentakkan.

Heh. Sumpah dia tak pernah sangka yang Khyril Asyraf tu orangnya macam tu. Muka memanglah masuk dalam kategori citarasa yang dia suka. Suara pun macho. Sangat deep, okey. Tapi bila bercakap, tak reti berhenti. Loyar buruk pun dia. Kalau tak diberhentikan, ada juga yang terkorban jiwa.





AIDA LETAK secawan teh panas atas meja Lily yang tengah membalas e-mail yang diterima. BlackBerry Lily di atas meja dipegang.

Lily menoleh seketika. “Tiba-tiba baik hati ni kenapa? Aku tak pesan pun teh panas.” Selalunya bukan main banyak idea Aida nak menjawab untuk tak mahu tolong dia buatkan air.

“Bukan aku. Tu, Mr. P yang suruh aku bagi dekat kau masa aku jumpa dia dekat pantry tadi.”

Lily angkat kening. Tiba-tiba baik dengan aku kenapa? Selalunya moody aje senior dia yang seorang tu. “Dia ada letak apa-apa ke dalam air ni?” Tanya Lily dengan muka ragu-ragu.

“Aah. Dia letak ubat pengasih dalam air kau tu.”

Lily melongo. “Gila kau. Mr. P tu anak dah lima kut.”

Spontan Aida ketawa. “Yang kau ni lurus sangat hari ni kenapa?” Aida menggeleng. “Tak ada lah. Mr. P suruh kau ganti tempat dia pergi site kejap lagi. Dia tiba-tiba ada presentation dengan client kejap lagi.”

“Pukul berapa kena turun site tu?” Mata Lily dah kembali menghadap skrin komputer.

“Tiga.”

“Tiga?” Lily membelek jadualnya dalam organizer merah hati di tepi meja. Nasib tak clash dengan apa-apa. Dia ingin menyambung kerja, tapi kembali tertangguh bila Aida masih berdiri terpacak di tepi mejanya dengan telefonnya di tangan. “Yang kau ni kenapa pulak?”

“Aku pelik sebab hari ni beri hitam kau senyap. Selalunya macam tak ada esok dia bunyi. Peminat kau dah angkat bendera putih ke?” Tangan menggoyang-goyangkan BlackBerry putih milik Lily.

Lily sengih. “Satu. Dia bukan peminat. Aku pun tak tau nak panggil dia apa. Dua. Aku ada lah cara aku nak buat Encik Vuvuzela tu senyap.”

Aida ketawa. “Encik Vuvuzela kau panggil dia?”

Lily mengangguk lurus. “Sebab dia bising sangat. Kalau bercakap tak reti berhenti. Bising pulak tu. Kan macam vuvuzela.”

“Siapa Encik Vuvuzela ni?” Aida dah menyoal gaya polis pencen. Lepas satu, satu soalan yang ditanya.

Lily mencebik. “Mana boleh bagitau.” Takkan dia nak bagitahu yang Encik Vuvuzela tu sebenarnya Khyril Asyraf tu. Lagipun ada ke orang nak percaya kalau dia kata Asyraf tu orangnya yang beberapa hari ni duduk buat bising dalam hidup dia?

“Oo. Kalau tak boleh bagitau maknanya ada harapanlah aku kenal orangnya, kan?” Teka Aida bila Lily mengelak daripada menjawab soalannya.

“Aku rasa kalau aku sebut nama dia, ramai juga dalam Malaysia ni yang kenal dia.”

Aida buat muka. “Heh. Ayat mesti nak propaganza aje. Dah lah. Malas aku nak tanya lagi.” Aida letak BlackBerry Lily atas meja semula dan kembali ke kubikelnya untuk menyambung kerja.

Lily ketawa. Konon-konon merajuklah tu. Dia menggeleng perlahan. Tapi betulkan? Dia memang tak tipu bila dia kata kalau dia sebut nama yang satu tu, mesti ada aje orang dalam Malaysia ni yang kenal dia. Dah kata pun dia tu bekas pemain kebangsaan. Lepas selalu cedera ni aje nama dia selalu tercicir daripada tersenarai dalam skuad kebangsaan.

Sejam berlalu dan Lily rasa nak beku menghadap skrin komputer. Dia berhenti seketika untuk meregangkan mana yang terasa kejang. Teh panas yang dihantar Aida tadi pun dah selamat masuk ke perut semuanya.

Lily bangun dan menuju ke pantry bersama-sama dengan cawan kotor di tangan. Siap basuh, dia bancuh secawan kopi panas terus berjalan laju ke kubikel Aida. Cawan diletak atas meja.

Aida yang tengah leka dengan dokumen tender berhenti sekejap bila perasan yang Lily ada disebelah. Keningnya terangkat tinggi bila melihat kopi kegemarannya ada atas meja.

“Nama dia Khyril Asyraf.”

“Apa?” Aida tanya semula. Blur.

“Nama Encik Vuvuzela tu Khyril Asyraf.”

“Khyril Asyraf tu siapa?”

Lily terus rasa macam nak sepak kerusi Aida. “Lupakanlah.” Jawab Lily tanpa nada dan dia kembali ke kubikelnya. Usaha yang sia-sia. Macam mana dia boleh terlupa yang Aida tu memang tak minat bola dan tak kenal walau seorang pun pemain bola kat Malaysia ni? Huh. Memang sia-sia.

0 comments:

Post a Comment

 

Penakut. Copyright © 2012 Design by Antonia Sundrani Vinte e poucos