“DIA KATA YA. Dia kata ya, Akid! Ya!”
Akid tepuk belakang Asyraf. Agak kuat. “Kau boleh tak berhenti ulang benda yang sama. Dan tolong perlahankan suara kau. Kau perasan tak sejak tadi orang keliling duk pandang kita dua macam kita ada tiga tangan? Malu duh.”
Asyraf menggeliat sedikit. Belakang badan digosok-gosok mana yang tercapai. “Dia kata ya.” Masih tak mahu berhenti ulang benda yang sama.
Akid betul-betul dalam dilema. Antara mahu ketawa, senyum dan marah sebab sejak daripada hari Lily kata ya, itulah ayat yang Asyraf duk ulang-ulang.
Padahal sekarang ni pun sebenarnya dia tengah temankan Asyraf mencari barang hantaran. Tak perlu ulang pun dia boleh dengar barang-barang hantaran dalam tangan dia tengah menjerit benda yang sama yang Asyraf ulang-ulangkan.
“Gembira?” Random. Sangat tiba-tiba. Tapi sungguh Akid memang tak dapat nak tahan diri daripada bertanya. Dia kenal Asyraf sejak daripada umur 13 tahun lagi. Walaupun dia cukup tahu yang Asyraf memang paling suka buat kerja spontan dan tak fikir panjang, tapi tak pernah sekali pun dia terfikir yang masuk bab kahwin pun, Asyraf akan buat benda yang sama.
“Kid, aku tak memain bila aku kata aku nak kahwin. Aku dah fikir panjang. Dah fikir masak-masak. Siang malam aku tak lupa panjangkan doa, buat istikharah, minta petunjuk. Aku yakin Lily tu jodoh aku."
"Kau kenal dia baru dua, tiga bulan, kan?" Akid tak puas lagi menduga. Nak diikutkan, jawapan Asyraf tadi pun dah lebih daripada cukup untuk meyakinkan Akid yang Asyraf memang serius dengan keputusan yang diambil. Tapi sengaja dia bertanya lagi. Bukan selalu sahabatnya yang seorang ni serius dengan soalan-soalan berkaitan hati. Selalunya mesti nak bagi jawapan selamat - siapalah aku orang nak suka. Pandai berdrama si Asyraf ni.
"Cukuplah, Kid. Aku ada seumur hidup untuk kenal dia. Seumur hidup untuk bangun tidur terus hadap muka gadisku." Asyraf senyum tersipu-sipu gaya anak dara sunti. Ayat pun dah mula menggeletis satu macam.
Akid pun apa lagi, tergelak besar dia mendengarkan kata-kata selamba Asyraf yang siap dengan gaya konon malu-malu. "Aku yang dah bertahun bercinta dengan Julia pun tak tergamak yang sebut benda yang kau baru sebut tu."
Asyraf sengih selamba. "Minta ampunlah, sahabat. Siapa suruh kau dengan Julia berkura-kura berdua. Aku terpaksa potong barisan."
"Hantu! Bukan aku dengan Julia yang kura-kura. Tapi kau tu yang macam tak cukup tanah berlari. Takut sangat lari gunung dikejar." Alih-alih aku juga yang disalahkan. Dah sendiri tak menyempat, pandai cover line guna pakai timeline kisah aku dengan Julia yang lebih sedekad tu. Keji.
Asyraf dah mengekeh ketawa. Tak nak kalah tu. "Sebab aku bukan kejar gununglah aku kena lari lagi laju daripada bullet train, Kid. Gadisku tu satu dalam dua juta. Dia boleh buat aku senyum sendiri depan tiang gol yang kaku."
Akid ketawa kuat. “Sudahlah. Lagi sekali kau ulang gadisku, gadisku tu sungguh aku campak semua barang dalam tangan aku ni dari tingkat 6.”
DENGAN SEKALI LAFAZ, Lily Nadya Muhammad Farid sudah sah menjadi tanggungjawabnya yang sah. Gembira, gementar, terharu. Bercampur-baur rasa di hati. Dia kini sudah sah bergelar suami. Sudah rasmi menjadi adik ipar kepada Afiq. Masin mulut-mulut rakan sepasukan yang sejak dulu sibuk mengusik.
Dari kejauhan Asyraf merenung lembut si isteri yang sedang duduk di satu sudut sambil berbual dengan beberapa tetamu yang hanya tinggal beberapa orang. Teman sekerja mungkin. Majlis mereka untuk belah perempuan nak diikutkan sudah sampai ke penghujung pun. Jam pun sudah mahu menginjak ke pukul 5.30.
Asyraf baru mahu hendak berdiri bila Afiq, si abang ipar yang masih belum jemu mengusik, mengusik lagi. “Jaga pandangan, bro. Naik segan aku tengok kau duk tenung adik aku tu.”
Asyraf tergelak. “Dengki. Yang aku tenung tu gadisku. Isteriku.” Asyraf dah mula berdrama sampai Akid yang sejak tadi setia menjadi pengapit terhormat pun dah tak lalu nak gelak. Hanya senyum nipis melihat gelagat Asyraf.
“Dengki itu perlu. Sekarang aku dah kena kongsi adik aku tu dengan kau. Bad news. Tapi berita gembiranya, mandat abang besar aku dah makin besar.” Afiq gelak jahat. Sengaja.
Senyum masih tak lekang dari bibir Asyraf. “Peduli apa aku. Janji gadisku ada dengan aku.” Sungguh, tak ada apa yang boleh buat dia berhenti tersenyum hari ini.
Sungguh Akid dah tak boleh nak tahan. Tangan dah langsung laju melibas belakang Asyraf. “Kau boleh berhenti tak dengan gadisku kau tu. Overdose sangat dah wei.”
Asyraf menyeringai sakit. Potong betullah Akid ni. “Kau tahu tak hari ni mandat aku besar?” Tangan dah tergapai-gapai di belakang badan. Sakitnya memang tak terkata. Tergamak sungguh Akid libas dia sungguh-sungguh.
Lily yang baru sudah melayan tetamunya yang terakhir datang berkunjung, datang menghampiri lelaki bertiga sejak tadi riuhnya macam berbelas orang. Boleh didengar sebutir-sebutir ayat masing-masing.
“Sibuk benar semua dengan mandat. Mandat abang besarlah. Mandat raja sehari. Mandat sahabat yang dipotong barisan. Satu taman dengar tau.” Lily dah senyum sambil menggeleng-gelengkan kepala. Umur masing-masing bukan muda mana pun. Semuanya lebih tua daripadanya.
“Adik, sekarang cuba bagitahu Angah, mandat siapa lagi besar? Angah ke Asyraf?” Afiq menoleh pada Akid yang di sebelah Asyraf. “Mandat kau laku dengan Asyraf aje. Jadi kalah tanpa bertanding.” Afiq dah buat muka keji.
Pecah ketawa masing-masing. Afiq memang suka bercakap pakai redah suka hati dia.
“Mestilah mandat Along yang paling besar.” Belum sempat Lily nak menjawab apa-apa, Akif yang entah dari mana pula menyampuk. Semua spontan menoleh.
Lily menyengih. “Sorry, boys. Along menang.” Akif dah buat muka bangga.
“Ibu panggil semua masuk dalam. Rehat dulu. Malam karang ibu ajak semua makan semeja. Akid, bilik tetamu tu kosong. Guna aje. Kain pelikat, t-shirt semua dah sedia.” Masing-masing dah mengangguk bila Bendahara DiRaja ibu menyampai titah.
Dan Lily yang tadi terperasan masa belakang Asyraf kena libas dek sahabat sendiri, luar sedar tangannya menggosok perlahan belakang Asyraf. Tengok dari jauh pun dah boleh tahu sakit. “Padan muka. Sibuk lagi dengan ‘gadisku’ awak tu.”
“Padan muka saya pun ada orang sayang nak tolong gosok tempat yang sakit.” Asyraf menarik senyum yang paling lebar. Cukup lebar sehingga menampakkan lesung pipit di pipi kanannya.
Akif, Afiq dan Akid dah sama-sama berdiri. Mahu terus menghilangkan diri. Tak boleh nak tahan tengok drama depan mata. Tergugat rasa hati masing-masing bila adik-adik yang melangkah dulu ke alam lain.
Lily dan Asyraf sama-sama ketawa bila mereka perasan riak muka mereka bertiga sebelum berlalu. Asyraf capai tangan Lily dan berdiri tegak di sebelah. Badan direndahkan sedikit, mahu menyaingi tinggi isteri. “Terima kasih, gadisku.”
“Mushy.” Lily dah mengalih pandangan ke arah lain. Tapi cuma sekejap. Sedaya upaya ditahan riak muka agar kelihatan selamba habis. Kemudian wajah Asyraf dipandang. “Terima kasih juga, suami saya.”
0 comments:
Post a Comment