Sunday, June 16, 2013

Bab 15 : Aku, Dia dan Sampai Tua

Posted by ai at 10:41 PM

KATA ALONG, dia sengaja gantung Asyraf tak bertali sebab dia nak balas rasa tak puas hati Asyraf ambush dia dengan hantar rombongan meminang.

Sejak tu juga, Lily masih belum puas mencebik tiap kali matanya bertembung pandang dengan Akif. Tak puas hati dengan ayat penyata Akif yang pada Lily seperti sengaja nak bakar hati dia. Kalau Afiq yang kata macam tu, Lily masih boleh terima. Ini, Akif. Abang kesayangannya yang sejak kecil tak pernah sebelahkan orang lain melainkan dia.

Akif meletak duduk betul-betul di sebelah Lily. Dia tersenyum sendiri bila Lily menghadiahkannya jelingan tajam sebelum langsung-langsung mengalihkan pandangan ke arah lain. Dah sampai ada orang masuk meminang pun perangai kuat merajuk adiknya ni tak surut-surut juga.

“Merajuk lagi dengan, Along?” Bila Lily tetap buat tak dengar, sengaja dia menyiku-nyiku lengan Lily. Kalau betul caranya, tak susah sebenarnya nak pujuk adiknya yang seorang ni.

“Along ni..” Lily buat muka.

Akif ketawa. “Okey. Cuba cakap, apa yang adik marah sangat dengan Along kali ni?”

“Ibu pagi-pagi dah telefon adik. Ibu kata Along dengan Angah setuju aje kalau adik terima pinangan pak cik tu. Along sebenarnya sebelahkan siapa kali ni?” Tercebik-cebik bibir Lily meluah rasa. Selama ni Akif mana pernah sebelahkan orang lain selain dia.

“Sebab Along sayangkan adik lah, kali Along terpaksa sebelahkan Asyraf.” Akif senyum. Tahu sangat yang dia bakal kena jerit dengan Lily.

Lily tarik nafas dalam-dalam. Sabarlah wahai hati. Sabarlah. “Explain.”

Kening Akif terangkat sebelah. Tak kena jerit? Ada kemajuan. Ni mesti berkat sabar melayan kepala Asyraf yang pada pandangan dia sama spesis dengan Afiq. Spesis yang menuntut kesabaran tinggi sebab ada extra genetik loyar buruk. Akif berdehem sedikit. Konon nak melegakan tekak sebelum nak mulakan hujah panjang.

“Along puji guts dia untuk masuk meminang walaupun 90% daripada peluangnya, dia bakal kena tolak dengan adik. Adik tahu tak dulu Along pun nyaris buat benda yang sama yang Asyraf tengah buat sekarang ni?”

Bulat sekejap mata Lily. Along? Nak main redah macam yang Asyraf buat? Biar benar. Kenapa dia tak pernah tahu pun. “Apa yang buat Along tak jadi buat?”

“Cuma orang yang betul-betul yakin dia boleh pikul tanggungjawab untuk jaga dan sayang anak dara orang aje yang boleh buat benda yang bagi adik sekarang ni ‘main redah’, dik. Along tak ada guts yang cukup masa tu. Sebab tu Along puji budak Asyraf ni. Ingat kerja senang ke take over tanggungjawab yang selama ni ayah dengan Along pegang?” Penuh hati-hati Akif menyusun kata, mahu memujuk kembali hati Lily.

“Along dah tak larat nak jaga adik, ye?” Sengaja Lily menarik muka belas. Dalam hati sebenarnya, sedikit terkesan dengan pujukan Akif.

“Siapa kata Along nak bagi adik dekat Asyraf? Along cuma nak tambah pengawal diraja untuk guard adik aje.” Akif usap perlahan kepala Lily.

“Along..”

Akif angkat kening sebelah. Menyoal pakai isyarat aje.

“Lapar. Domino jom? Along belanja!”

“Cis. Along yang kena pujuk. Along yang kena belanja lagi.”

Lily ketawa. “Thank you, Along! Adik naik atas dulu. Tukar baju. Lepas tu kita gerak ek. Adik drive.” Lily terus berlari ke atas.

Akif geleng. Perangai tak berubah. Sungguh dia tak tahu macam mana Asyraf nak melayan kerenah Lily andai kata Lily kata ya.





“SAYA DAH HABIS FIKIR.”

Minggu lepas, lepas tiga minggu dia mendiam diri, Asyraf sekali lagi mengetuk pintu rumah dia. Cuma kali ni dia tak datang dengan rombongan. Datang berdua aje dengan kawannya yang cuma dia kenalkan sebagai Akid. Asyraf minta kata magik untuk buat dia setuju. Akid pula minta dia terima aje Asyraf sebab dia jamin Asyraf bakal jadi antara perkara terbaik dalam hidup dia. Heh, jual kawan nampak.

Cukup sebulan, ibu dan ayah sendiri yang buat keputusan. Kata ayah, kalau dia tak bagi juga jawapan lagi seminggu, ayah tak kira apa pun keputusan dia, ayah akan terima aje pinangan Asyraf. Jadinya, kalau dia mahu tolak pun, dia cuma ada masa seminggu aje untuk tolak. Kata ibu, kalau tak kesian dengan Asyraf pun, kesiankanlah mak dengan ayah Asyraf.

Dan tiga hari kemudian, dia akhirnya buat keputusan. Tapi sebenarnya keputusan yang bukan keputusan pun. Dia akan terima, bergantung kepada jenis jawapan yang Asyraf bagi pada dia. Dan sebab itu, kini dia duduk berdepan dengan Asyraf yang sejak tadi tak pernah tak senyum. Isk. Tahulah senyum awak tu manis, Encik Asyraf.

Lily membuang pandang ke sisi Asyraf. Bukan dia tak perasan yang sejak tadi Asyraf tak lepas dari memandang tepat ke wajah dia.

“Saya tak pandai masak. Tak pandai kemas rumah. Kerja saya kadang tak tentu masa. Saya kuat merajuk dan setakat ni cuma ada dua orang aje yang pandai pujuk saya. Dan saya ada banyak lagi minus points yang kalau saya sebut awak boleh dapat mimpi ngeri seminggu dua ni. Jadinya, kalau awak rasa boleh terima semua tu, saya terima pinangan awk.” Lancar Lily menutur. Tak ada putus langsung sebab tak mahu Asyraf potong tengah jalan macam yang dia selalu buat.

Asyraf yang baru sudah menyedut air limau ais dia terus mengukir senyuman lebar. Mungkin dia tahu permainan apa yang Lily cuba mainkan. Sedikit pun tak terkesan riak tak senang tu. Dan dalam hati memang dah berbunga setaman.

Asyraf berdehem sesaat. “Lily Nadya.” Sekadar menyeru nama, kemudian dia berhenti sedetik dua.

Lily menahan senyum yang menarik di pinggir bibir. Sungguhlah makhluk depan dia ni memang spesis pandai buat orang nak bagi perhatian dekat dia.

“Saya lamar awak untuk jadi isteri. Saya tak kata saya nak ambil awak jadi tukang masak. Kalau awak tak pandai masak, kita boleh belajar sama-sama. Kalau awak tak mahu belajar masak, tak apa. Saya belajar masak untuk awak pun boleh.” Asyraf berhenti sesaat.

“Saya lamar awak untuk jadi isteri. Saya tak kata saya nak ambil awak jadi bibik kemas rumah saya. Kalau awak tak pandai kemas rumah, tak apa. Selama ni pun saya duduk sendiri, saya kemas sendiri rumah saya.” Berhenti lagi.

“Saya lamar awak untuk jadi isteri. Kerja awak tak tentu masa? Tak apa, saya akan selalu ada masa untuk awak.” Asyraf menarik senyum. Sungguh dia nmpak ikhlas bila dia kata dia akan selalu ada masa untuk Lily.

Dan Asyraf kembali menyambung. “Saya lamar awak untuk jadi isteri. Dan bila saya hantar mak dengan ayah saya untuk pinang awak, awal-awal saya dah tanam dalam hati, saya nak hidup dengan awak dan segala jenis sifat yang awak ada.” Berhenti tiga saat. Menarik nafas. Dan buat muka penuh berharap.

“Saya lamar awak untuk jadi isteri. Sungguh saya bakal jadi orang paling gembira untuk hari ni kalau awak betul-betul terima saya.” Senyuman lebar kekal bergantung di raut Asyraf sepanjang-panjang dia bercakap.

‘Saya lamar awak untuk jadi isteri.’ Siap ulang lima kali lagi.

Lily akhirnya ketawa. Tak tahu kenapa dia perlu ketawa, tapi sungguh dia rasa sangat ingin ketawa.

Konon nak ‘test’ orang depan dia ni, akhirnya dia yang terkena balik. “Jangan lupa belanja saya makan besar nanti sebab saya bakal bagi awak sebab untuk jadi orang paling gembira untuk hari ni.” Selamba Lily memberi jawapan tanpa ada bengkang-bengkok lagi.

Asyraf pandang Lily dengan muka tak percaya. “Awak tak main-main? Betul-betul terima?”

Lily buat muka. Ingatkan Asyraf akan menjerit suka tadi. Boleh pula dia tak percaya lagi. “Saya kata ya. Saya terima.”

“Tak tipu?” Polos Asyraf bertanya. Masih antara mahu dan tak mahu percaya.

“Awak nak saya kata saya tipu ke?”

Asyraf cepat-cepat geleng. Tapi sekejap aje dia geleng. Dua minit lepas tu, dua-dua kena suruh keluar dek tuan kedai sebab habis geleng aje Asyraf terus menjerit macam orang sambut malam merdeka dekat Dataran Merdeka. Sumpah malu!


0 comments:

Post a Comment

 

Penakut. Copyright © 2012 Design by Antonia Sundrani Vinte e poucos