Sunday, June 16, 2013

Bab 12 : Aku, Dia dan Sampai Tua

Posted by ai at 10:18 PM

TERKOCOH-KOCOH Asyraf ke pintu depan rumahnya bila loceng dibunyikan dengan bertalu-talu. Siapalah yang tak menyempat sangat bila datang ke rumah orang ni?

Bila dia menjengah dari pintu depan, dia terus patah balik untuk mengambil kunci pagar. Akid. Apa benda jugalah yang bujang seorang ni nak pagi-pagi ni.

“Tak ada angin, tak ada ribut, kau datang kenapa?” Tanya Asyraf sambil tangan terkial-kial membuka mangga yang tiba-tiba seperti meragam tak mahu terbuka.

“Yang kau pakai cantik-cantik ni nak pergi mana?” Akid membalas dengan soalan. Laju kaki dia menapak masuk. Buat macam rumah sendiri.

“Soalan aku bukan dia nak jawab.” Asyraf merungut perlahan.

Akid duduk berlunjur depan TV. “Bro, air kosong, tapi nak yang sejuk. Eh, kau bukan malam tadi ada game dekat Melaka ke? Lawan United kan?”

“Aku libas jugak kau karang.” Sedap dia mengarah. Bukan tak boleh ambil sendiri air tu.

Dalam pada tak puas hati, dia melangkah juga ke dapur untuk ambil air. Botol air sejuk, dua gelas siap isi ais, siap dengan oren sebotol diisi atas dulang dan dibawa ke depan.

“Malam tadi kau memang ada dekat Melaka, kan? Cepat kau balik?” Akid mengulang soalan bila soalannya tadi tak dijawab Asyraf. Tangan dah laju menuang air dalam gelas.

Asyraf angguk. Dia pun dah sama berlunjur di sebelah Akid. “Aku pecut balik sorang malam tadi jugak lepas habis game.”

Akid terus cepat menangkap. “Kau ada date ek? Katalah kau dah jumpa dengan perempuan yang buat kau rasa macam kena langgar tsunami dulu tu?”

Asyraf ketawa. “Ingat lagi kau ek benda yang aku cakap masa tu.”

Akid buat muka teruja. Berita panas ni. Kalau muka Asyraf ni boleh jadi berseri-seri bila sebut pasal perempuan tu, maknanya betullah benda yang dia teka, kan? “Ceritalah.”

“Sebulan lebih aku cari dia. Tiap-tiap hujung minggu aku dah terpacak depan pintu masuk Carrefour tu tau. Tapi, harapan. Bayang pun tak jumpa. Agaknya sebab aku asyik cari dia aje kut. Tu tak jumpa. Lepas tu satu hari aku bawa anak buah aku tu berjalan dekat Tasik Titiwangsa, tup tup, jumpa. Memang aku tak lepas peluanglah. Nama siap dengan nombor telefon sekali aku dapat.”

“Hebat! Taktik apa kau pakai sampai boleh dapat nombor dia?”

See the leg lah, kawan.” Asyraf buat muka bangga.

Akid buat muka. “Berlagak. Macam ni aku nak ikutlah kau pergi jumpa dia karang. Teringin aku nak tengok perempuan yang boleh buat kau rasa macam kena langgar tsunami ni. Aku ikut, okey?” Akid buat muka berharap.

“Kenapa sampai aku nak kena angkut kau sekali. No. No way. Never. Aku nak dapat keluar dengan dia ni pun sikit punya berchenta.” Berhari dia menahan diri daripada menelefon semata-mata sebab nak keluar hari ni dengan Lily.

Asyraf menuang air ke dalam gelasnya yang masih belum terusik. Kemudian baru dia teringat yang Akid masih belum bagitahu kenapa dia datang pagi-pagi ni.

“Kau apahal muncul dekat rumah aku macam taufan pagi ni?”

“Julia merajuk dengan aku. Dah tiga hari tak nak angkat telefon.”

Asyraf dah gelak-gelak. Patut masa sampai tadi muka monyok semacam. “Dah tu yang kau datang rumah aku buat apa? Patutnya kau pergi cari dia. Tapi, Julia merajuk sebab apa?”

“Sebab kau.”

Asyraf terkedu. Aku? Macam mana dia boleh masuk dalam cerita sampai bergaduh bagai. “Apa salah aku?”

“Benda ni mungkin bunyinya agak luar alam. So, dengar sampai habis cerita dulu, okey?”

Asyraf mengangguk perlahan. Kenapa ayat Akid tadi suspen satu macam bunyi dia?

“Julia ada seorang kawan baik ni yang aku tak pernah nak kenal dan aku tak pernah dengar pulak pasal kawan baik dia yang ni. Nak dijadikan cerita, kawan baik dia ni rupanya peminat kau. Senang kata, dia ni fanatik kau jugalah. Rupa, personaliti, semuanya tak ada masalah sebenarnya, kecuali kalau masuk bab kau. Julia ni pula bila dah tahu cerita, boleh dia termengaku yang aku, tunang dia ni, kawan baik kau.”

Asyraf dah bulat mata. Dia rasa macam dia boleh agak aje ke mana hala tuju cerita Akid ni. “Kiranya, Julia ni merajuk dekat kau sebab kau mesti tolak permintaan dia. Kau cakap kau tak nak masuk campur dalam bab nak pasang-pasangkan aku, kan?”

Akid mengangguk perlahan. Sebab dia kenal Asyraf dia tak nak buat benda macam tu. Asyraf ni memanglah lembut hati. Selagi orang itu namanya peminat, memang dilayan elok-elok. Tapi, budak seorang ni alergic dengan fanatik. Bila dia dah tak tahan, meletupnya macam gunung berapi pendam. Scary.

Jadinya, sebelum benda yang asalnya kecil jadi besar, lebih baik jangan mulakan langsung, kan? Tapi itulah, bila dia cuba menerang pada Julia, lain pula yang jadi. Kata Julia, dia pandang rendah pada teman baik dia. Macam kawan-kawan Akid saja yang bagus. Kawan dia tidak. Pulak. Sungguh dia tak akan faham macam mana kaum perempuan berfikir.

“Sekarang kau nak buat apa? Apa aku boleh tolong?” Asyraf bertanya. Sedetik rasa bersalah timbul dalam diri walaupun kalau nak diikutkan, dia tak buat apa-apa yang salah pun sebenarnya.

Apa-apa ajelah diorang berdua ni. Sebab dah lama sangat berdua ni yang semua benda pun nak jadi isu. Ni pun belum kahwin lagi.

“Tak payah buat apa-apa. Tolong dengar aje. Nanti aku fikirlah nak buat apa.”

Asyraf jongket bahu. “Kalau ada apa-apa aku boleh tolong nanti kau bagitau aje lah. Mana yang boleh tolong, aku tolong. Kecuali bab kena kenal dengan kawan Julia tu lah. Aku dah jumpa buah hati aku walaupun dia tak tahu lagi.” Asyraf gelak. Gatal.

Akid pun gelak sekali melihat telatah Asyraf. “Angau.”





DIA BERDEHEM perlahan di belakang Lily yang duduk bersandar di kerusi di depan Sembonia. Nak diikutkan, dia dah lambat sepuluh minit sebenarnya. Semuanya gara-gara Akid yang datang bertandang tanpa undangan tadi.

Bila dia lihat Lily langsung tak perasankan dia walaupun dia berdehem tadi, akhirnya Asyraf duduk di sebelah. Coklat Cadbury sama seperti yang dia bagi masa dia mula-mula jumpa dulu dia tayangkan depan Lily.

Lily menoleh bila coklat melayang-layang di depannya. “Eh, bila sampai?”

Asyraf senyum manis. “Termenung apa tu sampai saya dah duduk sebelah awak sepuluh minit pun tak sedar.”

Lily mencebik. “Sebab awak lambat sepuluh minit lah saya sempat nak termenung.”

Asyraf letak Cadbury atas beg Lily bila Lily langsung tak nampak tanda nak ambil. “Sorry. Ada hal sikit tadi. Tu lambat.”

“Tak penat ke? Semalam habis game pun dah dekat pukul 11. Nak balik rumah lagi.”

“Sebab dapat keluar dengan awak, hilang semua rasa penat saya.” Asyraf senyum nakal. Dan senyumannya bertambah lebar bila melihat tona warna muka Lily yang berubah. Sungguh, dia sangat suka tengok muka Lily yang sangat senang blush.

“Datang sini nak buat apa? Makan?” Lily mengalih topik. Tak mahu Asyraf menyakat panjang.

“Makan. Saya belum makan lagi sejak malam tadi. Tengok wayang kalau awak nak. Kalau tak nak, masuk kedai buku aje pun boleh.” Dia memberi cadangan.

Lily berkira-kira dalam hati. “Makan boleh. Masuk kedai buku pun boleh. Tapi tengok wayang lain kalilah, okey?”

“Kenapa? Awak segan masuk berdua dengan saya?” Tanya Asyraf lurus.

Dan Lily pun mengangguk lurus. Mengiyakan kata-kata Asyraf tadi. “Dah, jomlah. Awak pilih aje makan dekat mana. Bayar kita bahagi dua, okey.”

Asyraf mengerut dahi. Kenapa nak kena bahagi dua? “Saya yang ajak keluar, saya lah yang belanja, cik adik oi.”

Lily angkat kening. “Oho. Saya takkan terpedaya lagi. Nanti lepas tu awak minta alamat rumah saya pula. Saya tak adalah lurus sangat untuk tertipu kali kedua.”

Asyraf ketawa kuat. “Dan saya pun taklah sekejam tu. Saya tak minta apa-apalah. Risau sangat. Coklat tu pun saya takkan minta ganti pun.”

“Awak tau tak awak ni pelik?” Soalan yang bukan soalan. Lebih pada ayat penyata, walaupun dihujung ayat diletakkan tanda soal. 

“Tak.”

“Kenapa awak sibuk nak juga saya yang teman awak walaupun saya tak layan awak, nak angkat call awak pun saya fikir lima juta kali dulu?” Lurus Lily menyoal.

Asyraf jongket bahu. “Saya cuma buat apa yang saya rasa saya kena buat. Saya pernah terlepas awak sekali dan saya tak nak terlepas lagi.” Sama lurus Asyraf menjawab.

“Tak faham langsung.” Lily buat muka.

“Laparlah, Lily. Kita pergi makan dulu lepas tu baru sambung bercerita boleh?” Asyraf buat muka kesian. Nanti-nanti boleh bercerita lagi. Lagipun, perutnya memang macam dah berzapin dah sejak daripada tadi.

“Kejap. Kejap. Saya tau awak tengah lapar. Tapi satu aje lagi soalan. Satu. Please?” Lily buat muka comel.

Shoot.” Siapa boleh tolak kalau orang depan mata ni dah sebut ‘please’ siap dengan buat muka comel lagi.

“Saya keluar dengan awak ni, tak ada siapa marah ke?”

Pecah lagi ketawa Asyraf. Fobia apa? “Kenapa?”

“Saya ada fobia.”



0 comments:

Post a Comment

 

Penakut. Copyright © 2012 Design by Antonia Sundrani Vinte e poucos