Sunday, June 16, 2013

Bab 14 : Aku, Dia dan Sampai Tua

Posted by ai at 10:33 PM

AFIQ BALING tuala lap mukanya tepat ke arah muka Asyraf yang tengah tersenyum sorang. Entah apa yang gembira sangat pun dia tak tahu.

“Kau khayal semacam ni kenapa? High?”

Asyraf campak semula tuala Afiq yang tak sempat dia elak tadi balik ke Afiq. Sungguh memang spesis yang tak boleh tengok dia senang sekejap. Lepas tu suka hati kata aku high. “Asal aku gembira sikit aje mesti kau kata aku high.”

Afiq ketawa. “Hari tu berminggu-minggu monyok. Sekarang ni senyum kalau tak sampai ke telinga mesti tak sah. Dah jumpa orang yang kau cari tu ke?”

Air muka Asyraf terus berubah. Serius. “Aku ada pengakuan jenayah nak buat.”

Dahi Afiq dah berkerut. Apa jugalah budak seorang ni. Dia gembira, aku susah hati. Dia susah hati pun aku susah hati. “Apa? Risau pulak aku tengok muka serius kau tu.”

Asyraf berdehem sebelum memula madah yang tak ada langsung helah. “Kau ingat tak dulu aku pernah kata aku akan elak sejauh mungkin kalau aku jumpa mana-mana perempuan nama Lily?”

Perlahan Afiq angguk.

“Aku tak lari.”

“Tak faham.” Ujar Afiq pendek. Kejap cerita pasal perempuan nama Lily. Kejap kata tak lari. Apakebendanya?

“Lily. Perempuan yang buat hari aku terbalik tu nama dia Lily. Bila aku jumpa dia, aku tak lari macam yang aku pernah kata dekat kau dulu. Makin aku kejar dia lagi adalah.” Tulus Asyraf membuat pengakuan. Tertahan-tahan juga fakta yang diberi. Dalam hati sangat berharap Afiq dapat menangkap apa yang dia cuba sampaikan.

So?” Afiq buat muka kerek. Sungguh dia tak nampak apa kaitan cerita Asyraf sekarang dengan pengakuan jenayah yang nak dibuat. Atau mungkin dia sengaja memaksa diri untuk buat tidak faham.

“Aku rasa aku macam dah jatuh suka dengan Lily Nadya Muhammad Farid.” Terus. Lurus. Tak ada bengkang-bengkok. Kalau tak faham lagi, sungguh dia tak tahu nak terang lagu mana lagi.

Afiq ketawa. Sungguh-sungguh punya ketawa. Macamlah tadi Asyraf baru lepas cerita kisah lawak mega.

Asyraf baling botol separuh penuh di tangan ke kaki Afiq. “Kau dah apahal?”

Laju Afiq mengelak. Ketawanya dikawal. Tak mahu jadi mangsa balingan kasut Nike Asyraf pula. “Dulu sombong. Aku nak kenalkan dengan adik aku tu kau tak mahu. Sekarang apa cerita, bro? Adik aku tu aku tengok hari-hari campak BlackBerry dia bawah bantal.”

Afiq menahan senyum. Kisahnya, dia dah tahu. Itupun sebab Amirul terlepas cakap depan dia hari tu. Lepas tu, dia pun apa lagi. Laju aje tuntut cerita penuh daripada Lily. Tak dapat cerita dengan cara biasa, dia guna mandat abang besar. Paksa rela aje adiknya bercerita. Sengaja dia tak ambush Asyraf awal-awal. Sebabnya, dia mahu Asyraf sendiri yang buat pengakuan.

Asyraf sengih, cover malu. Memang tepat mengena batang hidung. Kalau dia tahu orang yang dia cari tu adik Afiq, dulu lagi dia dah datang menyerah diri. Tak adalah kena susah-susah jadi pakcik pengawal tak berbayar dekat One Utama dengan Carrefour tu. Tapi buah ‘kalau’ mana boleh pakai.

Asyraf membaringkan diri atas rumput. Melepas lelah. “Dia tak ada cerita apa-apa?” Paksa rela juga Asyraf bertanya. Sungguh sekarang ni dia rasa cuma Afiq yang boleh membantu.

Afiq ketawa. Ingatkan dah tak nak tanya. “Ikutkan degil budak tu, alamatnya sampai bila-bila pun belum tentu dia bercerita. Tapi aku kan abang. Abang mandat besar.”

Asyraf buat muka. “Keji.”

“Kau takkan tak ada apa-apa nak cerita dekat abang besar ni?” Separa mengusik Afiq bertanya. Kalau betul Asyraf memang sungguh-sungguh jatuh suka pada Lily, sungguh dia pun tumpang gembira.

“Aku dah fikir masak-masak.” Serius.

Afiq angkat kening. Serius benar bunyinya. Afiq membetul duduk, menarik sila. “Dan?”

“Aku ingat aku nak hantar rombongan masuk meminang.”





“KIRANYA TEPAT TEORI dan perkiraan yang aku pernah sebut dulu, sebelum hujung tahun ni aku bakal merasa nasi minyak kenduri, kan?”

Asyraf angkat bahu. “If and only if she said yes.” Mata terpacak tepat ke muka TV. Tapi satu apa pun tak masuk. Lebih tepat, bukan dia yang tengok TV, tapi TV yang tengok dia.

Terangkat kening Akid. Pertama kali dia tengok sahabatnya yang seorang ni bersikap pesimis. Menarik. Yang dia perasan, sejak Asyraf mula kenal Lily, dah banyak benda baru tentang Asyraf yang dia pertama kali lihat. World class budak Lily ni.

“Dia dah tolak langsung ke pinangan kau?” Soal Akid ringkas. Terus dan lurus.

Geleng. Kemudian angkat bahu. “Dia kata dia perlukan masa.” Ringkas juga Asyraf menjawab.

Sejak dia menghantar rombongan meminang dua minggu lepas, tak pernah sekali pun dia berjumpa dengan Lily. Cuma sekali, pada hari rombongan datang. Itu pun atas permintaan Lily untuk berjumpa sekejap dengan dia. Hanya sebaris ayat yang keluar daripada bibir comel si gadis. “Bagi saya masa untuk berfikir.” Kemudian Lily terus senyap. Langsung senyap, sampai ke hari ni.

Afiq sendiri pun tak berani nak tanya keputusan Lily. Kata Afiq, lebih baik jangan bertanya apa-apa. Bimbang silap susun ayat, jam-jam tu juga Lily kata ‘tidak’. Kata Afiq lagi, Dalia, sahabat ketawa, menangis Lily pun langsung tak ada klu, terima atau tolak. Memang Lily jadi langsung senyap sepanjang dua minggu ni.

Reaksi keluarga dia? Masa dia mula-mula menyampai hasrat, tak ada siapa pun nak percaya. Respon semua negatif. Logik juga. Dia tak pernah sebut apa-apa tentang kahwin, alih-alih suruh meminang anak dara orang. Lagi-lagi pula bila ditanya tentang gadis yang disuruh pinang, selain nama dan adik siapa, tak ada apa-apa lagi yang dia tahu. Tapi melihatkan pada peribadi Afiq dan mendengarkan pada kata hati sendiri, dia akhirnya nekad.

Akid senyum. Cuba memberi semangat pada seorang sahabat. “Bro, kalau memang dia ‘Hawa’ kau dan memang dah sampai masa untuk kau bina masjid, dengan izinNya juga, tak ada apa dalam dunia ni yang boleh ubah.”

Asyraf ketawa. “Kenapa aku rasa aku macam kenal aje dengan ayat ni?” Soalan retorik. Tak perlu jawapan. Kredit ayat pada diri sendiri. Dulu lepas satu, satu dugaan datang dalam hubungan Akid dan Julia, dia lah orangnya yang karang ayat penyedap jiwa tu. Dan sekarang Akid guna balik modal yang sama.

Akid sengih. Boleh gelak lagi. Kira tak ada lah parah sangat. “Aku curious. Apa yang buat kau tak fikir panjang nak lamar budak Lily ni?”

Asyraf meletak sandar pada kaki kerusi. Luar sedar dia mengukir senyum. “Dia buat aku ada rasa nak jaga dan sayang dia sampai bila-bila. Paling aku suka bila dia selalu mengelak dengan alasan yang kadang-kadang tu tak logik pun tiap aku ajak dia keluar berdua.”

Asyraf ketawa sendiri sebelum kembali menyambung. Pandangan jauh ditebar. “Pernah sekali tu dia boleh bagi aku alasan rumah dia tak ada air. Jadinya dia dah ambil kontrak nak penuhkan air dalam tangki semua rumah dekat lorong kejiranan dia.”

Nak diikutkan, Asyraf bukannya jenis manusia yang tak boleh terima jawapan ‘tak’. Tapi Lily memang selalu menolak dengan cara berlapik tak beringat.

Akid ketawa sekali. “Memang padanlah dengan kau. Dua, dua spesis masuk air.”



0 comments:

Post a Comment

 

Penakut. Copyright © 2012 Design by Antonia Sundrani Vinte e poucos